Rabu, 15 Februari 2017

Melaka United tundukkan PKNS FC 1-0

M JEFFRI RAZALI
14 FEBRUARI 2017
 Melaka United tundukkan PKNS FC 1-0
Melaka United tundukkan PKNS FC 1-0 Mohd Faizal Muhamad (kanan) cuba menghalang pergerakan Lucas Sebastian Espindola. - Foto Mohd Noordin Shariff
MELAKA United mara ke pusingan ketiga saingan Piala FA selepas menundukkan PKNS FC 1-0 dalam saingan pusingan kedua piala berkenaan di Stadium Hang Jebat malam ini.

Turun berbekalkan kekalahan kepada T-Team Sabtu lalu ternyata Melaka United nampak lebih banyak menyerang pada minit-minit awal permainan.

Melaka United hampir memperoleh gol hadiah pada minit ketujuh apabila hantaran ke belakang Gonzalo Manuel Soto akibat diasak Ilija Spasojevic hanya sipi di kiri gol PKNS FC walaupun penjaga gol Muhammad Zamir Selamat sudah tertewas.

Gandingan Amri Yahyah dan Spasojevic di bahagian hadapan nyata beberapa kali berjaya mengucar-kacirkan pertahanan PKNS FC.

Pada minit ke-21, kuisan Amri yang gagal dijangkau Muhammad Zamir berjaya mencecah jaring PKNS FC. Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan kerana ofsaid.

Pada minit ke-28, Melaka United sekali lagi dinafikan peluang untuk memecahkan kebuntuan apabila sepakan deras Muhammad Khairu Azrin Khazali dari jarak 30 meter di luar kotak penalti hanya mengegarkan palang gol.

Walaupun banyak bertahan dalam separuh masa pertama, PKNS FC beroleh peluang terbaik pada minit ke-40.

Safee Sali yang menerima hantaran Lucas Sebastian Espindola berjaya menewaskan keseluruhan pertahanan Melaka United sebelum percubaannya ke arah gol diselamatkan penjaga gol Mohd Fazli Paat menggunakan kaki kanannya.

Separuh masa kedua menyaksikan Melaka United terus mengandakan asakan di mana pada minit ke-55 pintu gol PKNS sekali lagi terselamat apabila percubaan Jeon Woo Young terkena tiang walaupun penjaga gol PKNS FC sudah tertewas.

Gol PKNS akhirnya bolos pada minit ke-65 apabila Amri yang menerima bola dari Spasojevic dengan tenang mendada bola sebelum melepaskan sepakan untuk menewaskan Muhammad Zamir.

PKNS FC yang seolah-olah kehilangan punca apabila beberapa percubaan mereka ke gawang Melaka United berjaya dipatahkan barisan pertahanan yang dikemudi Godwin Antwi.

Walaupun minit-minit akhir perlawanan menyaksikan PKNS FC melancarkan serangan bertubi-tubi namun ini tidak memadai untuk mereka menghalang Melaka United mencatat kemenangan tipis sekaligus mara ke pusingan seterusnya.

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 14 FEBRUARI 2017