Jumaat, 20 Oktober 2017

Selangor tidak akan gentar



 
 Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
KETIADAAN Amri Yahya (kiri) pada perlawanan menentang PDRM malam ini tidak akan menjejaskan corak permainan Selangor.

SELANGOR mahu melayan kunjungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa rasa takut dan gentar.

Demikian jelas jurulatihnya, Dollah Salleh menjelang pertemuan dengan skuad yang mendapat jolokan Sang Saka Biru itu pada saingan bola sepak Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini.

Biarpun PDRM berjaya menumbangkan pendahulu Liga Super, Terengganu 4-2 pada Sabtu lalu, Dollah tetap menganggap semua pasukan mempunyai kekuatan yang seimbang ketika ini.

“Saya tidak risau kerana kekuatan semua pasukan dalam Liga Super agak seimbang.

“Apa yang penting, saya mahu setiap pemain Selangor yang turun beraksi esok (malam ini) dapat mengekalkan corak permainan mantap bagi merealisasikan matlamat untuk mencapai kemenangan,” katanya semalam.

Dollah turut berharap pasukannya dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong dan gelanggang sendiri bagi memastikan pasukan pelawat itu berjaya ditumbangkan walau apa cara sekalipun.

“Saya tidak kisah tentang persembahan pemain. Kalau mereka main cantik pun seperti pada babak pertama ketika menentang Perlis (1 Januari lalu) tapi tak dapat jaringkan gol, tak guna juga.

“Apa yang saya mahu, pemain harus memanfaatkan segala peluang di depan gol untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik Selangor,” tegasnya.

Tentang ketiadaan dua tonggak iaitu Mohd. Fadzli Shaari yang menjalani pembedahan lutut kanan serta Mohd. Amri Yahyah yang diserang demam denggi, Dollah tidak gusar tentang situasi itu.

“Walaupun sedikit menjejaskan persiapan pasukan, tetapi tiada masalah buat saya. Ini kerana, dua pengganti mereka iaitu Safiq Rahim dan Indra Putra Mahayuddin setakat dua perlawanan lalu berjaya melaksanakan tugas masing-masing dengan baik,” katanya.

Ditanya kemungkinan PDRM bakal menurunkan penyerang import dari Singapura, Noh Alam Shah, pengendali Selangor itu berkata, dia tidak tahu tentang perkara itu tetapi tidak risau jika pemain itu diturunkan.

“Saya percaya, pemain-pemain pertahanan saya boleh menangkis asakan rangkaian penyerang lawan. Setakat ini, saya puas hati dengan gandingan Evans Chisulo dan Razman Roslan di bahagian pertahanan,” ujarnya.

SUBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w7YoDkUp
Hakcipta terpelihara