ARKIB : 10/01/2006
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR - Sesudah ketua pasukan
Perak, Ahmad Shahrul Azhar digantung 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tiga pemain `nakal' Selangor pula bakal
menerima nasib yang sama.
Tiga pemain Selangor, K. Sanbagamaran,
Mohd. Amri Yahyah dan Fairuz Montana Zainal Abidin Hassan akan dipanggil
menghadap Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 16 Januari ini.
Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk
Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, FAM bukan tidak puas hati dengan keputusan
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang membuat
kepu-tusan memberi amaran keras ke atas ketiga-tiga pemain tersebut.
Sebaliknya, menurut beliau,
jawatankuasa memandang serius tingkah laku ketiga-tiga pemain itu yang
bertengkar dengan penyokong Merah Kuning sewaktu pertemuan dengan Negeri
Sembilan.
``Daripada apa yang jawatankuasa lihat,
gelagat tiga pemain Selangor itu jelas bertentangan dengan tatasusila sebagai pemain
bola sepak,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.
Dalam insiden sewaktu Selangor tewas
0-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Disember
lalu, Sanbagamaran, Mohd. Amri dan Fairuz Montana telah bertengkar dengan
segelintir penyokong Merah Kuning dan hampir-hampir mencetuskan pergaduhan.
Dalam insiden tersebut, segelintir
penyokong meluahkan kata-kata kesat ke arah pengurus, jurulatih dan pemain.
Malah, segelintir penyokong mencaci dan
mencerca dengan kata-kata kesat ekoran kekalahan keempat pasukan itu.
Situasi panas yang diwujudkan oleh
mereka itu menyebabkan Sanbagamaran hilang sabar dan melontar botol mineral ke
arah penyokong tersebut.
Sementara itu, Mohd. Amri dan Fairuz
Montana pula terus meluru ke pagar dan bertengkar dengan segelintir penyokong
Selangor.
Terdahulu Jawatankuasa Tatatertib FAS
membuat keputusan sekadar memberi amaran keras dengan alasan kesalahan yang
dilakukan oleh tiga pemain itu adalah yang pertama.
Mengulas lanjut Ibrahim menegaskan, FAM
akan meneliti laporan penuh daripada FAS dan pesuruhjaya perlawanan pada malam
kejadian tersebut.
``Selain itu juga, FAM akan mendapatkan
pita video yang merakamkan gelagat ketiga-tiga pemain selepas tamat perlawanan
dengan Negeri Sembilan.
``Kesemua ini akan FAM teliti bagi
mendapat gambaran sebenarnya insiden yang terjadi. Kita memandang serius
kejadian membabitkan tingkah laku pemain di padang,'' katanya.
Beliau berkata, jika jawatankuasa
Tatatertib berpuas hati tingkah laku tiga pemain Selangor itu melanggar
tatasusila sebagai pemain bola sepak, mereka bakal berdepan hukuman berat.
``Hukuman itu akan ditentukan oleh
Jawatankuasa Tatatertib,'' ujarnya.
Dalam pada itu beliau menambah,
jawatankuasa itu akan turut membicarakan pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir
Rasdi yang tidak hadir pada sidang itu sebelum ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44fetFJEf
© Utusan Melayu (M) Bhd