Rabu, 25 Julai 2018

MU lepaskan Amri ke Selangor


Sukan
Selasa, 4 April 2017 | 8:40pm
MU lepaskan Amri ke Selangor
Oleh Nazri Abu Bakar
bhsukan@bh.com.my
 
Amri Yahya. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
MELAKA: Melaka United (MU) mengambil keputusan luar jangkaan apabila bakal melepaskan penyerang kebangsaan Amri Yahyah kembali ke pasukan asalnya Selangor, menjelang jendela perpindahan pemain musim ini.

Pengurus pasukan MU, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, walaupun berat membuat keputusan itu, dia bersedia memberi laluan kepada Amri untuk kembali berbakti bersama The Red Giants.

Menurutnya, penghijrahan pemain yang mesra digelar Wak Am itu adalah perencanaan tersendiri skuad Hang Tuah bagi mengharungi baki saingan Liga Super, walaupun mengakui bakal kehilangan penyerang termahal skuad terbabit.

Katanya, perbincangan lanjut sedang diatur bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan Kamal berkaitan perpindahan berkenaan.

"Peratusan Amri kembali ke Selangor amat tinggi, walaupun dia banyak menyumbang kepada kekuatan MU termasuk membantu kemenangan ke atas Sarawak dan Kelantan di pentas liga dan mengecewakan PKNS dalam saingan kedua Piala FA.

"Apapun kami juga memiliki strategi selepas ketiadaannya terutama dalam memastikan penggantinya nanti lebih berwibawa, jika tidak pasti kami tidak melepaskan Amri," katanya di Melaka, hari ini.

Sebelum ini, MU membuktikan keazaman mereka mengharungi musim baharu Liga Super 2017 dengan mendapatkan khidmat kapten skuad kebangsaan itu yang diikat selama semusim.

Amri yang tamat kontrak bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini, pernah mengakui tawaran diberikan Melaka United sukar ditolak meskipun pilihan utamanya selepas JDT adalah negeri kelahirannya, Selangor.

Penyerang itu tetap memberikan yang terbaik setiap kali diturunkan, walaupun Melaka United kini berada di zon penyingkiran ke Liga Perdana 2018.

Amri pernah menjulang Piala AFC, tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut dan Piala FA bersama JDT, serta dua trofi Piala Malaysia, dua kejuaraan Liga Super serta tiga Piala FA sepanjang 12 tahun bersama Selangor.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 4 April 2017 | 8:40pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan