Selasa, 4 Disember 2018

Rajagobal resah kecederaan tonggak


 


ARKIB : 02/01/2010
Mohd. Amri (kanan) masih dibelenggu kecederaan sehingga tidak dapat diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Syria, baru-baru ini.

 KUALA LUMPUR - Kecederaan dua pemain tonggak, Mohd. Amri Yahyah dan Mohd Sabre Mat Abu meresahkan jurulatih K. Rajagobal, menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 6 Januari ini.

Lima hari menjelang perlawanan tersebut, belum ada kepastian kedua-duanya bakal pulih tepat pada masanya untuk diturunkan pada perlawanan di Dubai nanti.

Untuk itu, Rajagobal berkata, beliau akan memantau kecederaan yang dialami oleh kedua pemain itu sebelum memutuskan kesebelasan utama bagi perlawanan tersebut.

Tanpa menyebut secara spesifik mengenai kecederaan yang dialami oleh Mohd. Amri dan Mohd. Sabre, Rajagobal juga berkata, setakat ini beliau belum mempunyai senarai 11 pemain yang akan diturunkan kelak.

''Saya akan membuat keputusan pada saat akhir bagi menilai terlebih dahulu kekuatan mental pemain, selain daripada faktor kecederaan yang dialami oleh para pemain lain.

''Terdapat juga beberapa pemain lain selain Amri dan Sabre yang mengalami kecederaan, namun ia tidaklah terlalu serius dan masih boleh diturunkan bagi menghadapi UAE,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Pemain Selangor, Mohd. Amri sering bertindak sebagai perancang kepada bahagian serangan manakala Sabre, yang bermain di posisi pertahanan merupakan dua tonggak penting kepada skuad kebangsaan.

Perlawanan dengan UAE merupakan perlawanan terakhir skuad negara untuk menutup tirai cabaran dalam Kumpulan C pusingan kelayakan ke Piala Asia 2011.

Di atas kertas, peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir ternyata sukar apabila gagal mengutip sebarang mata dalam kumpulan yang dihuni oleh Uzbezkistan dan UAE.

Satu-satunya peluang untuk Malaysia layak ke pusingan akhir ialah dengan menang besar ke atas UAE, seterusnya mengharapkan UAE kalah dengan jaringan yang besar apabila berdepan Uzbezkistan.

Dalam pada itu, Rajagobal berkata beliau akan menurunkan barisan terkuat walaupun menyedari perlawanan di Dubai mungkin tidak lagi memberikan sebarang makna.

''Memandangkan kami akan berada di sana, kami tidak akan sia-siakan peluang untuk menguji keupayaan sebenar skuad ini dengan memberi tentangan sengit kepada UAE,'' ujarnya.

Namun, beliau enggan mendedahkan sama ada akan menggunakan strategi bertahan atau menyerang dalam perlawanan itu nanti.

''Itu adalah rahsia taktikal, bagaimanapun kami akan positif dan tidak akan gentar terhadap reputasi UAE,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YigBdchY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan