Enggan ulas kemungkinan kembali ke pangkuan Selangor
FADHILUL IZMEL ISHAK MELAPORKAN DARI YANGON | 18 November 2016 12:21 AM
Amri Yahyah
Yangon 17 Nov. - Ketua pasukan Harimau Malaysia, Mohd. Amri Yahyah hanya mahu memberi fokus terhadap misi di Myanmar ketika ini dan bukan hal lain termasuk kariernya di peringkat kelab.
Desas-desus mengatakan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu akan kembali ke pangkuan Selangor, pasukan yang menggilapnya menjadi pemain yang disanjung, pada musim depan tetapi Amri berkata ketika ini mentalnya dipersiapkan untuk mengetuai barisan skuad negara menghadapi kempen Piala AFF di Yangon.
Amri berkata dia tidak mahu memikirkan masa depannya buat sementara waktu apabila dia sedang bersama skuad kebangsaan yang akan memulakan kempen dalam Piala AFF dengan menentang Kemboja di Stadium Thwunna pada Ahad ini.
Semalam Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata dalam laman Facebook Johor Southern Tigers (JST) bahawa pemain berusia 35 tahun itu bakal kembali ke pangkuan Red Giants yang menawarkan harga RM150,000 untuk mendapatkan Amri.
Pemilik JDT itu juga berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk mendapatkan khidmat Ahmad Hazwan Bakri.
“Saya minta maaf saya tidak boleh membuat sebarang kenyataan. Saya mahu memberi tumpuan kepada Piala AFF terlebih dahulu. Selepas itu barulah saya akan memikirkan mengenai masa depan saya pada musim hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Stadium Aung San di mana Harimau Malaysia menjalani latihan hari ini.
Amri turut enggan mendedahkan tempoh tamat kontraknya bersama JDT kerana menyifatkan isu kontrak bersama majikan sesuatu perkara yang tidak boleh dikongsi kepada umum.
Mengulas lanjut mengenai persiapan skuad kebangsaan menjelang pertemuan dengan Kemboja dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Amri berkata dia tidak pernah menentang pasukan tersebut namun mengetahui lawan yang bakal dihadapi menggunakan corak permainan pantas.
“Semua pemain berada dalam keadaan sihat dan kami sedang menyesuaikan diri (dengan cuaca) sebelum menghadapi perlawanan pertama. Bagi saya Kemboja seperti pasukan lain iaitu Myanmar dan Vietnam.
“Apa yang saya tahu mereka bermain laju dengan kami perlu menghalang mereka menerapkan corak taktikal yang mereka kehendaki. Saya tidak pernah beraksi menentang Kemboja namun sebelum menghadapi mereka kami akan menonton rakaman video terlebih dahulu,” katanya lagi.
Sementara itu, penyerang Selangor, Hazwan juga enggan mengulas mengenai masa depannya bersama Selangor selepas turut dikaitkan bakal berhijrah ke JDT pada musim depan.
“Saya tidak mahu memberi kenyataan sebab saya nak fokus kepada Piala AFF, lagipun saya masih mempunyai kontrak selama setahun bersama Selangor iaitu tamat pada 2017. Saya kena hormati majikan,” katanya. – UTUSAN
SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/amri-hanya-fokus-piala-aff-1.408911#sthash.N0ptgSmD.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan