MyMetroNode
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Shah Alam: Skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi hambar apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Bangladesh pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi, sekali gus mengundang keresahan buat pengendali Dollah Salleh menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 minggu depan.
Kemenangan yang diharapkan buat pembakar semangat selepas diaibkan Palestin 0-6 di gelanggang sama pada aksi kelayakan Jun lalu tidak kesampaian dengan pemain negara 'terkial-kial' mencari rentak.
Bertemu pasukan di ranking ke-170 ini, Malaysia (168) lebih banyak menguasai permainan, namun serangan yang diterajui Nor Farhan Muhammad dan Mohd Amri Yahyah seakan buntu menghasilkan jaringan.
Hanya dua percubaan Amri mencemaskan gawang Bangladesh menerusi rembatan dalam kotak penalti pada minit ke-19 dan sepakan percuma (m-38) yang berjaya diselamatkan Md Sahidul Alam.
Ketika pasukan pelawat kendalian Lodewijk De Kruif lebih banyak bertahan, Harimau Malaya terus gagal memecah kebuntuan dengan beberapa percubaan di depan gol mudah dipatahkan termasuk sepakan voli Ahmad Hazwan Bakri tersasar di minit ke-69.
Keputusan seri itu menyaksikan Malaysia terus kempunan meraih kemenangan dalam lima perlawanan antarabangsa selepas kali terakhir mengalahkan Thailand 3-2 pada final Piala AFF Disember lalu.
Skuad negara akan berlepas ke Abu Dhabi Isnin ini bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 11:02 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan