Bangkok: Peluang untuk menjulang
trofi di depan penyokong sendiri kini menjadi motivasi pemain Harimau Malaya
menjelang aksi final Piala AFF 2014 menentang Thailand.
Bagi pemain sayap Amri Yahyah, ia
pasti menjadi kenangan lebih indah jika mendakap kejuaraan itu di Stadium
Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini selepas melakukannya buat kali pertama
pada 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
“Kita akan berusaha mendapatkan
piala, saya percaya kalau semua pemain dapat berikan komitmen tinggi tidak
mustahil kita dapat hadiahkan kejuaraan buat semua peminat di Kuala Lumpur,”
katanya.
Bagaimanapun impian itu bukan
mudah kerana skuad kendalian Dollah Salleh itu perlu berdepan juara tiga kali,
Thailand di Stadium Nasional Rajamangala bagi final pertama sebelum aksi timbal
balik di SNBJ.
Rekod pertemuan nyata tidak
memihak kepada Harimau Malaya apabila tewas kepada skuad Gajah Perang kendalian
Kiatisuk Senamung pada aksi peringkat Kumpulan B di Singapura 2-3.
Amri, 33, yang menggegar gawang
Thailand pada aksi peringkat kumpulan tetap percaya mereka boleh menghapuskan
badi itu.
Apatah lagi dia kini cukup
bersemangat memainkan peranan utama di final selepas hanya diturunkan sebagai
pemain gantian ketika Malaysia menundukkan Indonesia di final dua tahun lalu.
“Saya akan berusaha menjaringkan
gol kerana ini perlawanan terakhir tahun ini. Memang saya harap untuk berada
dalam kesebelasan utama dan jika diberi peluang saya perlu berusaha untuk
kemenangan pasukan.
“Bagi saya Thailand juga ada
kelemahan, bahagian serangan dan tengah mereka jarang turun membantu pertahanan
dan di situ kita boleh ambil kesempatan melancarkan serangan pantas,” kata
Amri.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 17 Disember 2014 @ 6:43 AM
Peluang Wak Am julang trofi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan