Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
GAYA Amri (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Bernama
Petaling Jaya: Tandukan pemain gantian Sabah FC, Bobby Gonzales sudah cukup meranapkan impian Selangor FC daripada meraih kemenangan apabila jaringan di hujung saingan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini.
Dalam aksi itu, pelawat terlebih dahulu di depan apabila bekas pemain Merah Kuning, Amri Yahyah meledak gol pada minit ke-31.
Gol itu terhasil menerusi gerakan menarik dari sebelah kiri yang menyaksikan Amri bijak melepasi perangkap ofside sebelum mudah memperdaya pertahanan Selangor, Sharul Nazeem serta penjaga gol, Khairulazhan Khalid.
Jaringan pendahuluan itu nyata melonjakkan semangat anak buah Kurniawan Dwi Yulianto dan Sabah hampir menambah gol kedua namun dua percubaan Saddil Ramdani minit ke-36 dan 45 sedikit tersasar.
Menyedari hanya kemenangan mampu memperbaiki kedudukan Red Giants di persada liga, Karsten Neitzel terpaksa melakukan beberapa perubahan sebaik babak kedua berlangsung.
Nor Hakim Hassan dimasukkan bagi menambah sengat di jentera hadapan dan impaknya cukup menjadi apabila gerakannya pada minit ke-56 berjaya disudahkan Ifedayo untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Ifedayo sekali lagi mempamerkan ketajamannya apabila meledak gol kedua minit ke-72 selepas menerima hantaran seorang lagi pemain gantian, Shahrel Fikri.
Gol itu juga menyaksikan Ifedayo kini merekodkan sembilan gol untuk berkongsi selaku penjaring terbanyak liga bersama penyerang JDT, Bergson da Silva.
Ketika tuan rumah dilihat hampir menggenggam tiga mata, tandukan Bobby berjaya menyekat hajat Selangor untuk kedua-dua pasukan berpuas hati meraih satu mata.
SUMBER-MY METRO ONLINEDisiarkan pada: April 24, 2021 @ 12:14am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan