Isnin, 27 Mac 2017

Amri merindui sentuhan perdana

ARKIB : 20/01/2003
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
BINTANG Selangor, Amri Yahyah terkilan kerana hanya akan menjadi penonton ketika aksi bola sepak tempatan bakal menyingkap tirainya kira-kira tiga minggu lagi.

Ini kerana anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu masih belum pulih daripada kecederaan betis kiri yang dialami dalam satu kemalangan jalan raya November tahun lalu.

Amri, 22, jelas begitu kecewa kerana terpaksa berehat panjang dan terlepas beberapa perlawanan awal Liga Malaysia termasuk Piala Sumbangsih bertemu Pulau Pinang 9 Februari depan.

``Saya teringin untuk bermain dalam perlawanan itu (Piala Sumbangsih) tetapi apakan daya saya masih cedera,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, kecederaan itu juga meragut impian Amri untuk menyarung jersi kebangsaan buat pertama kali selepas dipanggil bagi latihan pasukan negara dalam Piala Tiger di Singapura, Disember lalu.

Menurut pemain bertubuh kecil itu dia masih terasa sakit pada betis kirinya dan terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.

``Sudah hampir dua bulan saya cuma duduk di rumah dan setiap kali cuba menggerakkan kaki, saya rasa sakit pada bahagian betis,'' ujarnya yang turut mendapatkan rawatan tradisional bagi merawat kecederaan tersebut.

Jelasnya, berdasarkan perkiraan doktor pakar, dia terpaksa menunggu sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan itu.

Ini bermakna Amri dijangka hanya dapat bermain semula pada Mei atau Jun depan.

Tempoh rehat yang panjang tanpa sebarang latihan fizikal pasti menyukarkannya merebut semula tempat dalam kesebelasan pasukan Red Giants.

Hakikat ini disedari Amri yang mengakui tidak akan diberi tempat secara automatik dan perlu menunjukkan aksi terbaik apabila sembuh kelak, biarpun dijulang sebagai wira Selangor musim lalu.

``Sudah tentu saya terpaksa berusaha lebih gigih untuk mendapatkan tempat dalam pasukan Selangor.

``Pemain-pemain lain sudah bersedia sedangkan saya ketika itu baru mahu memulakan aksi,'' katanya yang membantu Selangor menjulang Piala Malaysia kali ke-29 musim lalu, hasil jaringan emas pada minit ke-100 ketika menewaskan Sabah 1-0.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cW20HGLs

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan