ARKIB : 19/07/2009
Saya tahu gaya Van der Sar - Amri
KUALA LUMPUR - Tidak tidur lena
ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah malam semalam selepas berjaya menjaringkan
dua gol bertemu Manchester United dalam perlawanan persahabatan di Stadium
Nasional Bukit Jalil.
Lebih membanggakan jaringan
pertama yang dilakukannya pada minit ke-45 memang kelas dunia dan penjaga gol
yang ditewaskannya bukan calang-calang pemain, Edwin van der Sar.
Bagi anak kelahiran Tanjung
Karang itu ia merupakan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang
hidupnya terutama sekali selepas tiga tahun tidak beraksi untuk pasukan kebangsaan.
Menurut Amri, sebelum perlawanan
lagi dia sudah sedar penjaga gol kebangsaan Belanda itu sering berada di luar
posisi ketika beraksi di atas padang dan dia sudah menanam tekad dari awal
untuk sekurang-kurangnya melakukan lebih banyak percubaan jauh.
"Saya tahu cara permainan
Van der Sar, dia akan berada jauh pada gawang gol dalam satu-satu
perlawanan," katanya.
Jelasnya, ketika menerima bola
sepakan gol dari penjaga gol, Farizal Marlias, dia hanya menunggu bola tersebut
melantun sekali dan melihat Van der Sar sudah berada di luar posisi.
"Selepas melihat dia berada
di luar posisi saya tidak teragak-agak untuk melepaskan rembatan lambung dan
ternyata ia membuahkan hasil.
"Saya begitu gembira dengan
jaringan tersebut dan teruja dapat menewaskan penjaga gol yang sudah terkenal
dengan kehebatannya itu," kata Amri.
Ditanya mengenai jaringan kedua
yang dihasilkannya pada minit ke-52, Amri berkata, dia hanya bersabar dan
bertindak tepat pada masanya sebelum mengambil peluang keemasan itu tanpa
teragak-agak.
"Saya sedar dia (Ben Foster)
masih lagi baru dan banyak sentuh bola, ketika Gibson melakukan hantaran ke
belakang saya meluru untuk mendapatkan bola tersebut.
"Ketika itu penjaga gol
tersebut tersilap langkah dan mengambil masa untuk mengejar semula bola
hantaran pemainnya, saya tidak menunggu lama dan terus berlari pantas sebelum
menolak masuk bola ke dalam gawang," katanya.
Katanya, dia amat berterima kasih
kepada jurulatih, K. Rajagobal kerana memberi peluang kepadanya untuk beraksi
semula dalam skuad kebangsaan selepas tiga tahun tidak dipanggil bermain.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Y2juDE5n
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan