BERNAMA | | 20 November 2019
Mohd Amri Yahyah - Foto Facebook
FA Selangor
PENYERANG Selangor, Mohd Amri
Yahyah memberi bayangan tidak akan bersama skuad Gergasi Merah dalam kempen
Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020.
Menerusi hantaran di laman
Instagram miliknya @ratu_amri, pemain berusia 38 tahun itu menzahirkan terima
kasih kepada pengurusan baharu dan lama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)
atas peluang serta kerjasama sepanjang menyarung jersi negeri kelahirannya itu.
"Berakhir sudah sesi 2019.
Kita hanya merancang, ALLAH jua yang tentukan. Ibarat sirih pulang ke gagang
tapi terhenti di tengah jalan. Bukan kacang lupakan kulit, begitu jua istilah
lupa daratan. Pasti ada hikmahnya di setiap kejadian.
"Terima kasih kepada
pengurusan baharu FAS memberikan kerjasama selama ini. Banyak perlu diperbaiki
dan dipelajari.
"Setinggi penghargaan dan
jutaan terima kasih buat pengurusan lama FAS yang mencungkil bakat semula jadi
yang ada pada diri saya dan hampir merealisasikan impian saya untuk
menghabiskan sisa kudrat untuk berbakti pada negeri kelahiran saya. Hanya ALLAH
dapat membalas budi dan jasa baik kalian," tulisnya.
Bekas penyerang kebangsaan itu
yang sebelum ini berhasrat untuk terus kekal beraksi bersama Selangor sehingga
umur 40 tahun turut merakamkan penghargaan kepada peminatnya.
"Kepada yang sentiasa
menyokong saya dari bermulanya kerjaya saya sebagai seorang pemain bola sepak
hinggalah ke saat ini, terima kasih. Sokongan anda semua akan saya abadikan
sebagai kenangan terindah.
"Kepada 'peminat gelap' saya
kerana anda saya masih ada di sini. Terima kasih atas segala kata-kata 'pemberi
semangat'," tambahnya yang pernah menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT)
pada musim 2014 hingga 2016.
Sepanjang bersama Selangor, Amri
telah membantu skuad Gergasi Merah menjulang pelbagai trofi kejuaraan antaranya
Piala Sumbangsih 2002, 2009, 2010; Liga Super 2009, 2010; Liga Perdana 2005;
Piala Malaysia 2002, 2005 serta Piala FA 2001, 2005 dan 2009.
Namanya turut terpahat dalam
sejarah bola sepak Selangor sebagai salah seorang legenda yang mempunyai rekod
penampilan terbanyak dengan lebih 400 penampilan serta telah meledak lebih 100
gol buat pasukan. - Bernama
'Kaki kiri Safawi cukup bahaya'
SUMBERArtikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/58260/BERITA/Sukan/Amri-Yahyah-dan-Selangor-berpisah
© 2018 Hakcipta Terpelihara
Kumpulan Karangkraf