Selasa, 4 Disember 2018

Norhafiz, Amri dipangil hadapi kelayakan Piala Asia


 
ARKIB : 22/12/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Mohd. Amri Yahyah menjadi pilihan utama menguatkan barisan skuad Malaysia dalam kelayakan Piala Asia bulan depan.

KUALA LUMPUR – Norhafiz Zamani Misbah dan Amri Yahyah merupakan antara tiga pemain senior yang akan dipanggil memperkuatkan skuad juara Sukan SEA Laos bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.

Jurulatih negara, K. Rajagobal mengesahkan nama bek tengah KL PLUS dan pemain tengah menyerang Selangor itu disenaraikan bersama skuad bawah 23 tahunnya ke kem latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya mulai Khamis ini.

Seorang lagi pemain akan dikenal pasti dalam tempoh terdekat.

“Memandangkan mereka pernah bersama skuad ini sejak menentang Manchester United (Julai lalu) dan kelayakan Piala Asia dengan Uzbekistan (bulan lalu), tahap keserasian dan kecergasan bagi perlawanan antarabangsa kedua-duanya sudah pasti menepati.

“Sukar menilai pemain senior lain apatah lagi kita kini di luar musim liga tetapi saya memang tidak akan mengabaikan langsung sesiapa yang lain dan betul-betul bagus untuk dipanggil ke skuad negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Malaysia yang ketika ini menduduki tempat tercorot Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011, akan menghadapi UAE di Stadium Al Shabab, Dubai pada 6 Januari ini - perlawanan pelengkap jadual malah terlalu tipis untuk menyambar tiket naib juara ke pusingan akhir di Qatar.

Bagaimanapun majoriti pemain bawah 23 tahun di samping Amri dan Norhafiz, menunjukkan peningkatan permainan malah mampu menyumbat dua gol ketika dikalahkan Uzbekistan 3-1 di Tashkent dan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 dan 18 November.

Kata Rajagobal, anak buahnya cuma akan dilepaskan dari kem latihan sebelah petang ekoran cuti am Hari Natal, Jumaat ini tetapi akan kembali menyambung persediaan bagi menghadapi UAE yang membenam skuad senior negara 5-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 21 Januari lalu.

“Sama ada cukup atau tidak, apa hendak dibuat. Itu sahaja tempoh latihan yang kami ada. Mungkin satu perlawanan persahabatan sahaja (menentang Syria, 2 Januari ini) yang dapat diatur buat pasukan negara di sini sebelum kami berlepas ke UAE,” katanya.

“Walaupun peluang kita ke pusingan akhir seperti sudah tertutup, kami akan berikan persembahan terbaik dan berhabis-habisan dalam perlawanan terakhir kumpulan ini,” katanya yang menerajui skuad bawah 23 mengakhiri kemarau emas bola sepak Sukan SEA sejak 1989, minggu lalu.

Kita memikul tugas hampir mustahil untuk menewaskan UAE dengan jaringan besar sambil mengharapkan Uzbekistan membelasah lawan Asia Barat tanpa balas selepas itu bagi mencari perbezaan gol dengan potensi tiga mata untuk layak sebagai naib juara kumpulan ke Qatar.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Yho2uNCx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan