Ahad, 27 November 2016

Amri minta maaf 
kepada peminat

FADHILUL IZMEL ISHAK MELAPORKAN DARI YANGON  |  28 November 2016 12:04
 Amri YAHYAH bercakap kepada wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa
AMRI YAHYAH bercakap kepada wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sekembalinya dari Yangon semalam.
YANGON 27 Nov. – Ketua pasukan Mohd. Amri Yahyah meminta maaf kepada peminat Harimau Malaysia dan meluahkan rasa kecewanya dengan kegagalan mereka mara ke separuh akhir kejohanan Piala AFF tetapi me­negaskan kegagalan itu tidak akan memaksanya untuk bersara.
Ini kali pertama Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan dalam kejohanan dwitahunan tersebut selepas kalah kepada Myan­mar 1-0 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B yang berlangsung di sini.
Prestasi Harimau Malaysia dalam kejohanan kali ini nampak goyah sejak perlawanan pertama menentang Kemboja yang menyaksikan Malaysia ketinggalan sebelum akhirnya menang tipis 3-2. Malaysia kemudian tewas 1-0 kepada Vietnam dalam perlawanan kedua.
“Saya mewakili semua pemain mengucapkan terima kasih ba­nyak-banyak kepada peminat yang sudi hadir untuk menyaksikan perlawanan kami sepanjang kejohanan ini berlangsung.
“Jujurnya kami terharu dengan sokongan yang diberikan kerana jarang melihat penyokong hadir ke tempat seperti ini dengan jumlah yang ramai semata-mata mahu menyaksikan persembahan Harimau Malaysia.
“Saya juga mewakili semua pemain ingin memohon maaf kepada penyokong dengan apa yang berlaku sepanjang kejohanan ini berlangsung. Saya berharap peminat dapat mengharunginya dengan hati yang tabah. Kami akan perbaiki lagi corak permainan pada masa depan,” katanya kepada pemberita di hotel penginapan skuad negara.
Amri berkata walaupun kecewa dengan kegagalan mereka tetapi menegaskan keseluruhan anggota pasukan telah berusaha bersungguh-sungguh dan memberikan yang terbaik dalam semua perlawanan yang mereka harungi di sini.
“Saya terharu dengan komitmen semua rakan sepasukan. Mereka tetap tabah dan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi,” katanya.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), yang diuar-uarkan akan kembali menyarung jersi pasukan negerinya Selangor dalam kempen Liga Malaysia tahun depan, merupakan pemain paling tua dalam pasukan pada usia 35 tahun namun kegagalan di Yangon tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyarung jersi negara selagi khidmatnya diperlukan. – UTUSAN
SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/amri-minta-maaf-8232-kepada-peminat-1.413124#sthash.wrp7n9SL.dpuf



Selasa, 22 November 2016

Malaysia lebih kental berbanding Vietnam

23 November 2016 12:13 AM
ONG KIM SWEE (dua dari kiri) bersalaman dengan Nguyeen Huu Thangdalam
ONG KIM SWEE (dua dari kiri) bersalaman dengan Nguyeen Huu Thangdalam sidang akhbar Piala AFF di Yangon, semalam. Turut hadir Amri Yahyah (kiri) dan Le Cong Vinh.
YANGON 22 Nov. – Jurulatih Vietnam, Nguyen Huu Thang tidak menganggap ketiadaan empat tonggak Harimau Malaysia yang bersara pada pertengahan tahun ini memberi kelebihan kepada pasukannya apabila berdepan skuad Datuk Ong Kim Swee itu di Stadium Thuwunna esok.
Huu Thang, bekas pemain Vietnam dari 1996 hingga 2002 sebaliknya percaya, Malaysia, yang turun selaku juara 2010 dan naib juara dua tahun lalu memiliki semangat juang yang tinggi dan itu terbukti apabila mereka bangkit dua kali ketika menumpaskan Kemboja 3-2 dalam aksi pembukaan, Ahad lalu.
“Walaupun empat tonggak Malaysia sudah bersara dari pentas antarabangsa namun mereka tetap pasukan yang sukar.
“Mereka ada pemain yang bagus, malah melihat bagaimana Malaysia bangkit daripada ke­tinggalan dua kali ketika bertemu Kemboja, saya fikir semangat juang mereka lebih bagus berbanding kami,” kata Huu Tang.
Harimau Malaysia sebelum ini menerima tamparan apabila hilang empat tonggak diketuai kapten, Safiq Rahim, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak, S. Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal yang membuat keputusan bersara pada Julai lalu.
Dalam pada itu, Huu Thang berkata, dia turut sependapat dengan Kim Swee bahawa ber­aksi pada pukul 3 petang bukan perkara mudah, namun terpaksa akur kerana jadual perlawanan sudah dibuat.
“Saya setuju dengan Kim Swee bahawa bermain pada pukul 3 petang memang sukar. Jadual sudah pun dibuat jadi kami perlu bersedia secara mental dan fizikal.
“Saya teruja untuk bertemu Malaysia dan mengharapkan keputusan positif menyebelahi kami,” katanya lagi.
Sementara itu kapten Viet­nam, Le Cong Vinh percaya, pasukannya perlu bekerja keras untuk menempatkan diri ke separuh akhir.
“Bertemu Malaysia tidak mudah. Pasukan kami sudah dipersiapkan sebaik yang mungkin dan apa yang boleh kami lakukan esok adalah beraksi dengan strategi sendiri bagi mencari keputusan terbaik,” katanya

SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-lebih-kental-berbanding-vietnam-1.410910#sthash.LyKEcltx.dpuf

Isnin, 21 November 2016

Tak boleh ulangi kesilapan – Amri

21 November 2016 12:26 AM
 MOHD. AMRI YAHYAH (dua dari kiri) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol kemenangan Malaysia d
MOHD. AMRI YAHYAH (dua dari kiri) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol kemenangan Malaysia dalam aksi Piala AFF di Yangon, semalam.
YANGON 20 Nov. – Wira kemena­ngan Harimau Malaysia, Mohd. Amri Yahyah percaya, insiden gol pelik yang dialami dalam pertemuan menentang Kemboja hari ini menjadi ­iktibar buat dia dan rakan-rakan sepasukan.
Kapten Harimau Malaysia itu, yang meledak dua gol untuk membantu pasukan negara menang 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF berkata, dia lega kerana perlawanan berakhir dengan kemenangan milik skuad negara biarpun ia sebenarnya boleh menjadi sebaliknya.
“Syukur kerana kami berjaya mencatat kemenangan hari ini, namun saya fikir kami perlu memperbaiki permainan dan tidak mengulangi kesilapan se­perti itu lagi pada aksi seterusnya.
“Kekeliruan pengadil dan penjaga garisan menyebabkan kami berhenti bermain seketika kerana penjaga garisan sudah mengangkat bendera.
“Kami cuba untuk membantah jaringan tersebut namun pengadil perlawanan memberitahu kedudukan pemain Kemboja tidak ofsaid kerana bola terkena pemain sendiri (Shahrul Saad).
“Kita tidak boleh melakukan kesilapan seperti itu lagi dan apabila kami memperoleh gol kami juga dibolosi,” katanya kepada pemberita di sini selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Amri turut mendedikasi kemenangan tersebut kepada semua peminat bola sepak tempatan.
“Kejayaan ini merupakan hasil doa keluarga, rakan-rakan dan pasukan yang banyak membantu serta semua peminat bola sepak Malaysia. Saya harap kita dapat melangkah ke peringkat separuh akhir,” katanya lagi.
Kata Amri, Chan Vathanka bijak mengambil peluang dalam ­situasi yang menggelirukan ketika meletakkan pasukannya di depan seawal minit ketujuh permainan.
Malaysia dijadual menentang pasukan pilihan dan juara 2008, Vietnam dalam aksi kedua, Rabu ini sebelum bertemu tuan rumah, Myanmar pada Sabtu.
Kata Amri lagi, walaupun tidak memulakan permainan de­ngan aksi yang diharapkan, namun kejayaan mengutip tiga mata penuh cukup melegakan kerana menganggap dua perlawanan berikutnya jauh lebih sukar. – utusan

SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tak-boleh-ulangi-kesilapan-8211-amri-1.410025#sthash.VhIxTQHw.dpuf

Dua gol Amri benam Kemboja

Gol pertama Malaysia menerusi Syazwan Zainon menentang Kemboja. FOTO HM/OSMAN ADNAN
Daripada Aziman Rosdi di Yangon (Myanmar)
aziman@hmetro.com.my

Yangon: Skuad Harimau Malaysia terpaksa mencipta kebangkitan sebelum menundukkan Kemboja 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2016 di Stadium Thuwunna, hari ini.

Kapten Mohd Amri Yahyah muncul wira dengan meledak dua gol pada separuh masa kedua.

Kejayaan meraih tiga mata penuh itu memberi kelegaan buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang bakal berdepan lawan lebih handal Vietnam dan Myanmar selepas ini.

Kim Swee hanya melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding ketika mengalahkan Papua New Guinea 2-1 dalam aksi persahabatan Isnin lalu apabila memasukkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dengan Khairul Azhan Khalid manakala Syazwan Zainon mengambil tempat Zaquan Adha Abd Radzak di posisi sayap kiri.

Malaysia menguasai permainan di awal permainan namun mereka dikejutkan dengan gol kontroversi Kemboja pada minit ke-8 oleh Chan Vathanaka.

Pemain Malaysia membantah gol berkenaan apabila penjaga garisan sudah mengangkat bendera sebagai tanda ofsaid namun pengadil dari Oman Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah mengesahkan jaringan kerana Vathanaka menerima bola sepakan Shahrul Saad.

Bagaimanapun gol itu tidak mematahkan semangat juang Harimau Malaysia yang bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi percubaan menarik Syazwan untuk gol pertamanya di pentas antarabangsa.

Malaysia juara 2010 dan naib juara edisi terakhir 2014 sekali lagi terperangkap dengan perangkap ofsaid sendiri apabila Vathanaka berjaya meloloskan diri sebelum melepaskan rembatan kencang untuk gol kedua pada minit ke-58.

Ketika Harimau Malaysia diambang kekalahan Amri, 35, menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol pada m-68 dan 80 untuk kedudukan 3-2.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 6:36 PM

Amri gesa rakan berjuang habis-habisan

AMRI (tengah) berkata sesuatu kepada Syazwan Zainon.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Yangon: “Saya harap semua pemain akan bermain mati-matian dalam perlawanan esok (hari ini),” kata kapten Harimau Malaysia Mohd Amri Yahya menjelang pertembungan dengan Kemboja.

Menurut pemain berusia 35 tahun itu, kesemua pemain sudah bersedia memulakan misi getir dengan kemenangan pada perlawanan pembukaan cukup penting bagi mencari tiket ke separuh akhir.

“Kita tidak boleh terlalu yakin tapi memerlukan keyakinan untuk mengalahkan Kemboja. Saya berharap semua pemain memberikan komitmen tinggi bagi memastikan kita mendapat keputusan baik dalam perlawanan pertama,” kata Amri ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Di atas kertas sememangnya Kemboja yang layak selaku juara pusingan kelayakan bukan pasukan pilihan dalam saingan Kumpulan B yang turut membabitkan Vietnam dan Myanmar.

Malah kali terakhir Kemboja mengalahkan Malaysia adalah pada 1973 dengan kemenangan 2-0 dalam perlawanan Piala Presiden Korea Selatan di Seoul.

“Kita tak boleh memandang rendah keupayaan Kemboja, mereka sudah meningkat jadi kita kena memberikan aksi terbaik,” kata Amri.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:18 AM

Amri hanya fokus Piala AFF

Enggan ulas kemungkinan kembali ke pangkuan Selangor
FADHILUL IZMEL ISHAK MELAPORKAN DARI YANGON  |  18 November 2016 12:21 AM
Amri Yahyah
Amri Yahyah
Yangon 17 Nov. - Ketua pasukan Harimau Ma­­laysia, Mohd. Amri Yah­yah hanya mahu memberi fokus terhadap misi di Myanmar ketika ini dan bukan hal lain termasuk kariernya di pe­ringkat kelab.
Desas-desus mengatakan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu akan kembali ke pangkuan Selangor, pasukan yang menggilapnya menjadi pemain yang di­sanjung, pada musim depan tetapi Amri ber­­kata ketika ini mentalnya dipersiapkan untuk mengetuai barisan skuad negara menghadapi kem­pen Piala AFF di Yangon.
Amri berkata dia tidak mahu memikirkan masa depannya buat sementara waktu apabila dia sedang bersama skuad kebangsaan yang akan memulakan kempen dalam Piala AFF dengan menentang Kemboja di Stadium Thwunna pada Ahad ini.
Semalam Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata dalam laman Facebook Johor Southern Tigers (JST) bahawa pemain berusia 35 tahun itu bakal kembali ke pangkuan Red Giants yang menawarkan harga RM150,000 untuk mendapatkan Amri.
Pemilik JDT itu juga berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk mendapatkan khidmat Ahmad Hazwan Bakri.
“Saya minta maaf saya tidak boleh membuat sebarang kenya­taan. Saya mahu memberi tumpuan kepada Piala AFF terlebih dahulu. Selepas itu barulah saya akan memikirkan mengenai masa depan saya pada musim hadapan,” katanya kepada Utusan Ma­laysia di Stadium Aung San di mana Harimau Malaysia menjalani latihan hari ini.
Amri turut enggan mendedahkan tempoh tamat kontraknya bersama JDT kerana menyifatkan isu kontrak bersama majikan sesuatu per­­kara yang tidak boleh dikongsi kepada umum.
Mengulas lanjut me­n­genai persiapan skuad kebangsaan menjelang pertemuan dengan Kemboja dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Amri berkata dia tidak pernah menentang pasukan tersebut namun mengetahui lawan yang bakal dihadapi menggunakan corak permainan pantas.
“Semua pemain berada dalam keadaan sihat dan kami sedang menyesuaikan diri (dengan cuaca) sebelum menghadapi perlawanan pertama. Bagi saya Kemboja seperti pasukan lain iaitu Myanmar dan Vietnam.
“Apa yang saya tahu mereka bermain laju dengan kami perlu menghalang mereka menerapkan corak taktikal yang mereka kehendaki. Saya tidak pernah ber­aksi menentang Kemboja namun sebelum menghadapi mereka ka­­mi akan menonton rakaman vi­deo terlebih dahulu,” katanya lagi.
Sementara itu, penyerang Se­langor, Hazwan juga enggan me­ngulas mengenai masa depannya bersama Selangor selepas turut dikaitkan bakal berhijrah ke JDT pada musim depan.
“Saya tidak mahu memberi kenyataan sebab saya nak fokus kepada Piala AFF, lagipun saya masih mempunyai kontrak selama setahun bersama Selangor iaitu tamat pada 2017. Saya kena hormati majikan,” katanya. – UTUSAN

SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/amri-hanya-fokus-piala-aff-1.408911#sthash.N0ptgSmD.dpuf

Selasa, 8 November 2016

Amri, Safee kembali ke Selangor?

Amri, Safee ke Selangor?
ROZAIDI ZULKIFLI  |  09 November 2016 12:08 AM
 
KUALA LUMPUR 8 Nov. - Kehangatan urusan mencari pemain untuk memperkuatkan pasukan masing-masing bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) 2017 semakin hangat ketika ini dengan Selangor terus menjadi lubuk utama Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapatkan pemain berkualiti.
Tidak kira pasukan dalam saingan bola sepak Liga Super dan Perdana mahupun Piala FAM, setiap pasukan dikatakan telah menyediakan bajet untuk mendapatkan pemain terbaik bagi memburu kejuaraan musim depan.
Sementara itu, desas-desus kedengaran bahawa Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Safee Mohd. Sali mahu meninggalkan JDT dan kembali menyarung jersi Selangor yang suatu ketika dahulu menaikkan nama mereka sehingga berjaya menggapai kejayaan dimiliki sekarang.
Bagaimanapun, Harimau Selatan yang kali ini menumpukan fokus mereka kepada pemain muda dengan dua pemain Selangor iaitu Ahmad Hazwan Bakri dan Nazmi Faiz Mansor pula akan berhijrah ke kelab juara Liga Super tiga kali berturut-turut itu.
Pahang contohnya dikhabarkan ba­kal berwajah baharu apabila lima pemain yang pernah menyarung jersi kebangsaan bakal menyertai skuad Tok Gajah.
Mereka yang dikaitkan dengan pasukan yang pernah digelar Real Madrid Malaysia itu adalah Ashari Samsudin, Joseph Kalang Tie, Zubir Mohd. Azmi, Muslim Ahmad dan Ahmad Syamim Yahya. Bekas pemain Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Ali Ashfaq dari Maldives juga bakal menguatkan skuad Tok Gajah musim depan.
Dalam pada itu, Melaka United yang pertama kali akan bersaing dalam liga elit negara itu turut mendapatkan beberapa pemain berpengalaman untuk memberi persaingan sengit.
Membantu Kedah menjulang Piala Malaysia dan menabur bakti selama dua musim bersama pasukan Lang Merah, difahamkan Liridon Krasniqi bakal berubah angin dengan menyertai Felda United yang diperkuatkan lagi dengan Mohd. Fakrul Aiman Sidid dan Norshahrul Idlan Talaha.

-SUMBER See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/amri-safee-kembali-ke-selangor-1.405234#sthash.mBUkdohE.dpuf