ARKIB : 24/04/2009
KUALA LUMPUR - Beban bakal
berkurangan, itulah yang akan dirasai oleh ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah
apabila rakan-rakannya sudah bersedia untuk membantunya sekali gus menjulang
Piala FA dalam perlawanan akhir bertemu Kelantan di Stadium Nasional Bukit
Jalil esok.
Pemain-pemain senior seperti
Khairul Anuar Baharom, Hamsani Ahmad (penjaga gol) dan penyerang kebangsaan
Safee Sali sudah bersedia untuk memberi bantuan secukupnya buat Amri yang
pertama kali beraksi di perlawanan akhir sebagai ketua pasukan.
Menurut Safee, perlawanan esok
dijangka menarik dan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan tidak akan
memberi ruang yang mudah untuk ditembusi.
Saya merasakan peluang kedua-dua
pasukan untuk muncul juara esok adalah 50-50 kerana kedua-dua pasukan inginkan
kemenangan, katanya selepas majlis penyerahan tiket perlawanan akhir Piala FA
bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Gombak Dua semalam.
Jelasnya, dia mengharapkan
kerjasama dari semua pemain termasuk ketua pasukan untuk membantunya
menjaringkan gol dalam perlawanan esok.
Sementara itu, Hamsani pula
berkata, dia tidak mahu melepaskan sebarang gol dalam perlawanan tersebut dan
pengalaman sudah banyak kali beraksi dalam perlawanan akhir akan memberi
sedikit kelebihan kepadanya.
Saya rasa tidak menjadi sebarang
masalah buat saya untuk menghalang segala asakan dari pasukan Kelantan dan
menggagalkan hasrat mereka untuk menjaringkan gol, kata bekas penjaga gol
Perak itu.
Bagi Khairul atau dikenali dengan
gelaran Acong, dia berazam untuk membawa semula piala tersebut ke Selangor
selepas pasukan Gergasi Merah itu tewas kepada Kedah dalam perlawanan akhir
Piala FA musim lalu.
Selain berazam untuk menjulang
Piala FA saya juga bersemangat untuk tidak membenarkan gawang Selangor dibocori
pihak lawan, katanya.
Kata Khairul, dia menjangkakan
Selangor akan mencatatkan kemenangan ke atas Kelantan 2-0 ini berdasarkan
pengalamannya beraksi dalam dua perlawanan akhir Piala FA sebelum ini dan
muncul juara bersama Kedah (1996) dan Negeri Sembilan (2002)
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5AGNQA7LF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan