ARKIB : 17/06/2008
KUALA LUMPUR - Taktik terlalu
bertahan dan hanya mengekalkan kedudukan mendahului 2-1 tidak sesekali menjadi
amalan Selangor apabila mengunjungi Terengganu dalam separuh akhir kedua
persaingan bola sepak Piala FA, malam ini.
Gergasi Merah tetap mengidam
sekurang-kurangnya satu gol lagi dan kemenangan di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk memastikan 'sebelah lagi kaki' mereka
tiba di pintu perlawanan akhir, Sabtu ini.
Pengurus pasukan Selangor,
Zakaria Ab. Rahim berkata, beliau tidak seronok walaupun pasukannya menang dan
mendahului 2-1 dalam separuh akhir pertama di Shah Alam, Sabtu lalu kerana ia
masih merupakan satu lagi jalan sukar apatah lagi dengan peraturan gol tempat
lawan.
"Kami tetap memburu gol
dan kemenangan di Kuala Terengganu untuk kepastian tiket perlawanan
akhir," katanya yang bakal mengharungi perlawanan ketiga selaku pengurus
bola sepak sepenuh masa pertama termasuk Piala Malaysia, 11 Jun lalu.
Selangor memburu kemaraan kali
keenam ke perlawanan akhir Piala FA - persaingan kalah mati kebangsaan sejak
1990 khususnya sebagai mengubat kegagalan meraih tiga tempat teratas Liga Super
2007-2008 yang berakhir bulan lalu.
Namun, anak buah Dollah Salleh
melepaskan peluang mengumpul gol sebanyak mungkin, Sabtu lalu malah nyaris
diaibkan dengan jaringan pendahulu lawan, Ashaari Shamsuddin sebelum berjaya
menghukum kesilapan penjaga gol, Sharbini Alawee.
Agak menyulitkan hajat Selangor
ialah ketiadaan dua tonggaknya, Indra Putra Mahayuddin dan Evan Chisulo di
Kuala Terengganu kerana sayap kiri dan bek tengah itu terpaksa menjalani
penggantungan perlawanan dengan dua kad kuning.
"Kami mungkin meletakkan
semula Amri Yahyah (biasanya bek kiri) atau R. Surendren ke sayap kiri tempat
Indra itu manakala Razman Roslan dan Fadzirul Zakaria boleh dipertimbangkan
untuk menggantikan Chisulo," katanya.
Seorang lagi bek tengah ialah
Nazrulerwan Makmor yang dipinjamkan oleh KL PLUS tetapi sebenarnya tidak asing
bagi Selangor kerana pernah membantu Merah Kuning membolot tiga gelaran semusim
- Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana 2005.
Barisan kemungkinan Selangor:
Suffian Ab. Rahman, Razman Roslan, Nazrulerwan Makmor, P. Gunalan, D.
Surendran, Nasriq Baharom, Shukor Adan, Elie Aiboy, Amri Yahyah, Safee Sali,
Frank Seator.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zb4oLTip
© Utusan Melayu (M) Bhd