Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
AMRI menjaringkan gol ketiga skuad Badak. FOTO Mohd Adam Arinin
Kota Kinabalu: Ketua jurulatih Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto akui kehadiran Mohd Amri Yahya ke dalam skuadnya musim ini memberi impak namun menegaskan pemain itu bukanlah satu-satunya sandaran pasukan.
Katanya, bekas pemain kebangsaan itu seorang yang sangat efektif walaupun mungkin beliau tidak dapat beraksi selama 90 minit seperti beberapa tahun lalu.
"Ya memang Amri seorang pemain yang berpengalaman dan sangat efektif walaupun sudah berusia 40 tahun, setiap kali sebelum perlawanan saya sentiasa memberitahu dia supaya memberikan persembahan 100 peratus selama yang boleh di atas padang, sama ada 30 minit, 40 minit.
"Memang kita tidak boleh bohong mengenai usianya (Amri) tetapi dia masih mampu memberikan impak yang besar dan itulah yang memberikan kelebihan kepada pasukan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan bertemu Melaka United, di Stadium Likas, di sini, semalam.
Amri sebelum ini menjaringkan gol dalam tiga aksi berturut-turut termasuk dua ketika skuad Badak membenam Melaka United 3-1, malam tadi.
Selain dua jaringan Amri masing-masing di babak pertama dan kedua perlawanan, satu lagi gol Sabah FC dijaringkan Mohd Azzizan Nordin manakala gol tunggal Melaka United dijaringkan Mohd Fakhrullah Rosli.
Sementara itu, Kurniawan memuji aksi luar biasa yang ditunjukkan anak didiknya, semalam, sehingga membolehkan mereka mencatat kemenangan seterusnya mengutip mata penuh.
Bagaimanapun, katanya, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutama apabila mereka melayan kunjungan Kedah Darul Aman (KDA), Sabtu ini.
"Masih ada 'kerja rumah' yang perlu dibuat terutama apabila kita telah mendahului, pemain mula memperlahankan rentak permainan sehingga memberi peluang kepada Melaka United memberi tekanan dan menghasilkan gol.
"Apapun saya memuji kesungguhan para pemain, mereka sekali lagi mempamerkan aksi luar biasa, mereka berjaya memberi tekanan kepada Melaka United dengan dua gol awal walaupun kita tahu pasukan pelawat bukanlah lawan yang mudah," katanya.
Dengan kemenangan semalam, Sabah FC kini berada di kedudukan ketujuh liga dengan 16 mata hasil daripada empat kemenangan, empat seri dan empat kali kalah.
Sabah FC sekali lagi bakal beraksi di gelanggang sendiri pada perlawanan seterusnya bertemu KDA, Sabtu ini.Disiarkan pada: Mei 6, 2021 @ 11:45am.1
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/05/702956/dah-tua-masih-power (diakses pada 6 Mei 2021)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan