ARKIB : 16/11/2002
MOHD. AMRI YAHYAH selamat
menjalani pembedahan untuk memasukkan besi ke dalam kaki kirinya yang patah dan
masih menerima rawatan rapi di Pusat Perubatan Subang Jaya. Amri turut ditemani
dua abangnya selepas dibedah semalam. - Gambar Abd. Rahman Saleh.
Oleh Johari Shawal dan Mohd.
Taufek Razak
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia
(FAM) akan membela nasib Mohd. Amri Yahyah yang terbabit dalam nahas jalan raya
sehingga mengakibatkan kaki kirinya patah ketika dalam perjalanan pulang ke
Wisma FAM, Kelana Jaya, kelmarin.
Naib Presiden FAM, Datuk Seri Dr.
Ibrahim Saad berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan penuh polis mengenai
insiden itu sebelum memutuskan sebarang pampasan kepada pemain tengah Selangor
itu.
Katanya, setiap pemain kebangsaan
di bawah FAM mempunyai polisi insurans yang melindungi mereka daripada sebarang
kecederaan akibat kemalangan.
``Amri seorang pemain yang bagus
dan mempunyai masa depan yang cerah dalam bola sepak. Oleh itu kita tidak akan
membiarkan nasibnya terabai,'' katanya ketika dihubungi, semalam.
Amri, yang menjaringkan gol
kemenangan Selangor semasa perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang
Sabah, 2 November lalu, terbabit dalam kemalangan di Glenmarie, Shah Alam.
Pemain berusia 21 tahun itu
dikatakan dirempuh oleh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan ketika
dalam perjalanan pulang ke Wisma FAM, Kelana Jaya selepas membeli juadah
berbuka puasa.
Amri merupakan anggota pelatih
skuad kebangsaan yang sedang membuat persiapan menghadapi Piala Tiger di
Singapura, bulan depan.
Dr. Ibrahim berkata, (Setiausaha
Agung FAM) Datuk Dell Akbar Khan telah pun diarahkan meneliti kes kemalangan tersebut
sebelum FAM mengambil tindakan selanjutnya.
``Buat masa ini, FAM akan
menanggung semua perbelanjaan perubatan Amri di Pusat Perubatan Subang Jaya
(SJMC),'' ujarnya.
Dr. Ibrahim bersama Timbalan
Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Dell dan Penolong Setiausaha
FAM, Datuk Yap Nyim Keong turut melawat Amri yang dirawat di SJMC, petang
semalam.
Tengku Abdullah turut
menghulurkan sumbangan peribadi kepada Amri.
Sementara itu, Timbalan Presiden
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad melahirkan rasa sedih
dengan insiden yang menimpa Amri.
``Dia merupakan antara tonggak
utama Selangor dan nasib yang menimpanya turut dirasai oleh seluruh pasukan dan
peminat Selangor.
``Pemain Selangor juga mempunyai
polisi insurans tetapi dia kini di bawah pengurusan FAM dan bagi saya FAM lebih
bertanggungjawab mengenai apa sahaja yang berlaku ke atas pemain dalam skuad
kebangsaan,'' katanya.
Mokhtar menambah, keputusan
siasatan polis mengenai kemalangan itu juga memainkan peranan sama ada dia
perlu dibayar pampasan atau sebaliknya.
``Hasil siasatan polis akan
menentukan sama ada kesalahan itu berpunca daripada Amri sendiri atau kecuaian
pemandu lori,'' katanya.
Dalam pada itu Mokhtar berkata,
jika kecederaan yang dialami Amri kekal, FAM perlu bertanggungjawab berhubung
pampasan ke atas pemain itu.
Amri dijangka tidak dapat beraksi
untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan selepas pembedahan itu.
Ini bermakna dia tidak akan
mendapat tempat dalam skuad kebangsaan ke Piala Tiger dan terlepas beberapa
perlawanan penting membabitkan Selangor dalam Liga Malaysia termasuk perlawanan
Sumbangsih, Februari depan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cOvTK9xh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan