R. Gopinathan juga dalam
perjalanan ke Melaka United
NURSURAYA ZULKIFLI | 11
Disember 2016 12:12 AM
MELAKA 10 Dis. - Kapten Harimau
Malaysia, Amri Yahyah semakin hampir untuk menyarung jersi Melaka United (MU)
musim depan, namun keputusan muktamad hanya diketahui Isnin ini apabila
rundingan akhir di antara kedua-dua pihak dijalankan.
Penyerang berusia 35 tahun itu
yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Wak Am’ dikaitkan dengan perpindahan ke
Melaka sejak beberapa minggu lalu.
Malah, skuad Sang Kancil tidak
pernah menyembunyikan minat untuk menggunakan khidmat penyerang berpengalaman
tersebut, apatah lagi mereka bakal bersaing dalam Liga Super musim depan dan
perlu menguatkan pasukan.
Namun, apa yang menjadi
halangan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) untuk membawa Amri atau
mana-mana pemain berstatus bintang selama ini adalah kurangnya dana untuk
berbelanja besar.
Bagaimanapun pengurus pasukan,
Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, terdapat beberapa penaja yang menyatakan
kesediaan untuk membantu MUSA membayar separuh daripada gaji Amri seandainya
bekas bintang Selangor itu menyertai Melaka United.
"Ada pihak yang mewakili
Amri telah bertemu saya untuk berbincang mengenai perkara ini dan saya telah
bersetuju untuk berjumpa beliau bagi berbincang dengan lebih lanjut.
"Sudah tentu jika ada
pemain berpengalaman dan berstatus bintang menyatakan hasrat untuk menyertai
pasukan, kita berasa gembira.
“Namun perkara ini juga perlu
diteliti sedalamnya kerana ia melibatkan beberapa aspek. Melaka United
mempunyai kekangan dari segi kewangan.
"Kita akan bincang dengan
Amri dan keputusan mengenainya akan diketahui nanti selepas kata sepakat
dicapai seterusnya barulah kita bincang lebih lanjut mengenai gaji,"
katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas melawat projek Mural @
Learning Zone di Stadium Hang Jebat, di sini hari ini.
Sebelum ini, desas-desus turut
mengaitkan Amri akan pulang ke pangkuan Selangor dalam Liga Malaysia musim
depan, namun Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) difahamkan keberatan untuk
memenuhi gajinya yang agak tinggi.
Mohd. Yusoff tidak mendedahkan
berapa gaji yang ditawarkan kepada Amri untuk membolehkannya beraksi bersama
skuad Sang Kancil, namun Mingguan Malaysia difahamkan gaji pemain kebangsaan
itu mencecah RM100,000 sebulan di Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dalam pada itu, Mohd. Yusoff
yang juga Timbalan Presiden MUSA berkata, seorang lagi pemain berstatus bintang
turut berada dalam radar Melaka United iaitu pemain sayap Selangor, R.
Gopinathan.
Beliau berkata, Melaka United
tidak mahu terlalu ghairah berbelanja besar untuk mendapatkan pemain-pemain
ternama, namun seperti Amri kesediaan pihak penaja yang mahu membantu pasukan
mendorong mereka menawarkan tempat kepada pemain-pemain tersebut.
"Walau apa pun kita akan
lihat keputusan muktamad mereka nanti dan kita percaya kehadiran pemain-pemain
ini jika dapat direalisasikan akan membantu Melaka United muncul antara
pasukan terbaik terbaik.
“Kami mahu bersaing dalam
kelompok atas," katanya lagi.
Tarikh lahir: 21 Januari, 1981
Tempat lahir: Tanjong Karang,
Selangor
Posisi: Penyerang, tengah
Tinggi: 1.74 meter
Gaji bersama JDT: RM100,000
sebulan
Pasukan
2001-2013: Selangor
2014-2016: Johor Darul Ta’zim
MOHD. AMRI YAHYAH
SUMBER-- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-wak-am-8217-hampiri-mu-1.418576#sthash.rMFMtPm2.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan