ARKIB : 20/04/2011
Pemain Selangor, Mohd. Amri Yahyah (kanan) diasak pemain Sabah, Rosdin
Wasli pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.
KUALA LUMPUR - Jaringan tunggal Azidan Sarudin menyelamatkan Selangor
untuk terus kukuh menerajui carta bola sepak Liga Super 2011 setelah mereka
menewaskan Sabah 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam.
Gol dan tiga mata idaman Gergasi Merah itu terhasil daripada rembatan
rendah sepakan percumanya minit ke-72 yang gagal ditangkap kemas penjaga gol
pelawat, Syed Adney Syed Hussein.
Kemenangan tipis ini menjarakkan anak buah K. Devan di tangga teratas
dengan mengumpul 29 mata setelah pencabar terdekat, Terengganu mengikat Perak
1-1 di Stadium Perak, Ipoh tetapi masih kekurangan empat mata.
Kegembiraan Seladang yang mendapat gol pendahuluan Safiq Jamal pada minit
kelapan dilenyapkan langsung dengan jaringan penalti Abdul Hadi Yahya, minit
ke-59.
Lebih parah ialah apabila kegagalan meraih tiga mata itu membolehkan
Kelantan pula memintasnya di tangga ketiga setelah Wira Merah membelasah Perlis
5-1 di Stadium Utama, Kangar.
Jaringan hatrik ketua pasukan, Badri Radzi pada minit ke-46, 66 dan 78
serta dua gol Norshahrul Idlan Talaha (6 dan 43) melonjakkan skuad M. Karathu
dengan 24 mata sambil mengekori Terengganu.
Kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur
pula membawa Felda United ke tempat keenam liga sambil memintas Harimau Muda A
hasil dua jaringan Azrul Ahmad pada minit keenam dan 12.
Hasrat Azraai Khor Abdullah melihat kemenangan sulung Negeri Sembilan di
bawah bimbingannya hasil jaringan Idris Karim pada minit ke-10, tidak
kesampaian kerana diikat 1-1 oleh pemain Pahang, Famirul Asraf Sayuti pada
minit ke-79.
Si Rusa terpaksa bermain dengan 10 orang dalam sebahagian besar perlawanan
di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu angkara kehilangan Hairuddin Omar pada
minit ke-27 yang dikenakan kad merah.
Pertembungan T-Team dengan Johor FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah, Kuala Terengganu berkesudahan seri 1-1 masing-masing menerusi jaringan
Mohd. Shahrul Ezrain (10) dan Shahrizal Saad (48).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5e6LNL6Wo
© Utusan Melayu (M) Bhd