ARKIB : 03/11/2002
PENYERANG Selangor, Azman Adnan
menjulang Piala Malaysia yang dimenangi oleh Merah Kuning buat kali ke-29
sebaik menerimanya daripada Sultan Selangor selepas menewaskan Sabah 1-0 dalam
perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. _ Gambar ABD.
RAHMAN SALLEH.
Oleh JOHARI SHAWAL dan A. JAILANI
ABDULLAH
GOL emas jaringan Mohd. Amri
Yahyah pada masa tambahan sudden death menjulang Selangor selaku juara bola
sepak Piala Malaysia buat kali ke-29 apabila rembatan kencangnya pada minit
ke-100 membawa kemenangan buat skuad Merah Kuning menewaskan Sabah 1-0 pada
perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Penyerang berusia 21 tahun itu
meledakkan sepakan berharga itu untuk memisahkan kedua-dua pasukan, setelah
kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat tempoh masa sebenar permainan.
Gol Amri hasil daripada satu
serangan balas Selangor menerusi gandingan Mass Sarr Jr. dan Yusri Che Lah yang
menyaksikan bola percubaan Mass Sarr ditampan keluar oleh pertahanan Sabah dan
melantun kepada Amri yang melepaskan rembatan padu menewaskan penjaga gol
Sabah, Khairul Azman Mohamad.
Kejayaan Selangor bimbingan
jurulatih dari Australia, Ken Worden menamatkan penantian lima tahun skuad
Gergasi Merah untuk merangkul piala berprestij ini, dan mengecewakan barisan
Justin Ganai yang mengidam meraih kejuaraan sulung dalam pertandingan
kebanggaan negara ini.
Pentas akhir Piala Malaysia yang
menemukan Selangor dan Sabah semalam adalah kali kedua dalam sejarah
pertandingan. Kedua-dua pasukan bertemu kali pertama pada 1996 yang dimenangi
oleh Selangor.
Dalam babak permainan semalam,
tempoh 45 minit separuh masa pertama nyata amat mendebarkan kira-kira 50,000
penonton stadium yang sebahagian besarnya dikuasai oleh penyokong Merah Kuning.
Aksi kedua-dua pasukan bagaimanapun kurang teratur pada awal permainan kerana
padang licin akibat hujan yang masih menyimbah semasa perlawanan berlangsung.
Begitupun, Selangor dan Sabah
tidak kurang idea mempersembahkan kemahiran bermain dalam hujan yang membuatkan
penonton sentiasa gegak gempita setiap kali serangan-serangan berbahaya dibuat.
Selangor lebih dulu mencuri
tumpuan menerusi percubaan pertama pada minit ketiga. Bek kiri, Lim Chan Yew
melepasi kawasan sebelah kanan Sabah dan melorongkan bola kepada Mass Sarr
tetapi penyerang dari Liberia itu menyepak sipi setelah diasak Burhan Ajui
Dikejutkan dengan aksi hebat
Sabah itu, Selangor bangkit memberi saingan tetapi peluang terbaik Selangor
dipersia-siakan oleh Amri pada minit ke-30 apabila bola lorongan cantik Mass
Sarr disepak liar oleh Amri di depan gawang Sabah.
Sabah sepatutnya sudah selesa di
depan dengan dua gol sebelum waktu rehat apabila dua percubaan terbaik L.
Suresh dinafikan oleh penjaga gol Selangor, Azmin Azram Aziz.
Azmin menepis percubaan kencang
Suresh dari penjuru kanan kotak penaltinya dan bola yang melantun ke depan
pantas dikeluarkan oleh pertahanan Selangor sebelum sempat Zainizam
menyambarnya.
Azmin terpaksa bekerja keras
sepanjang babak kedua. Dia sekali lagi menyelamatkan gawangnya daripada
dibolosi Sabah apabila melayangkan badan menepis tandukan tajam Suresh hasil
sepakan sudut Shahril Arsat sebelum menyelamatkan satu lagi tandukan tajam
Suharmin yang hanya berdepan dengannya pada minit ke-73.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan
terus buntu untuk mencari gol sehingga masa penuh permainan tamat untuk memaksa
masa tambahan sudden death yang lebih dikuasai Selangor.
Ivica Kulesevic menanduk kencang
hantaran lintang Tengku Hazman Raja Hassan sebaik masa tambahan bermula tetapi
bola yang menuju ke jaring sempat ditepis keluar oleh Khairul yang menyaksikan
bola terkena tiang lalu melantun keluar.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cOfXa5V5©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan