Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim
(Johor DT) melengkapkan kemenangan 100 peratus sekali gus memastikan sebagai
juara Kumpulan H selepas menewaskan kelab Myanmar Ayeyawady United 2-1 pada
aksi Piala AFC di Yangon, semalam.
Dengan kemenangan itu, skuad
kendalian Mario Gomez yang hanya mempertaruhkan kelibat pemain tempatan menanti
naib juara Kumpulan F antara Kitchee dari Hong Kong, Kaya FC (Filipina) atau
Balestier Khalsa (Singapura) pada pusingan kedua di Stadium Larkin, 25 Mei ini.
Apapun skuad Harimau Selatan
berbaki satu lagi perlawanan akan berdepan Bengaluru di Larkin, 11 Mei ini dan
berpeluang mengekalkan rekod bersih tanpa kalah sepanjang aksi kumpulan.
Tempoh 10 minit babak pertama
tampak kedua-dua pasukan bermain dengan corak permainan berhati-hati apabila
sering berlegar di kawasan tengah padang tatkala Johor DT tanpa kelibat
sembilan tonggak utama jelas menguasai perlawanan.
Percubaan pertama Johor DT
hadir pada minit ke-11 selepas bola lambungan S Chanturu pantas disambar kapten
Amri Yahyah yang bertindak melintangkan bola namun sekadar singgah di palang
gol.
Namun, benteng Harimau Selatan
dikejutkan dengan jaringan tuan rumah pada minit ke-26 berpunca daripada bola
hantaran lintang Christopher Chizoba yang gagal dikeluarkan Fadhli Shas dan
kesempatan itu digunakan sepenuhnya Zaw Thiha merembat bola kencang menewaskan
penjaga gol Izham Tarmizi Roslan.
Selang tiga minit kemudian,
tindakan berani Amirulhadi Zainal yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti
selepas menerima bola hantaran Safee Sali hampir mencipta gol penyamaan, namun
bola sepakan leret dihalang penjaga gol Hruai Vanlal.
Amirul akhirnya mencetak nama
selaku penjaring gol penyamaan buat Johor DT pada minit ke-31 selepas
menyudahkan gerakan yang dimulakan olehnya apabila mengumpan kepada Chanthuru
yang membuka ruang untuk pemain tengah Harimau Selatan itu merembat bola leret
menewaskan Vanlal.
Bersambung babak kedua, peluang
terbaik Johor DT menambah jaringan pada minit ke-60 terlepas begitu sahaja
apabila bola sepakan lintang Amri ditanduk kemas Junior Eldstal, namun Fadhli
dan Amer Saidin sekadar tergamam melihat bola melintas di depan mata.
Gol kemenangan skuad Harimau
Selatan hadir empat minit sebelum tamat berpunca dari sepakan percuma Amri
namun bola tandukan Fadhli terkena tiang gol dan Safee yang berada di depan gol
pantas merembat kencang ketika pintu gol terbuka luas bagi memastikan tiga mata
dibawa pulang.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:45 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan