Rabu, 20 Disember 2017

Kehebatan Amri semakin membayangi Safee

ARKIB : 16/02/2009
Oleh sayed hesham idris
hesham.idris@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Safee Sali sudah ada pencabar. Saingannya bukanlah pemain penyerang pasukan lawan tetapi daripada rakan sepasukannya di posisi pembantu penyerang, Amri Yahyah.

Dua jaringan Amri ketika membantu Selangor merampas teraju Liga Super selepas menang 3-1 ke atas KL, kelmarin sedikit menenggelamkan status Safee sebagai penyerang digeruni.

Malahan, jurulatih Selangor K. Devan mengakui perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin merupakan 'malam Amri'.

''Amri beraksi begitu baik sehingga membantu Selangor menguasai perlawanan terutama di babak awal.

''Dua jaringannya mengesahkan dia kini berada pada prestasi terbaik.

''Namun ini tidak bermakna dia sudah boleh diletakkan status sebagai pengganti Safee.

''Safee masih penyerang utama dan yang terbaik dalam pasukan ini.

''Cuma dalam perlawanan ini (kelmarin) Safee tidak dapat memberikan aksi terbaik kerana dia baru sahaja pulih daripada demam.

''Sentuhan Safee masih menjadi sandaran utama Selangor kerana dia memiliki pengalaman.

''Kejayaan Amri meraih dua gol dibantu kelebihannya sebagai pembantu penyerang di belakang Safee.

'Posisi itu memudahkan dia bergerak lebih bebas kerana dia tidak dikawal begitu ketat seperti Safee," kata Devan.

Amri menjaringkan dua gol menerusi helah yang hampir serupa pada minit ke-27 dan ke-54 apabila melambungkan bola melepasi penjaga gol Kuala Lumpur Razi Effendi Suhit.

KL PLUS cuba bangkit menerusi jaringan pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah pada minit ke-58.

Namun, rembatan kencang Amirulhadi Zainal pada minit ke-72 menamatkan sisa peluang pasukan tuan rumah.

Tambah Devan, dia berpuas hati apabila strategi untuk memberi tekanan awal pada pasukan tuan rumah menjadi pada 20 minit pertama.

''Asakan kita di awal permainan berhasil dengan jaringan Amri namun selepas itu perlawanan kembali seimbang sebelum kita kembali menguasai babak akhir.

''Apa yang saya harapkan para pemain akan terus mengekalkan prestasi seperti malam ini untuk perlawanan seterusnya," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz51qRXxIzQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan