ARKIB : 11/06/2001
PENJAGA gol Sarawak, Mohd.
Azley Abdullah menangkap kemas bola daripada diterpa oleh dua pemain Selangor,
Rusdi Suparman (tengah) dan Nizaruddin Yusof sewaktu perlawanan akhir bola
sepak Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Selangor menang 1-0.
- Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
TANDUKAN emas pemain
pertahanan, D. Surendran pada minit ke-109 masa tambahan sudden death menjulang
Selangor selaku juara edisi ke-12 bola sepak Piala FA, menewaskan Sarawak 1-0
pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Kedua-dua pasukan terpaksa
bermain pada masa tambahan selepas kedudukan terikat tanpa jaringan selepas
berhempas pulas memburu jaringan pada 90 minit permainan.
Jaringan Surendran hadir dalam
satu aksi serangan balas yang pantas dari sebelah kanan dengan pemain sayap
kanan, Mohd. Shawal Johadi membuat hantaran lintang sebelum ditanduk cantik
Surendran dalam kotak penalti, menewaskan penajaga gol Mohd. Azley Abdullah
yang beraksi cemerlang sebelum itu.
Kejayaan itu adalah kali ketiga
buat Selangor dalam empat penampilan pada pentas akhir selepas 1990, 1991 dan
1997. Ia juga kekecewaan kali ketiga buat Sarawak selepas kali terakhir
menjulang Piala FA pada 1992.
Aksi menghiburkan oleh
kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama di depan kira-kira 50,000 penonton,
sebahagian besar penyokong Merah Kuning.
Begitupun, pasukan `tuan rumah'
Selangor lebih dulu mencuri tumpuan dengan percubaan pertama menerusi Surendran
yang menyepak melepasi palang gol pada minit ketujuh hasil sepakan percuma dari
jarak 25 meter.
Pemain itu berpeluang melakukan
sekali lagi menerusi sepakan percuma dari tempat dan jarak yang sama tiga minit
kemudian tetapi kali ini ditepis keluar penjaga gol Sarawak, Mohd. Azley
Abdullah.
Sarawak yang pada mulanya
bertahan, membalas serangan dan peluang terbaik hadir minit ke-20 apabila
percubaan Mohd. Nazri YUNOS terkena badan B. Rajinikandh dan tersasar sipi dari
tiang gol ketika Azmin Azram Aziz agak jauh untuk menjangkaunya.
Abdul Halim Jantan hampir
menggegarkan jaring Selangor dua minit kemudian apabila bola yang disambarnya
hasil hantaran ke tengah Ramos Sari mengenai jaring sebelah luar.
Penyerang Selangor, Mohd.
Nizaruddin Yusof mendapat dua peluang terbaik pada minit ke-24 dan 26 tetapi percubaannya
dinafikan Mohd. Azley yang beraksi cemerlang mengawal gawangnya.
Ramos hampir menutup babak
pertama dengan jaringan sulung tetapi sepakan kaki kirinya dari sebelah kanan
sipi di kiri gawang Selangor.
Biarpun mendapat sorakan padu
penyokong, kedua-dua pasukan tidak banyak mendapat atau melakukan
percubaan-percubaan berbahaya pada 25 minit babak kedua.
Tetapi peluang terbaik hadir
untuk Sarawak minit ke-71 menerusi sepakan percuma Ramles Sari yang menyaksikan
percubaannya melepasi sedikit palang gol.
Begitupun, baki permainan
seterusnya agak menghampakan dengan tiada sebarang percubaan berbahaya
dilakukan kedua-dua pasukan yang memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa
tambahan sudden death.
Namun, tandukan cemerlang
Surendran memberi kejuaraan buat kali ketiga buat Selangor dalam kempen edisi
ke-12 ini.
SELANGOR:
Azmin Azram Aziz, B.
Rajinikandh, Khairil Zainal, Shamsul Amri Abu Bakar, Nor Suhaimi Bahaudin, D.
Surendran, Asmawi Bakiri (Khairun Haled Masrom), Jaafar Salleh (Mohd. Amri
Yahya), Yusri Che Lah, Mohd. Nizaruddin Yusof, Rusdi Suparman (Mohd. Shawal
Johadi).
SARAWAK:
Mohd. Azley Abdullah, Jeffry
Untam, Mohd. Nazri YUNOS (Abang Mohd. Zafari), Mohd. Zaidil Sakup (Samsul
Napiah), Dahlan Matusin, Mohd. Ali Sapiee, Gilbert Cassidy Gawing, G. Muthu
(Bobby Pian), Ramos Sari, Ramles Sari, Abdul Halim Jantan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4beP3CwKg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan