Selangor bergelut sebelum menang
Amri Yahyah meraikan jaringan
bersama rakan sepasukan ketika menentang Kuala Lumpur di Stadium Cheras, hari
ini.
10 Mac 2019 10:57 PM
KUALA LUMPUR 10 Mac - Selepas
enam perlawanan Liga Super akhirnya Selangor berjaya menamatkan kemarau
kemenangan apabila menewaskan Kuala Lumpur 3-2 di Stadium Kuala Lumpur,
sebentar tadi.
Bagaimanapun skuad kendalian B.
Sathianthan terpaksa bermain dalam tekanan pada aksi derby Lembah Klang itu
apabila terpaksa bangkit daripada ketinggalan dua gol.
Kuala Lumpur membuka tirai
jaringan seawal minit keempat menerusi tandukan Muhammad Syafwan Syahlan
setelah menerima hantaran daripada Zhafri Yahya.
Kesilapan pertahanan Selangor,
Taylor Regan ketika mengeluarkan bola daripada kawasan kotak penalti pasukan
membawa padah apabila penyerang veteran Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin
pantas menyambar untuk menggandakan jaringan pada minit ke-37.
Bersambung babak kedua, Selangor
berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol penalti penyerang dari Brazil, Sandro
da Silva pada minit ke-65 selepas dia dijatuhkan oleh Mohd. Fitri Omar.
Pemain sayap Red Giants, Mohd.
Syazwan Zainon berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72 selepas dia tidak
dikawal dengan kemas oleh pertahanan lawan apabila melepaskan rembatan dari
arah kiri gawang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd. Sharbinee Allawee
Ramli.
Selangor memastikan Kuala Lumpur
untuk kekal berada di tangga tercorot liga apabila pemain gantian, Amri Yahyah
meledak gol kemenangan lima minit kemudian selepas pertahanan tuan rumah gagal
mengeluarkan bola dengan baik.
Kemenangan tersebut pasti
membuatkan jurulatih Selangor, B. Sathianathan tersenyum lebar manakala rakan
sejawatannya, Yusri Che Lah tidak dapat tidur dengan lena malam ini memikirkan
nasibnya bersama Kuala Lumpur. - UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/selangor-bergelut-sebelum-menang-1.858067#ixzz5hoBvcHNG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan