ARKIB : 20/07/2009
Amri belum puas
PETALING JAYA - Dua gol jaringan
Amri Yahyah dalam perlawanan menentang persahabatan pertama menentang
Manchester United, kelmarin bukanlah yang pertama dan terakhir, malah ketua
pasukan Selangor itu bertekad akan melakukannya lagi, hari ini.
Bagaimanapun, dia sedar perkara
tersebut bukan boleh dilakukan dengan mudah tambahan lagi pemain United sudah
mengetahui corak permainan Malaysia dan kemampuan pemain secara individu.
Menurutnya, walaupun United akan
lebih bersedia dan mempersembahkan permainan luar biasa untuk menutup malu
akibat melepaskan dua gol dalam perlawanan sebelum ini, dia dan rakan-rakan
perlu bermain dengan cara sendiri.
"Apa yang perlu saya dan
rakan-rakan lain lakukan ialah bermain seperti biasa, mengikut segala arahan
yang diberikan oleh jurulatih, K. Rajagobal," katanya selepas sesi latihan
di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.
Jelasnya, dia juga tidak mahu
terlalu yakin dalam perlawanan esok (hari ini) kerana ia mampu untuk memakan
diri sendiri tambah lagi berdepan dengan pemain yang kaya dengan pengalaman
seperti United.
"Saya berjanji jika
diturunkan dalam perlawanan kedua ini, saya akan bermain bermati-matian dan
mempamerkan persembahan terbaik.
"Kita juga mungkin tidak
akan mendapat laluan mudah dalam perlawanan kedua nanti, setidak-tidaknya
penjaga gol mereka akan lebih bersedia dan tidak mengulangi kesilapan,"
katanya.
Kata pemain kelahiran Tanjung
Karang itu, keinginannya untuk menjaringkan gol masih lagi ada dan masih belum
puas dengan dua jaringan yang dihasilkannya.
"Memang saya merasa puas
yang amat sangat selepas menjaringkan gol semalam tetapi ia tidak bermakna nafsu
saya untuk terus menghadiahkan gol kepada skuad kebangsaan sudah tersekat.
"Kami tidak akan patah
semangat walaupun seperti beraksi di gelanggang lawan," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5Y3IX1R00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan