Sabtu, 24 April 2021

Aksi Amri luar biasa

Oleh Zulfaizan Mansor - April 24, 2021 @ 5:49pm

zulfaizan@bh.com.my



Pemain Sabah FC Amri Yahya (kiri) meraikan jaringan gol ketika menentang pasukan Selangor FC dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Petaling Jaya malam tadi. - FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR: Walaupun hanya beraksi separuh masa pertama, pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto tetap menyifatkan Amri Yahyah mempamerkan persembahan luar biasa ketika berdepan Selangor, malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Amri yang juga bekas pemain Selangor berjaya menyumbang satu gol untuk membantu Sabah mengikat Selangor 2-2.

Selain Amri, Kurniawan turut menyifatkan penjaring gol penyamaan pasukannya, Bobby Gonzales sebagai 'super sub' yang menjadi senjata penting buat Sabah ketika ini.

"Saya sangat menghormati Amri kerana sebelum ini kami sudah bercakap bahawa ini kesempatan untuk menunjukkan diri kamu (Amri) yang sebenar.

"Amri pun berjanji akan bermain mati-matian dan dia buktikan, jaringkan gol. Tapi sayangnya dia cedera, jadi mahu tidak mahu, saya tiada pilihan terpaksa kita tukar. Bagi saya 45 minit yang dia beraksi luar biasa.

"Saya selalu katakan kepada Bobby bahawa saya tidak harapkan kamu bermain 90 minit. Tapi bagi saya, kamu bermain 10, 20 minit tak apa asalkan kamu bagi 100 peratus, jaringkan gol, cukup baik bagi kami.

"Dia buktikan, dua perlawanan dia bermain 15 minit dan 10 minit, (ledak) dua gol. Jadi bagi kami Bobby 'super sub' yang akan menjadi senjata kami," katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, pengendali Selangor, Karsten Neitzel tampak kecewa dengan satu mata yang diraih dan menganggap Red Giants sepatutnya memenangi perlawanan itu.

"Sepatutnya kami boleh menang, tapi kami tak boleh ubah apa-apa. Apa yang penting adalah keputusan, semua melihat kepada keputusan.

"Namun, saya juga kena fikirkan mengenai persembahan daripada pemain sepanjang perlawanan itu," katanya.sumber-bh online

Jumaat, 23 April 2021

Bobby sekat hajat Gergasi Merah

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



GAYA Amri (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Bernama

Petaling Jaya: Tandukan pemain gantian Sabah FC, Bobby Gonzales sudah cukup meranapkan impian Selangor FC daripada meraih kemenangan apabila jaringan di hujung saingan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini.

Dalam aksi itu, pelawat terlebih dahulu di depan apabila bekas pemain Merah Kuning, Amri Yahyah meledak gol pada minit ke-31.

Gol itu terhasil menerusi gerakan menarik dari sebelah kiri yang menyaksikan Amri bijak melepasi perangkap ofside sebelum mudah memperdaya pertahanan Selangor, Sharul Nazeem serta penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Jaringan pendahuluan itu nyata melonjakkan semangat anak buah Kurniawan Dwi Yulianto dan Sabah hampir menambah gol kedua namun dua percubaan Saddil Ramdani minit ke-36 dan 45 sedikit tersasar.

Menyedari hanya kemenangan mampu memperbaiki kedudukan Red Giants di persada liga, Karsten Neitzel terpaksa melakukan beberapa perubahan sebaik babak kedua berlangsung.

Nor Hakim Hassan dimasukkan bagi menambah sengat di jentera hadapan dan impaknya cukup menjadi apabila gerakannya pada minit ke-56 berjaya disudahkan Ifedayo untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Ifedayo sekali lagi mempamerkan ketajamannya apabila meledak gol kedua minit ke-72 selepas menerima hantaran seorang lagi pemain gantian, Shahrel Fikri.

Gol itu juga menyaksikan Ifedayo kini merekodkan sembilan gol untuk berkongsi selaku penjaring terbanyak liga bersama penyerang JDT, Bergson da Silva.

Ketika tuan rumah dilihat hampir menggenggam tiga mata, tandukan Bobby berjaya menyekat hajat Selangor untuk kedua-dua pasukan berpuas hati meraih satu mata.

SUMBER-MY METRO ONLINEDisiarkan pada: April 24, 2021 @ 12:14am 

Bukan mustahil tewaskan Selangor'

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY | | 22 April 2021




Kurniawan tuntut aksi lebih bertenaga pemain Sabah selepas menewaskan UiTM di Likas baru-baru ini.

SABAH FC akan cuba sedaya upaya melakar kejutan menewaskan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Jumaat.
Ketua Jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, bukan perkara mustahil untuk menewaskan Selangor apatah lagi pasukannya kini berada pada momentum terbaik selepas meraih tiga mata ketika berdepan UiTM FC baru-baru ini.
“Kita masih ada beberapa hari untuk mempersiapkan pasukan. Kami tahu Selangor adalah pasukan yang bagus, tetapi dalam bola sepak ini tidak ada yang mustahil boleh berlaku termasuk mencuri mata di laman lawan.
“Kita kena kerja keras dan terus fokus. Sudah tentu saya mengharapkan persembahan terbaik dapat dipamerkan pemain dan jika segalanya berjalan lancar, mungkin kami boleh dapat mata di sana,” katanya.
Sabah dilihat berdepan cabaran sukar untuk menjinakkan Selangor FC selepas pasukan dari Borneo itu hanya mampu meraih dua kemenangan daripada sembilan perlawanan yang telah diharungi skuad daripada Borneo itu.
Mengulas lanjut, Kurniawan mengakui optimis kemampuan para pemainnya selain menyifatkan kualiti Sabah sudah meningkat berbanding beberapa perlawanan sebelum ini.
“Apa yang menggembirakan kami di barisan jurulatih adalah banyak pemilihan pemain yang kami ada selain tidak ada satu pun pemain yang sememangnya tetap dalam kesebelasan utama.
“Ia bermakna, setiap pemain perlu merebut tempat mereka dalam pasukan dan ia sekali gus meningkatkan kualiti permainan pasukan,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/134789/BERITA/Sukan/Bukan-mustahil-tewaskan-Selangor© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

SELANGOR FC 0-0 SABAH FC

OLEH-AHMAD YAAKOB