Amri bersama pasukan berlepas ke
Solo untuk menentang Indonesia esok (Selasa). FOTO NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN.
BERNAMA
Solo: Skuad Harimau Malaysia
berharap penyokong Indonesia tidak bertindak agresif ketika menyokong pasukan
mereka dalam perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Stadium Manahan
di sini esok.
Ketua pasukan Malaysia Mohd Amri
Yahyah berkata, walaupun pemain negara bersedia menghadapi tekanan penyokong
tuan rumah, mereka tetap mengharapkan tiada tindakan agresif yang boleh
mengganggu permainan.
"Kita faham keadaan yang
akan dihadapi apabila bermain di gelanggang lawan tetapi janganlah sampai
berlaku sesuatu yang tidak diingini sehingga mengganggu permainan,"
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Amri berkata kedua-dua
pasukan yang beraksi esok berjanji akan bermain secara persahabatan dan harmonis
walaupun mengharapkan kemenangan, berikutan perlawanan itu lebih kepada
persiapan menghadapi kempen Piala AFF pada November depan.
"Kita tahu penyokong
Indonesia telah lama menunggu perlawanan antarabangsa dan apa yang diharapkan
ialah permainan akan berlangsung dengan baik dan aman," katanya lagi.
Beliau berkata skuad Indonesia
adalah pasukan yang kuat dan walaupun mereka tidak beraksi di peringkat
antarabangsa selama setahun akibat penggantungan, pemain republik itu masih
beraksi di liga tempatan negara berkenaan.
Stadium Manahan mampu menampung
25,000 orang dan peminat bola sepak negara itu dijangka membanjiri stadium
berkenaan setelah kehausan aksi perlawanan antarabangsa selama setahun.
Sementara itu, ketua jurulatih
Datuk Ong Kim Swee berkata walaupun pasukannya mengharapkan kemenangan, apa
yang lebih penting baginya ialah mencari keserasian antara pemain.
"Kita baru sahaja menubuhkan
skuad ini dan ia adalah ujian untuk melihat keserasian pemain terutamanya
apabila bermain di luar negara," katanya.
Kim Swee berkata perlawanan
persahabatan itu juga akan membuka ruang kepada beliau untuk memilih pemain
yang layak beraksi pada Piala AFF nanti.
Ini adalah perlawanan
antarabangsa pertama bagi pasukan Indonesia setelah Persatuan Sepak Bola Seluruh
Indonesia (PSSI) digantung setahun oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
(FIFA) kerana campur tangan kerajaan dalam urusan persatuan itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Isnin, 5 September 2016 @ 8:51 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan