Sabtu, 2 April 2016

FAM panggil tiga pemain Selangor -- Gelagat Sanbagamaran, Amri dan Fairuz bertentangan tatasusila

ARKIB : 10/01/2006

Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Sesudah ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar digantung 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tiga pemain `nakal' Selangor pula bakal menerima nasib yang sama.

Tiga pemain Selangor, K. Sanbagamaran, Mohd. Amri Yahyah dan Fairuz Montana Zainal Abidin Hassan akan dipanggil menghadap Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 16 Januari ini.

Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, FAM bukan tidak puas hati dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang membuat kepu-tusan memberi amaran keras ke atas ketiga-tiga pemain tersebut.

Sebaliknya, menurut beliau, jawatankuasa memandang serius tingkah laku ketiga-tiga pemain itu yang bertengkar dengan penyokong Merah Kuning sewaktu pertemuan dengan Negeri Sembilan.

``Daripada apa yang jawatankuasa lihat, gelagat tiga pemain Selangor itu jelas bertentangan dengan tatasusila sebagai pemain bola sepak,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.

Dalam insiden sewaktu Selangor tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Disember lalu, Sanbagamaran, Mohd. Amri dan Fairuz Montana telah bertengkar dengan segelintir penyokong Merah Kuning dan hampir-hampir mencetuskan pergaduhan.

Dalam insiden tersebut, segelintir penyokong meluahkan kata-kata kesat ke arah pengurus, jurulatih dan pemain.

Malah, segelintir penyokong mencaci dan mencerca dengan kata-kata kesat ekoran kekalahan keempat pasukan itu.

Situasi panas yang diwujudkan oleh mereka itu menyebabkan Sanbagamaran hilang sabar dan melontar botol mineral ke arah penyokong tersebut.

Sementara itu, Mohd. Amri dan Fairuz Montana pula terus meluru ke pagar dan bertengkar dengan segelintir penyokong Selangor.

Terdahulu Jawatankuasa Tatatertib FAS membuat keputusan sekadar memberi amaran keras dengan alasan kesalahan yang dilakukan oleh tiga pemain itu adalah yang pertama.

Mengulas lanjut Ibrahim menegaskan, FAM akan meneliti laporan penuh daripada FAS dan pesuruhjaya perlawanan pada malam kejadian tersebut.

``Selain itu juga, FAM akan mendapatkan pita video yang merakamkan gelagat ketiga-tiga pemain selepas tamat perlawanan dengan Negeri Sembilan.

``Kesemua ini akan FAM teliti bagi mendapat gambaran sebenarnya insiden yang terjadi. Kita memandang serius kejadian membabitkan tingkah laku pemain di padang,'' katanya.

Beliau berkata, jika jawatankuasa Tatatertib berpuas hati tingkah laku tiga pemain Selangor itu melanggar tatasusila sebagai pemain bola sepak, mereka bakal berdepan hukuman berat.

``Hukuman itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tatatertib,'' ujarnya.

Dalam pada itu beliau menambah, jawatankuasa itu akan turut membicarakan pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi yang tidak hadir pada sidang itu sebelum ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44fetFJEf © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan