Isnin, 15 Januari 2018 | 6:30pm
PEMAIN berpengalaman Selangor,
Amri Yahyah sifatkan statusnya bukan jaminan untuknya kekal dalam kesebelasan
utama musim ini. - Foto Osman Adnan
Amri mula rasa bahang cabaran
pemain muda
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@nstp.com.my
SHAH ALAM: Amri Yahyah
menyifatkan statusnya sebagai penyerang berpengalaman bukan jaminan untuknya
mengekalkan posisi dalam kesebelasan utama Selangor dalam kempen Liga Malaysia
(Liga M), musim ini.
Malah, Amri mengakui sepanjang
latihan dan mengharungi beberapa aksi pramusim, pemain muda begitu ghairah
membuktikan kemampuan masing-masing sekali gus saingan untuk memikat ketua jurulatih,
P Maniam menjadi sengit.
Justeru, pemain kelahiran Tanjung
Karang itu mahu semua pemain terus dengan sikap positif itu seterusnya memberi
masalah kepada Maniam dalam membuat keputusan.
"Liga Super adalah pentas
yang menjanjikan tahap berbeza. Pemain kena beri lebih lagi untuk merebut
tempat.
"Begitu juga saya kerana
kedudukan saya dalam kesebelasan utama masih belum terjamin. Saya pun kena
bersaing untuk merebut tempat.
"Bagi saya, ia persaingan
sihat antara pemain sekali gus beri masalah kepada jurulatih untuk memilih
kesebelasan utama," katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.
Bagaimanapun, sebagai individu
yang cukup mengenali selok belok pertandingan utama di negara ini, Amri
mengingatkan pemain muda supaya mengekalkan keinginan untuk terus memajukan
diri.
"Jangan terlalu yakin dan
mudah berasa selesa. Apa yang penting cuba beri yang terbaik dalam setiap
perlawanan," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin,
15 Januari 2018 | 6:30pm