Selasa, 5 Jun 2018

Kami belum puas: Amri


SUKAN»Bola
Selasa, 5 Jun 2018 | 5:21pm
 
KAPTEN Selangor, Amri Yahyah (tengah) menuntut Red Giants fokus dalam misi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super 2018. - Foto Luqman Hakim Zubir
Kami belum puas: Amri
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih kemenangan besar 4-0 ke atas Kelantan, Jumaat lalu seharusnya sudah dilupakan Selangor bagi mengalihkan fokus kepada aksi berdepan PKNS FC, malam esok.

Gelanggang rasmi Red Giants, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sekali lagi diharap membawa tuah buat Selangor untuk meraih kemenangan kedua bagi aksi di bulan Ramadan selepas tewas 1-2 kepada Kedah pada 26 Mei lalu.

Justeru, kapten Selangor, Amri Yahyah mengingatkan rakan sepasukannya untuk tidak terlalu berpuas hati dengan mimpi indah berpesta gol ke atas Kelantan.

Sebaliknya, pemain veteran berusia 37 tahun itu menuntut Red Giants fokus dalam misi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super 2018.

"Semua pemain memberikan komitmen yang tinggi pada perlawanan berdepan Kelantan dan mengikut taktikal yang diatur jurulatih sebelum perlawanan.

"Tapi saya tetap mengingatkan kepada rakan sepasukan supaya jangan cepat berpuas hati dengan kemenangan itu kerana perjalanan Selangor masih jauh untuk mengharungi baki saingan musim ini.

"Kita masih ada dua baki perlawanan sepanjang Ramadan ini dan saya harap momentum dan persembahan baik ini dapat diteruskan pada dua aksi berturut bertemu PKNS FC pada 6 dan 10 Jun nanti," kata Amri.

Melihat kepada carta liga, PKNS berada di kedudukan lebih baik berbanding Selangor apabila menghuni tangga keenam selepas mengharungi 13 perlawanan dan mengumpul 19 mata.

Selangor pula tiga anak tangga di belakang dengan mengumpul 14 mata, tetapi masih kekurangan satu perlawanan selepas aksi berdepan PKNP FC di Stadium Batu Kawan pada 23 Mei lalu dibatalkan kerana masalah lampu limpah.

Sumber-Berita Harian online Selasa, 5 Jun 2018 | 5:21pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan