ARKIB : 18/11/2008
KUALA LUMPUR - Selangor bangkit
daripada aksi hambar perlawanan pertama Kejohanan Bola Sepak Pramusim 2008-2009
Sabtu lalu apabila mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas CIMB di Stadium Pusat
Latihan BSN, Bangi semalam.
Ternyata anak didik K. Devan
bukan lawan sebenar CIMB apabila mempamerkan aksi mendominasi sejak tiupan
wisel pertama dibunyikan.
Selangor dilihat begitu
bernafsu untuk memburu gol pada perlawanan kedua mereka itu kelmarin dan
kebanyakan serangan itu banyak direncanakan oleh ketua pasukan Selangor, Mohd.
Amri Yahyah.
Pasukan yang digelar Gergasi
Merah memperoleh dua peluang terbaik minit ketujuh, namun percubaan pemain
sayap, Sanjos Sundawat berjaya dinafikan oleh penjaga gol CIMB, Izhar Haslam
Ismail.
Lima minit selepas itu, Mohd.
Amri berjaya menebus kegagalan Sanjos apabila memperoleh gol pertama Selangor
menerusi jaringan padang minit ke-12, sebelum D. Surendran menjaring gol kedua
Selangor menerusi sepakan bebas pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Selangor terus menggandakan
asakan pada separuh masa kedua dan Mohd. Amri sekali lagi berjaya meletakkan
nama sebagai penjaring apabila melakukan jaringan cantik dari luar kotak
penalti minit ke-70.
Pemain muda harapan Selangor,
Mohd. Fitri Shazwan Raduwan membuktikan dirinya bakal menjadi pemain berwibawa
apabila beraksi cemerlang pada perlawanan tersebut dan berjaya menghasilkan gol
cantik dengan memperdaya penjaga gol CIMB menerusi sepakan lambung minit ke-88.
Mengulas lanjut mengenai
perlawanan tersebut, Devan berkata, dia masih tidak berpuas hati dengan
permainan yang ditunjukkan oleh Selangor dan ia sekadar persembahan sederhana.
Namun begitu katanya, dia amat
berpuas hati dengan persembahan lima pemain muda yang diturunkan pada
perlawanan tersebut, terutamanya pemain sayap kiri Selangor, Mohd. Fitri.
"Perlawanan liga Pramusim
2008-2009 ini merupakan medan terbaik kepada saya untuk mencuba pemain muda dan
pemain muda yang diturunkan berjaya melaksanakan tugas yang diberi dengan
baik," katanya di sini semalam.
Ditanya mengenai kemungkinan
Mohd. Fitri akan diberi tugas utama pada perlawanan Liga Malaysia tahun depan,
Devan berkata, pemain muda itu mempunyai bakat besar dan berpotensi menjadi
pemain kesayangan peminat setia.
"Mohd. Fitri mempunyai
peluang cerah untuk bermain dalam persaingan Liga Malaysia tahun depan jika dia
terus berjaya mengekalkan mempamerkan persembahan bertenaga seperti hari ini
(semalam)," katanya.
Sementara itu, jurulatih CIMB,
Abd. Ghani Long berkata, pasukannya itu masih jauh ketinggalan berbanding
Selangor.
Katanya, penyertaan pasukan itu
di kejohanan tersebut adalah sekadar persiapan menghadapi kejohanan bola sepak
antara syarikat perbankan tahun depan.
"Pasukan bola sepak CIMB
tidak meletakkan sebarang matlamat tinggi apabila menyertai kejohanan ini dan
ia sekadar menimba pengalaman beraksi dengan pasukan lebih hebat.
"Menerusi kejohanan ini
juga, CIMB dapat melihat sejauh mana perkembangan yang telah dicapai dan
mengenalpasti kelemahan pasukan yang perlu dibaiki," katanya
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5184ezuWZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan