Selasa, 10 April 2018

Amri harap Harimau Malaysia tidak ulang kesilapan


Sukan
Isnin, 21 November 2016 | 12:33am
 
AMRI Yahyah mengetuai Skuad Harimau Malaysia selepas perlawanan antara Malaysia dan Kemboja pada perlawanan kumpulan B Piala AFF 2016 di Stadium Thuwunna . - Foto Osman Adnan
Amri harap Harimau Malaysia tidak ulang kesilapan
Daripada Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
YANGON: Wira Harimau Malaysia, Amri Yahyah berharap segala kelemahan pada perlawanan dengan Kemboja di Stadium Thuwunna, petang tadi dapat diperbaiki sepenuhnya menjelang pertemuan getir dengan Vietnam, Rabu ini.

"Bagi saya kami tidak boleh buat kesilapan seperti apa yang berlaku pada separuh masa pertama tadi (berdepan Kemboja) iaitu apabila dapat gol, kami bolos lagi.

"Kelemahan itu perlu diperbaiki untuk perlawanan akan datang berdepan Vietnam dan Myanmar. Bagi saya, semua pemain cukup bersedia untuk lawan Vietnam," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pada perlawanan petang tadi, Harimau Malaysia ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi jaringan kontroversi Chan Vathanaka yang meledak gol ketika penjaga garisan sudah mengangkat bendera menandakan dia berada pada posisi ofsaid.

Harimau Malaysia bangkit menerusi jaringan penyamaan Syazwan Zainon sebelum Vathanaka meledak gol kedua pada minit ke-58.

Amri Yahyah bagaimanapun meledak dua gol dalam tempoh 12 minit iaitu pada minit ke-68 dan 80 untuk mengesahkan tiga mata berharga buat Harimau Malaysia.

Mengulas mengenai jaringan kontroversi Kemboja itu, Amri berkata berlaku kekeliruan antara tindakan pengadil dan penjaga garisan menyebabkan pemain Harimau Malaysia memberhentikan permainan, sekali gus memberi peluang Vathanaka meledak gol.

"Bagi saya mungkin kekeliruan antara pengadil dengan penjaga garisan. Penjaga garisan sudah angkat bendera, kami berhenti (menghentikan permainan) tapi pengadil pula suruh teruskan.

"Kami ikut penjaga garisan sebab itu kami semua menghentikan permainan. Kami cuba membantah (jaringan itu), tapi pengadil kata bola itu dari pemain (Harimau Malaysia) sendiri.

"Apapun, untuk perlawanan akan datang nanti, saya harap kesilapan sama tidak berulang lagi," katanya.

Selain itu, Amri turut menegaskan betapa dua jaringannya adalah untuk seluruh pasukan, penyokong dan rakyat Malaysia yang sentiasa berada menyokong Harimau Malaysia.

Harimau Malaysia akan berdepan Vietnam di stadium sama Rabu ini sebelum menentang tuan rumah Myanmar pada Sabtu.
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 21 November 2016 | 12:33am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan