ARKIB : 29/11/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Amri Yahyah (kanan) tersenarai
dalam skuad kebangsaan ke kejohanan Piala Suzuki AFF manakala Indra Putra
tercicir atas alasan kecergasannya diragui.
NASIB BERBEZA
KUALA LUMPUR - Tanpa diduga,
ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah berada dalam senarai akhir 22 pemain yang
akan ke Jakarta hari ini, bagi menghadapi perlawanan peringkat kumpulan
kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010, yang akan bermula Rabu.
Keputusan mengejut penyenaraian
Amri itu diiringi pengguguran pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, yang
sebelum ini disebut-sebut akan terpilih selain tonggak Kedah, Baddrol Bakhtiar
ekoran kecederaan yang masih belum pulih.
Bagi posisi penjaga gol, Khairul
Fahmi Che Mat yang mempamer prestasi mantap pada Sukan Asia di Guangzhou, terus
menjadi pilihan jurulatih, K. Rajagobal dan satu lagi slot diisi Sharbinee
Allawee, yang mengenepikan Farizal Marlias.
Menurut Rajagobal, pemilihan Amri
berdasarkan faktor pengalaman dan keperluan skuad kebangsaan yang amat kritikal
di bahagian serangan.
''Amri diserapkan kerana dengan
pengalamannya yang luas dia mampu membimbing pemain muda di bahagian tengah dan
serangan.
''Saya memikirkan bahagian
serangan adalah posisi paling penting pada masa sekarang dan atas faktor saya
terpaksa memilih Amri berbanding Indra yang lebih bertindak sebagai pemain
sayap.
''Saya juga tidak dapat
memasukkan Indra kerana dia baru sahaja menjalani latihan dengan skuad
kebangsaan hari ini. Jadi saya bimbang dengan tahap kecergasannya sama ada dia
benar-benar bersedia atau tidak beraksi di sana, '' katanya yang dihubungi,
semalam.
Selain itu, Rajagobal turut
menyandarkan harapan kepada beberapa pemain muda yang beraksi cemerlang pada
Sukan Asia seperti Muslim Ahmad, Faizal Abu Bakar, K. Gurusamy, Izzaq Faris
Ramlan dan Mohd. Fadhli Shas.
Safiq Rahim dan Amri dijangka
memegang peranan utama bahagian tengah, sementara Safee Sali dan Norshahrul
Idlan Talaha mengemudi jentera serangan.
Skuad kebangsaan akan membuka
cabaran Piala Suzuki AFF Rabu ini, bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung
Karno.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5d49ogFm6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan