Sukan
Isnin, 21 November 2016 | 12:33am
AMRI Yahyah mengetuai Skuad
Harimau Malaysia selepas perlawanan antara Malaysia dan Kemboja pada perlawanan
kumpulan B Piala AFF 2016 di Stadium Thuwunna . - Foto Osman Adnan
Amri harap Harimau Malaysia tidak
ulang kesilapan
Daripada Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
YANGON: Wira Harimau Malaysia,
Amri Yahyah berharap segala kelemahan pada perlawanan dengan Kemboja di Stadium
Thuwunna, petang tadi dapat diperbaiki sepenuhnya menjelang pertemuan getir
dengan Vietnam, Rabu ini.
"Bagi saya kami tidak boleh
buat kesilapan seperti apa yang berlaku pada separuh masa pertama tadi
(berdepan Kemboja) iaitu apabila dapat gol, kami bolos lagi.
"Kelemahan itu perlu
diperbaiki untuk perlawanan akan datang berdepan Vietnam dan Myanmar. Bagi
saya, semua pemain cukup bersedia untuk lawan Vietnam," katanya ketika
ditemui selepas perlawanan.
Pada perlawanan petang tadi,
Harimau Malaysia ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi jaringan kontroversi
Chan Vathanaka yang meledak gol ketika penjaga garisan sudah mengangkat bendera
menandakan dia berada pada posisi ofsaid.
Harimau Malaysia bangkit menerusi
jaringan penyamaan Syazwan Zainon sebelum Vathanaka meledak gol kedua pada
minit ke-58.
Amri Yahyah bagaimanapun meledak
dua gol dalam tempoh 12 minit iaitu pada minit ke-68 dan 80 untuk mengesahkan
tiga mata berharga buat Harimau Malaysia.
Mengulas mengenai jaringan
kontroversi Kemboja itu, Amri berkata berlaku kekeliruan antara tindakan
pengadil dan penjaga garisan menyebabkan pemain Harimau Malaysia memberhentikan
permainan, sekali gus memberi peluang Vathanaka meledak gol.
"Bagi saya mungkin
kekeliruan antara pengadil dengan penjaga garisan. Penjaga garisan sudah angkat
bendera, kami berhenti (menghentikan permainan) tapi pengadil pula suruh teruskan.
"Kami ikut penjaga garisan
sebab itu kami semua menghentikan permainan. Kami cuba membantah (jaringan
itu), tapi pengadil kata bola itu dari pemain (Harimau Malaysia) sendiri.
"Apapun, untuk perlawanan
akan datang nanti, saya harap kesilapan sama tidak berulang lagi,"
katanya.
Selain itu, Amri turut menegaskan
betapa dua jaringannya adalah untuk seluruh pasukan, penyokong dan rakyat
Malaysia yang sentiasa berada menyokong Harimau Malaysia.
Harimau Malaysia akan berdepan
Vietnam di stadium sama Rabu ini sebelum menentang tuan rumah Myanmar pada
Sabtu.
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Isnin,
21 November 2016 | 12:33am