AHAD, 27 NOVEMBER 2016 @ 7:30 PM
Oleh Mohd Khairie Khalid khairie@bh.com.my SEPANG:
Kapten skuad kebangsaan, Amri Yahyah mengakui banyak pertukaran yang berlaku sebelum sepak mula sebagai antara punca menjejaskan persembahan Harimau Malaysia pada saingan Piala AFF Suzuki 2016 di Yangon.
Tegasnya, walaupun terdapat 'gangguan' dan percaturan yang serba tidak menjadi, semua pemain beraksi dengan baik serta memberikan komitmen tinggi. "Dari awal lagi kita banyak tukar pemain namun saya tidak mahu salahkan sesiapa.
Kami sudah berikan komitmen terbaik di sana (Yangon). "Untuk edisi kali ini bagi saya, semua pemain sudah buat yang terbaik untuk pasukan walaupun banyak rintangan sewaktu AFF. "Pertukaran pemain dari awal banyak jejaskan percaturan pasukan. Apa pun saya rasa bangga dengan komitmen tinggi ditunjukkan rakan sepasukan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Yangon, hari ini.
Ketika disoal adakah AFF kali ini yang terakhir buatnya, Amri berkata, hatinya masih lagi ingin bersama skuad kebangsaan namun ia terpulang kepada sesiapa yang akan memegang jawatan selaku jurulatih. "Hasrat (untuk teruskan bermain dengan pasukan kebangsaan) memang ada tapi terpulang kepada sesiapa yang akan pegang jawatan jurulatih.
"Selagi diperlukan saya akan bagi yang terbaik. Apa yang membezakan ketika AFF 2010 (anjuran bersama Indonesia dan Vietnam), kita mempunyai pemain yang sudah lama bermain dan beraksi bersama.
"Tapi edisi kali ini, pemain baru juga bagus, dapat bermain perlawanan besar dan peluang harus terus diberikan kepada mereka," katanya. Semalam, Malaysia gagal ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2016 apabila tewas 0-1 kepada Myanmar di Stadium Thuwunna, sekali gus hanya menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan B selepas hanya meraih satu kemenangan daripada tiga perlawanan.
KAPTEN pasukan, Amri Yahyah ditembual petugas media sebelum meninggalkan hotel penginapan untuk ke lapangan terbang seterusnya pulang ke tanah air selepas gagal melepasi peringkat kumpulan B Piala AFF 2016 untuk peringkat separuh akhir. - Foto Osman Adnan
Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/217474
Tiada ulasan:
Catat Ulasan