SUKAN»Bola
Selasa, 5 Jun 2018 | 5:21pm
KAPTEN Selangor, Amri Yahyah
(tengah) menuntut Red Giants fokus dalam misi memperbaiki kedudukan dalam Liga
Super 2018. - Foto Luqman Hakim Zubir
Kami belum puas: Amri
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih
kemenangan besar 4-0 ke atas Kelantan, Jumaat lalu seharusnya sudah dilupakan
Selangor bagi mengalihkan fokus kepada aksi berdepan PKNS FC, malam esok.
Gelanggang rasmi Red Giants,
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sekali lagi diharap membawa tuah buat Selangor
untuk meraih kemenangan kedua bagi aksi di bulan Ramadan selepas tewas 1-2
kepada Kedah pada 26 Mei lalu.
Justeru, kapten Selangor, Amri
Yahyah mengingatkan rakan sepasukannya untuk tidak terlalu berpuas hati dengan
mimpi indah berpesta gol ke atas Kelantan.
Sebaliknya, pemain veteran
berusia 37 tahun itu menuntut Red Giants fokus dalam misi memperbaiki kedudukan
dalam Liga Super 2018.
"Semua pemain memberikan
komitmen yang tinggi pada perlawanan berdepan Kelantan dan mengikut taktikal
yang diatur jurulatih sebelum perlawanan.
"Tapi saya tetap
mengingatkan kepada rakan sepasukan supaya jangan cepat berpuas hati dengan
kemenangan itu kerana perjalanan Selangor masih jauh untuk mengharungi baki
saingan musim ini.
"Kita masih ada dua baki
perlawanan sepanjang Ramadan ini dan saya harap momentum dan persembahan baik
ini dapat diteruskan pada dua aksi berturut bertemu PKNS FC pada 6 dan 10 Jun
nanti," kata Amri.
Melihat kepada carta liga, PKNS
berada di kedudukan lebih baik berbanding Selangor apabila menghuni tangga
keenam selepas mengharungi 13 perlawanan dan mengumpul 19 mata.
Selangor pula tiga anak tangga di
belakang dengan mengumpul 14 mata, tetapi masih kekurangan satu perlawanan
selepas aksi berdepan PKNP FC di Stadium Batu Kawan pada 23 Mei lalu dibatalkan
kerana masalah lampu limpah.
Sumber-Berita Harian online Selasa,
5 Jun 2018 | 5:21pm