Jumaat, 21 Julai 2017

Selangor rampas teraju


 
PEMAIN Selangor Raimi Md Nor (kanan) bersaing dengan pemain Johor DT Darren Lok (dua kanan) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyerang veteran Selangor Amri Yahyah menganggap kemenangan 3-2 ke atas Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada aksi saingan Piala Malaysia, kelmarin yang menyaksikan pasukannya merampas tangga teratas Kumpulan D adalah hasil kerjasama berpasukan.

Amri, 36, yang meledak dua gol dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu mengakui cukup gembira dengan kejayaan mengutip tiga mata terutama di depan penyokong sendiri.

Namun, tonggak utama skuad Harimau Malaya itu tidak mahu terlalu dibuai mimpi indah kerana baginya perjalanan pasukannya masih jauh dalam usaha memburu kejuaraan trofi berprestij itu.

“Memang tak sangka boleh menang malam ini (kelmarin). Tidak kiralah pemain simpanan atau utama, kami berjaya memberikan aksi terbaik.

“Sebelum perlawanan lagi, saya lihat rakan sepasukan begitu bersemangat untuk mencapai kemenangan di tempat sendiri walaupun kami sedar kekuatan Johor DT.

“Terima kasih kepada penyokong yang datang ke stadium walau mereka tetap menyokong kami. Alhamdulillah, kemenangan ini hasil usaha dan kerjasama kami sepasukan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi kelmarin.

Dalam aksi itu, Red Giants memecah kebuntuan berpunca daripada sepakan penjuru Raimi Mohd Nor yang disempurnakan Fairuz Abdul Aziz pada minit ke-33 sebelum Amri mencetak gol kedua, dua minit selepas jaringan pertama itu.

Pelawat yang dibimbing pengendali dari Portugal Ulisses Morais bangkit pada babak kedua dengan dua gol sumbangan Ahmad Hazwan Bakri (m-56) dan Darren Lok (m-69) untuk mengikat kedudukan 2-2.

Bagaimanapun, kesilapan Aidil Zafuan Abd Radzak mengasari Forkey Doe pada minit-minit akhir aksi mengakibatkan Selangor dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan Amri buat memastikan tiga mata berharga tuan rumah.

Sementara itu, jurulatih Selangor, P Maniam nyata berpuas hati dengan taktikal bertahan diperagakan anak buahnya pada babak kedua.

“Pemain kami bermain terlalu ke dalam dan bertahan tapi itu kekuatan kami. Kami melepaskan dua gol walaupun mengawal perlawanan pada separuh masa kedua. Saya rasa Johor DT juga bermain baik,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 9:54 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan