Selasa, 18 Disember 2018

Selangor kenduri gol


ARKIB : 10/03/2010
KUALA LUMPUR - Selangor mencerahkan peluang untuk beraksi pada perlawanan separuh akhir setelah membenam Pos Malaysia 5-1 dalam pertemuan pertama suku akhir Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

Pasukan Red Giants membuka pesta jaringan menerusi pemain berpengalaman Amri Yahyah yang berjaya meledakkan dua gol pada minit ke-22 dan 27.

Rakan sepasukan, Safee Sali menambah derita Pos Malaysia apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-41 dan sekali gus meletakkan Selangor mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, giliran Rudie Ramli pula menyumbang gol buat Selangor pada minit ke-69 dan 78 manakala Pos Malaysia memperoleh gol sagu hati menerusi Khairulzal Azmi pada minit ke-77.

Sementara itu, aksi di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Nizarudin Yusof muncul wira KL Plus apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-87 bagi memberi kelebihan tipis 1-0 buat pasukannya menewaskan Negeri Sembilan.

Gerakan satu, dua dengan pemain gantian, Muhd. Badrul Hisani Abd. Rahman membuahkan hasil apabila Nizarudin berjaya memperdayakan pertahanan Negeri Sembilan dan memberikan gol kejayaan buat KL Plus.

Dalam pada itu, perlawanan di Stadium Darul Aman menyaksikan Kedah terikat 1-1 dengan ATM menerusi jaringan Khairul Helmi Johari pada minit ke-54 manakala ATM menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti yang disempurnakan oleh V. Saravanan pada minit ke-62.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu pula, T-Team menewaskan pasukan senegeri 3-1.

Jaringan T-Team diperoleh menerusi Mohd. Haris Safwan (minit ke-9) dan Abdul Hadi Yahya (minit ke-39 dan 59) manakala gol tunggal Terengganu diperoleh melalui Tengku Hasbullah pada minit ke-90.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5a2BY25cX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 4 Disember 2018

Rajagobal resah kecederaan tonggak


 


ARKIB : 02/01/2010
Mohd. Amri (kanan) masih dibelenggu kecederaan sehingga tidak dapat diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Syria, baru-baru ini.

 KUALA LUMPUR - Kecederaan dua pemain tonggak, Mohd. Amri Yahyah dan Mohd Sabre Mat Abu meresahkan jurulatih K. Rajagobal, menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 6 Januari ini.

Lima hari menjelang perlawanan tersebut, belum ada kepastian kedua-duanya bakal pulih tepat pada masanya untuk diturunkan pada perlawanan di Dubai nanti.

Untuk itu, Rajagobal berkata, beliau akan memantau kecederaan yang dialami oleh kedua pemain itu sebelum memutuskan kesebelasan utama bagi perlawanan tersebut.

Tanpa menyebut secara spesifik mengenai kecederaan yang dialami oleh Mohd. Amri dan Mohd. Sabre, Rajagobal juga berkata, setakat ini beliau belum mempunyai senarai 11 pemain yang akan diturunkan kelak.

''Saya akan membuat keputusan pada saat akhir bagi menilai terlebih dahulu kekuatan mental pemain, selain daripada faktor kecederaan yang dialami oleh para pemain lain.

''Terdapat juga beberapa pemain lain selain Amri dan Sabre yang mengalami kecederaan, namun ia tidaklah terlalu serius dan masih boleh diturunkan bagi menghadapi UAE,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Pemain Selangor, Mohd. Amri sering bertindak sebagai perancang kepada bahagian serangan manakala Sabre, yang bermain di posisi pertahanan merupakan dua tonggak penting kepada skuad kebangsaan.

Perlawanan dengan UAE merupakan perlawanan terakhir skuad negara untuk menutup tirai cabaran dalam Kumpulan C pusingan kelayakan ke Piala Asia 2011.

Di atas kertas, peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir ternyata sukar apabila gagal mengutip sebarang mata dalam kumpulan yang dihuni oleh Uzbezkistan dan UAE.

Satu-satunya peluang untuk Malaysia layak ke pusingan akhir ialah dengan menang besar ke atas UAE, seterusnya mengharapkan UAE kalah dengan jaringan yang besar apabila berdepan Uzbezkistan.

Dalam pada itu, Rajagobal berkata beliau akan menurunkan barisan terkuat walaupun menyedari perlawanan di Dubai mungkin tidak lagi memberikan sebarang makna.

''Memandangkan kami akan berada di sana, kami tidak akan sia-siakan peluang untuk menguji keupayaan sebenar skuad ini dengan memberi tentangan sengit kepada UAE,'' ujarnya.

Namun, beliau enggan mendedahkan sama ada akan menggunakan strategi bertahan atau menyerang dalam perlawanan itu nanti.

''Itu adalah rahsia taktikal, bagaimanapun kami akan positif dan tidak akan gentar terhadap reputasi UAE,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YigBdchY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Norhafiz, Amri dipangil hadapi kelayakan Piala Asia


 
ARKIB : 22/12/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Mohd. Amri Yahyah menjadi pilihan utama menguatkan barisan skuad Malaysia dalam kelayakan Piala Asia bulan depan.

KUALA LUMPUR – Norhafiz Zamani Misbah dan Amri Yahyah merupakan antara tiga pemain senior yang akan dipanggil memperkuatkan skuad juara Sukan SEA Laos bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.

Jurulatih negara, K. Rajagobal mengesahkan nama bek tengah KL PLUS dan pemain tengah menyerang Selangor itu disenaraikan bersama skuad bawah 23 tahunnya ke kem latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya mulai Khamis ini.

Seorang lagi pemain akan dikenal pasti dalam tempoh terdekat.

“Memandangkan mereka pernah bersama skuad ini sejak menentang Manchester United (Julai lalu) dan kelayakan Piala Asia dengan Uzbekistan (bulan lalu), tahap keserasian dan kecergasan bagi perlawanan antarabangsa kedua-duanya sudah pasti menepati.

“Sukar menilai pemain senior lain apatah lagi kita kini di luar musim liga tetapi saya memang tidak akan mengabaikan langsung sesiapa yang lain dan betul-betul bagus untuk dipanggil ke skuad negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Malaysia yang ketika ini menduduki tempat tercorot Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011, akan menghadapi UAE di Stadium Al Shabab, Dubai pada 6 Januari ini - perlawanan pelengkap jadual malah terlalu tipis untuk menyambar tiket naib juara ke pusingan akhir di Qatar.

Bagaimanapun majoriti pemain bawah 23 tahun di samping Amri dan Norhafiz, menunjukkan peningkatan permainan malah mampu menyumbat dua gol ketika dikalahkan Uzbekistan 3-1 di Tashkent dan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 dan 18 November.

Kata Rajagobal, anak buahnya cuma akan dilepaskan dari kem latihan sebelah petang ekoran cuti am Hari Natal, Jumaat ini tetapi akan kembali menyambung persediaan bagi menghadapi UAE yang membenam skuad senior negara 5-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 21 Januari lalu.

“Sama ada cukup atau tidak, apa hendak dibuat. Itu sahaja tempoh latihan yang kami ada. Mungkin satu perlawanan persahabatan sahaja (menentang Syria, 2 Januari ini) yang dapat diatur buat pasukan negara di sini sebelum kami berlepas ke UAE,” katanya.

“Walaupun peluang kita ke pusingan akhir seperti sudah tertutup, kami akan berikan persembahan terbaik dan berhabis-habisan dalam perlawanan terakhir kumpulan ini,” katanya yang menerajui skuad bawah 23 mengakhiri kemarau emas bola sepak Sukan SEA sejak 1989, minggu lalu.

Kita memikul tugas hampir mustahil untuk menewaskan UAE dengan jaringan besar sambil mengharapkan Uzbekistan membelasah lawan Asia Barat tanpa balas selepas itu bagi mencari perbezaan gol dengan potensi tiga mata untuk layak sebagai naib juara kumpulan ke Qatar.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Yho2uNCx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 3 Disember 2018

Hanya Amri, Norhafiz pilihan Rajagobal

 
ARKIB : 11/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
PETALING JAYA - Hanya Amri Yahyah dan Norhafiz Zamani Misbah menjadi dua pemain senior yang dipanggil membarisi skuad kebangsaan menghadapi perlawanan bola sepak Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Uzbekistan, Sabtu dan 18 November ini.

Khidmat ketua pemain Selangor dan bek tengah KL PLUS itu diperlukan jurulatih negara, K. Rajagobal untuk membimbing majoriti pemain bawah 23 tahun khususnya di bahagian pertahanan dan depan dalam perlawanan timbal balik itu di Tashkent dan Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Namun, tiada bersama mereka berdua seperti skuad Pilihan Malaysia yang menentang Manchester United, Julai lalu ialah ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin yang turut menjaringkan gol sagu hati menerusi sepakan percuma pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Turut dinamakan ialah tiga pemain Negeri Sembilan, juara Piala Malaysia 2009 - Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak dan S. Kunanlan dan agak pelik ialah tiadanya penjaring gol awal yang bermain cemerlang dalam perlawanan akhir itu, Shahurain Abu Samah.

Dalam senarai yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam, Rajagobal dilihat cuba membuat kejutan dengan meletakkan Amri sebagai penyerang di samping Zaquan, Norshahrul Idlan Talaha (UPB-MyTeam), Razali Umar Kandasamy (Perak) dan Ahmad Fakri Saarani (Perlis).

Pemilihan kali ini dianggap sebagai peluang pendedahan perlawanan sebenar buat skuad bawah 23 tahun yang bakal menghadapi Sukan SEA Laos, Disember ini setelah peluang Malaysia untuk melepasi Kelayakan Piala Asia 2011 seperti agak samar sejak dibelasah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 5-0, Januari lalu.

Kecuali Norhafiz, Aidil, Zaquan dan penjaga gol Syed Adney Syed Hussein, sebahagian besar pemain senior skuad berkenaan juga tidak dinamakan semula dalam senarai kali ini antaranya Safee Sali, Hairuddin Omar, Hardi Jaafar, Syamsuri Mustafa dan pemenang Kasut Emas Liga Super 2009, Nizaruddin Yusof.

Malah, rekod tiga perlawanan antarabangsa pada 1994 dan 1999 menyaksikan kita sentiasa dibelasah Uzbekistan 5-0 dan 3-0 selain 5-0 di peringkat Kumpulan C pusingan akhir Piala Asia 2007 di Bukit Jalil sehingga mendorong Timbalan Presiden FAM ketika itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meletakkan jawatan.

Namun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad melahirkan keyakinan bahawa anak buah Rajagopal masih mempunyai peluang ke pusingan akhir biarpun turut berdepan dengan masalah penyesuaian diri dengan cuaca sejuk di Stadium JAR, Tashkent yang dikatakan mencapai paras 10 darjah Celsius.

"Mereka bagaimanapun mesti menang dalam perlawanan ini untuk terus berjuang ke pusingan akhir," katanya sambil menambah bahawa tiket perlawanan Malaysia-Uzbekistan di Stadium Nasional pada pukul 5.30 petang 18 November ini dijual dengan harga RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak.

Kelmarin, skuad bawah 23 tahun ini menunjukkan prestasi membanggakan dengan menewaskan lawan sebaya Indonesia 3-1 dalam satu perlawanan persahabatan di Palembang, Sumatera.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5YcM9vxNa
© Utusan Melayu (M) Bhd