Rabu, 20 Disember 2017

Kehebatan Amri semakin membayangi Safee

ARKIB : 16/02/2009
Oleh sayed hesham idris
hesham.idris@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Safee Sali sudah ada pencabar. Saingannya bukanlah pemain penyerang pasukan lawan tetapi daripada rakan sepasukannya di posisi pembantu penyerang, Amri Yahyah.

Dua jaringan Amri ketika membantu Selangor merampas teraju Liga Super selepas menang 3-1 ke atas KL, kelmarin sedikit menenggelamkan status Safee sebagai penyerang digeruni.

Malahan, jurulatih Selangor K. Devan mengakui perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin merupakan 'malam Amri'.

''Amri beraksi begitu baik sehingga membantu Selangor menguasai perlawanan terutama di babak awal.

''Dua jaringannya mengesahkan dia kini berada pada prestasi terbaik.

''Namun ini tidak bermakna dia sudah boleh diletakkan status sebagai pengganti Safee.

''Safee masih penyerang utama dan yang terbaik dalam pasukan ini.

''Cuma dalam perlawanan ini (kelmarin) Safee tidak dapat memberikan aksi terbaik kerana dia baru sahaja pulih daripada demam.

''Sentuhan Safee masih menjadi sandaran utama Selangor kerana dia memiliki pengalaman.

''Kejayaan Amri meraih dua gol dibantu kelebihannya sebagai pembantu penyerang di belakang Safee.

'Posisi itu memudahkan dia bergerak lebih bebas kerana dia tidak dikawal begitu ketat seperti Safee," kata Devan.

Amri menjaringkan dua gol menerusi helah yang hampir serupa pada minit ke-27 dan ke-54 apabila melambungkan bola melepasi penjaga gol Kuala Lumpur Razi Effendi Suhit.

KL PLUS cuba bangkit menerusi jaringan pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah pada minit ke-58.

Namun, rembatan kencang Amirulhadi Zainal pada minit ke-72 menamatkan sisa peluang pasukan tuan rumah.

Tambah Devan, dia berpuas hati apabila strategi untuk memberi tekanan awal pada pasukan tuan rumah menjadi pada 20 minit pertama.

''Asakan kita di awal permainan berhasil dengan jaringan Amri namun selepas itu perlawanan kembali seimbang sebelum kita kembali menguasai babak akhir.

''Apa yang saya harapkan para pemain akan terus mengekalkan prestasi seperti malam ini untuk perlawanan seterusnya," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz51qRXxIzQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 19 Disember 2017

Surendran, Amri kembali beraksi



ARKIB : 13/02/2009

KUALA LUMPUR - Setelah kerap terlepas tempat dalam kesebelasan utama Selangor sejak awal musim 2009, D. Surendran (gambar) bakal kembali meraihnya apabila menentang KL PLUS di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, esok.

Ini ekoran kad merah yang diterima Nasriq Baharom, Selasa lalu, juga pada hari jadinya, memberikan kelebihan kepada Surendran, 29, pakar sepakan jauh untuk menampung kekurangan itu.

Razman Roslan yang juga bek kanan, mungkin perlu memberi laluan posisi kepada anak jati Klang itu untuk bergandingan dengan Khairul Anuar Baharom selaku tulang belakang utama Selangor yang cuba merampas teraju liga selepas lima perlawanan.

Dua lagi pemain pertahanan simpanan Selangor sekarang tetapi dianggap belum mampu dipertaruhkan ialah Zaiza Zainal Abidin dan Fadzirul Zakaria sementara Asraruddin Putra Omar lebih sebagai bek kiri.

Jasa Nasriq yang mulanya dianggap wira dengan jaringan sulung Selangor, tercemar apabila didapati menyiku seorang pemain Perlis sehingga mereka terpaksa bermain dengan 10 orang pada 20 minit terakhir walaupun menang 2-1 di Stadium Shah Alam.

Jurulatih Selangor, K. Devan ternyata kurang senang dengan tindakan pemain namun menarik nafas lega apabila Singa Utara gagal menyambar kesempatan untuk mencuri mata.

"Saya fikir dia (Nasriq) berhak mendapat kad merah itu tetapi kami memang sukar untuk bertahan dengan kelebihan dua gol dalam tempoh yang agak panjang," katanya yang turut merombak barisan pemain Selangor.

Dalam pada kemelut itu, Devan cukup terpikat dengan kematangan Fazilidin Khalid yang mengambil alih posisi ketua pasukan, Amri Yahyah di bahagian tengah sehingga pemain berusia 24 tahun itu menghasilkan gol kedua dengan rembatan dari jarak lebih 20 meter.

"Dia pemain yang bijak walaupun saya perlu akui Selangor kekurangan selepas ketiadaan Amri," katanya yang kembali lega dapat menggunakan khidmat Amri, anak jati Tanjung Karang itu, esok.

Persaingan Selangor menentang KL PLUS yang diterajui Mat Zan Mat Aris boleh diibaratkan pertemuan derby dan bakal menentukan siapa Raja Lembah Klang apatah lagi kedua-dua pasukan terikat 12 mata bersama-sama pendahulu, Negeri Sembilan serta Kelantan di tangga keempat.

Gergasi Merah cuba dipisahkan dengan Rusa secara perbezaan gol sebagai teraju Liga Super selepas mengharungi empat lagi perlawanan.

Barisan kemungkinan Selangor:

Hamsani Ahmad, P. Gunalan, Khairul Anuar Baharum, Razman Roslan, D. Surendran, Hardi Jaafar, Amri Yahyah, Fareez Asmawi, Amirulhadi Zainal, Safee Sali, R. Surendren

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz51j46iNPB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 13 Disember 2017

Gergasi Merah mula garang

ARKIB : 18/11/2008
KUALA LUMPUR - Selangor bangkit daripada aksi hambar perlawanan pertama Kejohanan Bola Sepak Pramusim 2008-2009 Sabtu lalu apabila mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas CIMB di Stadium Pusat Latihan BSN, Bangi semalam.

Ternyata anak didik K. Devan bukan lawan sebenar CIMB apabila mempamerkan aksi mendominasi sejak tiupan wisel pertama dibunyikan.

Selangor dilihat begitu bernafsu untuk memburu gol pada perlawanan kedua mereka itu kelmarin dan kebanyakan serangan itu banyak direncanakan oleh ketua pasukan Selangor, Mohd. Amri Yahyah.

Pasukan yang digelar Gergasi Merah memperoleh dua peluang terbaik minit ketujuh, namun percubaan pemain sayap, Sanjos Sundawat berjaya dinafikan oleh penjaga gol CIMB, Izhar Haslam Ismail.

Lima minit selepas itu, Mohd. Amri berjaya menebus kegagalan Sanjos apabila memperoleh gol pertama Selangor menerusi jaringan padang minit ke-12, sebelum D. Surendran menjaring gol kedua Selangor menerusi sepakan bebas pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Selangor terus menggandakan asakan pada separuh masa kedua dan Mohd. Amri sekali lagi berjaya meletakkan nama sebagai penjaring apabila melakukan jaringan cantik dari luar kotak penalti minit ke-70.

Pemain muda harapan Selangor, Mohd. Fitri Shazwan Raduwan membuktikan dirinya bakal menjadi pemain berwibawa apabila beraksi cemerlang pada perlawanan tersebut dan berjaya menghasilkan gol cantik dengan memperdaya penjaga gol CIMB menerusi sepakan lambung minit ke-88.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan tersebut, Devan berkata, dia masih tidak berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan oleh Selangor dan ia sekadar persembahan sederhana.

Namun begitu katanya, dia amat berpuas hati dengan persembahan lima pemain muda yang diturunkan pada perlawanan tersebut, terutamanya pemain sayap kiri Selangor, Mohd. Fitri.

"Perlawanan liga Pramusim 2008-2009 ini merupakan medan terbaik kepada saya untuk mencuba pemain muda dan pemain muda yang diturunkan berjaya melaksanakan tugas yang diberi dengan baik," katanya di sini semalam.

Ditanya mengenai kemungkinan Mohd. Fitri akan diberi tugas utama pada perlawanan Liga Malaysia tahun depan, Devan berkata, pemain muda itu mempunyai bakat besar dan berpotensi menjadi pemain kesayangan peminat setia.

"Mohd. Fitri mempunyai peluang cerah untuk bermain dalam persaingan Liga Malaysia tahun depan jika dia terus berjaya mengekalkan mempamerkan persembahan bertenaga seperti hari ini (semalam)," katanya.

Sementara itu, jurulatih CIMB, Abd. Ghani Long berkata, pasukannya itu masih jauh ketinggalan berbanding Selangor.

Katanya, penyertaan pasukan itu di kejohanan tersebut adalah sekadar persiapan menghadapi kejohanan bola sepak antara syarikat perbankan tahun depan.

"Pasukan bola sepak CIMB tidak meletakkan sebarang matlamat tinggi apabila menyertai kejohanan ini dan ia sekadar menimba pengalaman beraksi dengan pasukan lebih hebat.

"Menerusi kejohanan ini juga, CIMB dapat melihat sejauh mana perkembangan yang telah dicapai dan mengenalpasti kelemahan pasukan yang perlu dibaiki," katanya
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5184ezuWZ

© Utusan Melayu (M) Bhd