ARKIB : 13/02/2009
KUALA LUMPUR - Setelah kerap
terlepas tempat dalam kesebelasan utama Selangor sejak awal musim 2009, D.
Surendran (gambar) bakal kembali meraihnya apabila menentang KL PLUS di Stadium
Bola Sepak Kuala Lumpur, esok.
Ini ekoran kad merah yang
diterima Nasriq Baharom, Selasa lalu, juga pada hari jadinya, memberikan
kelebihan kepada Surendran, 29, pakar sepakan jauh untuk menampung kekurangan
itu.
Razman Roslan yang juga bek
kanan, mungkin perlu memberi laluan posisi kepada anak jati Klang itu untuk
bergandingan dengan Khairul Anuar Baharom selaku tulang belakang utama Selangor
yang cuba merampas teraju liga selepas lima perlawanan.
Dua lagi pemain pertahanan
simpanan Selangor sekarang tetapi dianggap belum mampu dipertaruhkan ialah
Zaiza Zainal Abidin dan Fadzirul Zakaria sementara Asraruddin Putra Omar lebih
sebagai bek kiri.
Jasa Nasriq yang mulanya
dianggap wira dengan jaringan sulung Selangor, tercemar apabila didapati
menyiku seorang pemain Perlis sehingga mereka terpaksa bermain dengan 10 orang
pada 20 minit terakhir walaupun menang 2-1 di Stadium Shah Alam.
Jurulatih Selangor, K. Devan
ternyata kurang senang dengan tindakan pemain namun menarik nafas lega apabila
Singa Utara gagal menyambar kesempatan untuk mencuri mata.
"Saya fikir dia (Nasriq)
berhak mendapat kad merah itu tetapi kami memang sukar untuk bertahan dengan
kelebihan dua gol dalam tempoh yang agak panjang," katanya yang turut
merombak barisan pemain Selangor.
Dalam pada kemelut itu, Devan
cukup terpikat dengan kematangan Fazilidin Khalid yang mengambil alih posisi
ketua pasukan, Amri Yahyah di bahagian tengah sehingga pemain berusia 24 tahun
itu menghasilkan gol kedua dengan rembatan dari jarak lebih 20 meter.
"Dia pemain yang bijak
walaupun saya perlu akui Selangor kekurangan selepas ketiadaan Amri,"
katanya yang kembali lega dapat menggunakan khidmat Amri, anak jati Tanjung
Karang itu, esok.
Persaingan Selangor menentang KL
PLUS yang diterajui Mat Zan Mat Aris boleh diibaratkan pertemuan derby dan
bakal menentukan siapa Raja Lembah Klang apatah lagi kedua-dua pasukan terikat
12 mata bersama-sama pendahulu, Negeri Sembilan serta Kelantan di tangga
keempat.
Gergasi Merah cuba dipisahkan
dengan Rusa secara perbezaan gol sebagai teraju Liga Super selepas mengharungi
empat lagi perlawanan.
Barisan kemungkinan Selangor:
Hamsani Ahmad, P. Gunalan,
Khairul Anuar Baharum, Razman Roslan, D. Surendran, Hardi Jaafar, Amri Yahyah,
Fareez Asmawi, Amirulhadi Zainal, Safee Sali, R. Surendren
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz51j46iNPB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan