Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
AMRI (tengah) tidak pernah
menghampakan setiap kali disenaraikan beraksi dalam kesebelasan utama skuad
negara.
“JAGA waktu rehat, pemakanan
dan waktu tidur adalah rutin wajib bagi saya untuk menjaga tahap kecergasan,”
Itu resepi diamalkan penyerang
Harimau Malaya, Mohd. Amri Yahyah yang masih berjaya mengekalkan prestasi
cemerlang baik ketika beraksi bersama kelab, Johor Darul Takzim (Johor DT)
mahupun ketika bermain dengan skuad Harimau Malaya.
Meskipun usia Amri yang lebih
popular dengan nama panggilan ‘Wak Am’ telah mencecah 33 tahun tetapi kelibat
bekas pemain Selangor tersebut tidak pernah mengecewakan peminat-peminat bola
sepak tanah air ketika setiap kali diturunkan beraksi.
Malah, Wak Am adalah pemain
yang paling gigih berlatih dan selalu menjalani latihan tambahan secara
persendirian dengan memperbaiki teknik sepakan percuma tanpa disuruh
jurulatihnya, Dollah Salleh ketika ‘berkampung’ selama 10 hari di Singapura
bagi menghadapi kempen Piala AFF Suzuki 2014.
Lebih manis, Wak Am antara
pemain negara yang berjaya melakar nama sebagai penjaring apabila meledak gol
pembukaan ketika mereka tewas 2-3 kepada Thailand dalam aksi kedua Kumpulan B
di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 26 November lalu.
Bagaimanapun, Wak Am sentiasa
memberikan persembahan terbaik dan hasilnya, sumbangan besarnya berjaya
membantu skuad negara melangkah ke pusingan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014
dengan menewaskan Singapura 3-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan malam
kelmarin.
Skuad negara yang meraih empat
mata, mengiringi Thailand selaku pendahulu Kumpulan B ke separuh akhir dan
mereka akan menentang juara Kumpulan A, Vietnam pada aksi separuh akhir pertama
di Stadium Shah Alam pada 7 Disember depan.
Namun, Dollah sebelum ini
pernah dikritik hebat apabila menyenaraikan dua kuda tua dari Felda United,
Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin dalam skuad negara.
Rata-rata pemerhati bola sepak
negara tidak bersetuju dengan pengambilan pemain-pemain senior yang melebihi
usia 30 tahun kerana mereka mahukan bekas pengendali Pahang itu memberi
kepercayaan kepada pemain-pemain muda untuk membentuk skuad kebangsaan.
Begitupun, pencaturan Dollah
itu berjaya menutup mulut pengkritik yang mana Indra salah seorang pemain
veteran yang diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan, berjaya meledak gol
ketiga skuad Harimau Malaya ketika menewaskan Singapura selain prestasi
memberangsangkan dipamerkan oleh Amri.
Mengulas lanjut mengenai
pencapaiannya sepanjang beraksi di pentas Piala AFF Suzuki 2014, Wak Am
berkata, pengambilan pemain-pemain senior sebenarnya mengimbangi pasukan dengan
lebih baik.
Menurutnya, keputusan Dollah
seharusnya dilihat daripada sudut positif kerana pengalaman yang dimiliki
pemain berusia itu sebenarnya mampu mengimbangi kekuatan skuad berkenaan.
“Makin tua, makin menjadi itu
mungkin persepsi peminat tetapi saya berpendapat faktor pemakanan dan menjaga
waktu rehat cukup penting bagi pemain-pemain yang semakin dimamah usia.
“Sejujurnya, saya fikir tiada
masalah untuk memanggil pemain yang telah berusia, lagi pun prestasi mereka
berada pada tahap terbaik ketika ini.
“Dalam skuad tahun ini, saya
bersama Shukur, Indra dan Piya (Mohd. Badri Mohd. Radzi) adalah pemain-pemain
yang boleh dikatakan sudah veteran.
“Namun, jika pemain veteran ini
masih berupaya menyumbangkan sesuatu di peringkat antarabangsa, tidak salah
untuk menagih khidmat mereka.
“Pendapat saya, untuk kebaikan
skuad kebangsaan, ada baiknya kita kekalkan beberapa pemain veteran bagi
membimbing atau memberikan contoh kepada pemain-pemain muda,” katanya ketika
ditemui Kosmo! di Stadium Bishan, Singapura baru-baru ini.
Sementara itu, pemain berusia
33 tahun tersebut mengakui perlu bekerja keras dalam misi beraksi dalam
kesebelasan utama skuad Harimau Malaya dengan pemain-pemain ternama seperti
Safiq Rahim, S. Kunanlan dan Hafiz Kamal yang dilihat memiliki kelebihan faktor
usia lebih muda daripadanya.
Tambahnya lagi, dia
berjanjakan mempamerkan aksi lebih baik jika diturunkan dalam kesebelasan
utama selepas ini setelah mendapatkan kepercayaan Dollah ketika menanti
kunjungan Vietnam di Shah Alam nanti.
“Apapun, saya tidak mahu
terlepas untuk mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan terima kasih kepada
rakan-rakan sepasukan yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya.
“Tanpa sokongan mereka, tidak
mungkin saya akan berada di sini dan sudah pasti juga, saya mahu mengucapkan
terima kasih kepda jurulatih yang masih menaruh kepercayaan kepada saya.
“Saya berazam untuk melakukan
aksi lebih baik daripada sebelum ini jika diturunkan dalam skuad utama nanti,”
katanya.
Mengimbas pembabitannya dalam
skuad kebangsaan, Amri boleh dianggap antara pemain yang kurang mendapat
perhatian daripada jurulatih skuad negara sebelum ini.
Dia mula mengetuk pintu skuad
negara pada tahun 2001 namun tidak berpeluang beraksi dengan lebih kerap
walaupun prestasinya bersama Selangor dalam siangan liga tempatan boleh
dikatakan sungguh cemerlang.
Pada tahun pertama (2001)
ketika namanya disenaraikan dalam skuad kebangsaan, dia gagal untuk mendapat
tempat, sebalinya namanya sekadar diletakkan dalam senarai simpanan sahaja.
Ketika itu dia berdepan ramai
persaingan termasuk Zaquan Adha Abdul Radzak, Safee Sali, Indra Putra mahupun
Nor Farhan Mohammad yang semuanya sedang berada di puncak prestasi.
Kegagalan tersebut tidak pernah
mengecewakan Amri, sebaliknya dia terus bekerja keras untuk mengekalkan
prestasinya.
Begitupun, ketika diberi
peluang beraksi dalam satu perlawanan persahabatan menentang Manchester United
pada tahun 2009, Amri tampil dalam kelas tersendiri apabila berjaya
menjaringkan gol pada perlawanan tersebut, menewaskan penjaga gol United, Edwin
van der Sar.
Berkat kesabarannya, dia sekali
lagi diserapkan dalam skuad negara pada tahun 2003 untuk beraksi pada temasya
Sukan SEA 2003, namun masih tidak berpelung untuk beraksi sebagai pemain utama.
Amri juga pernah disisihkan
daripada skuad negara pada tahun 2006 hingga 2009, namun dia tidak pernah
berasa kecewa walaupun kebolehan yang ada padanya kurang mendapat perhatian
jurulatih skuad negara ketika itu,
Detik duka itu tidak pernah
mematahkan semangat Amri dan dia lebih memberi fokus untuk mengekalkan
prestasinya dalam saingan liga tempatan bersama Selangor yang telah diwakilinya
sejak 12 tahun lalu.
Amri dianggap pemain paling
konsisten dalam skuad Selangor malah, telah menjadi nadi utama terhadap
kekuatan skuad gergasi Merah itu dalam liga tempatan.
Walaupun beraksi sebagai pemain
sayap, tetapi dia boleh memainkan peranan sebagai pemain tengah.
Tenang, bersahaja serta
memiliki kebolehanan mengelecek adalah antara aset paling berharga pada pemain
kelahiran Tanjung Karang, Selangor ini yang jarang dimiliki pemain generasi
sekarang.
“Bola sepak memerlukan kita
memiliki keyakinan diri yang tinggi serta tenang walaupun berdepan pelbagai
cabaran. Namun, harus sentiasa bekerja keras untuk mengekalkan tahap
kecergasan. Inilah yang saya amalkan sejak beberapa tahun lalu,” tegas Amri.
Ekoran prestasi cemerlangnya
itu, dia dilamar skuad Johor Darul Takzim (Johor DT) awal tahun ini dan ternyata
pelaburan pasukan dari selatan tanah air itu berbaloi kerana kehadiran Amri
telah membantu skuad tersebut muncul juara Liga Super musim ini.
Reputasi cemerlangnya itu telah
sekali lagi membuka pintu buat Amri untuk kembali berada dalam skuad negara
kendalian Dollah Salleh dan kedudukannya selaku pemain kesebelasan utama juga
terjamin.
Kepercayaan tersebut tidak
dipersia-siakan oleh Amri kerana setiap kali diturunkan beraksi, dia antara
pemain paling menyerlah dalam skuad Harimau Malaya
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4aLaqizgq
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan