Isnin, 27 Mac 2017

Amri merindui sentuhan perdana

ARKIB : 20/01/2003
Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN
BINTANG Selangor, Amri Yahyah terkilan kerana hanya akan menjadi penonton ketika aksi bola sepak tempatan bakal menyingkap tirainya kira-kira tiga minggu lagi.

Ini kerana anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu masih belum pulih daripada kecederaan betis kiri yang dialami dalam satu kemalangan jalan raya November tahun lalu.

Amri, 22, jelas begitu kecewa kerana terpaksa berehat panjang dan terlepas beberapa perlawanan awal Liga Malaysia termasuk Piala Sumbangsih bertemu Pulau Pinang 9 Februari depan.

``Saya teringin untuk bermain dalam perlawanan itu (Piala Sumbangsih) tetapi apakan daya saya masih cedera,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, kecederaan itu juga meragut impian Amri untuk menyarung jersi kebangsaan buat pertama kali selepas dipanggil bagi latihan pasukan negara dalam Piala Tiger di Singapura, Disember lalu.

Menurut pemain bertubuh kecil itu dia masih terasa sakit pada betis kirinya dan terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.

``Sudah hampir dua bulan saya cuma duduk di rumah dan setiap kali cuba menggerakkan kaki, saya rasa sakit pada bahagian betis,'' ujarnya yang turut mendapatkan rawatan tradisional bagi merawat kecederaan tersebut.

Jelasnya, berdasarkan perkiraan doktor pakar, dia terpaksa menunggu sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan itu.

Ini bermakna Amri dijangka hanya dapat bermain semula pada Mei atau Jun depan.

Tempoh rehat yang panjang tanpa sebarang latihan fizikal pasti menyukarkannya merebut semula tempat dalam kesebelasan pasukan Red Giants.

Hakikat ini disedari Amri yang mengakui tidak akan diberi tempat secara automatik dan perlu menunjukkan aksi terbaik apabila sembuh kelak, biarpun dijulang sebagai wira Selangor musim lalu.

``Sudah tentu saya terpaksa berusaha lebih gigih untuk mendapatkan tempat dalam pasukan Selangor.

``Pemain-pemain lain sudah bersedia sedangkan saya ketika itu baru mahu memulakan aksi,'' katanya yang membantu Selangor menjulang Piala Malaysia kali ke-29 musim lalu, hasil jaringan emas pada minit ke-100 ketika menewaskan Sabah 1-0.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4cW20HGLs

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 25 Mac 2017

FAM tidak abaikan Amri



ARKIB : 16/11/2002
MOHD. AMRI YAHYAH selamat menjalani pembedahan untuk memasukkan besi ke dalam kaki kirinya yang patah dan masih menerima rawatan rapi di Pusat Perubatan Subang Jaya. Amri turut ditemani dua abangnya selepas dibedah semalam. - Gambar Abd. Rahman Saleh.

Oleh Johari Shawal dan Mohd. Taufek Razak
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membela nasib Mohd. Amri Yahyah yang terbabit dalam nahas jalan raya sehingga mengakibatkan kaki kirinya patah ketika dalam perjalanan pulang ke Wisma FAM, Kelana Jaya, kelmarin.

Naib Presiden FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan penuh polis mengenai insiden itu sebelum memutuskan sebarang pampasan kepada pemain tengah Selangor itu.

Katanya, setiap pemain kebangsaan di bawah FAM mempunyai polisi insurans yang melindungi mereka daripada sebarang kecederaan akibat kemalangan.

``Amri seorang pemain yang bagus dan mempunyai masa depan yang cerah dalam bola sepak. Oleh itu kita tidak akan membiarkan nasibnya terabai,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Amri, yang menjaringkan gol kemenangan Selangor semasa perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Sabah, 2 November lalu, terbabit dalam kemalangan di Glenmarie, Shah Alam.

Pemain berusia 21 tahun itu dikatakan dirempuh oleh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan pulang ke Wisma FAM, Kelana Jaya selepas membeli juadah berbuka puasa.

Amri merupakan anggota pelatih skuad kebangsaan yang sedang membuat persiapan menghadapi Piala Tiger di Singapura, bulan depan.

Dr. Ibrahim berkata, (Setiausaha Agung FAM) Datuk Dell Akbar Khan telah pun diarahkan meneliti kes kemalangan tersebut sebelum FAM mengambil tindakan selanjutnya.

``Buat masa ini, FAM akan menanggung semua perbelanjaan perubatan Amri di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC),'' ujarnya.

Dr. Ibrahim bersama Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Dell dan Penolong Setiausaha FAM, Datuk Yap Nyim Keong turut melawat Amri yang dirawat di SJMC, petang semalam.

Tengku Abdullah turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada Amri.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad melahirkan rasa sedih dengan insiden yang menimpa Amri.

``Dia merupakan antara tonggak utama Selangor dan nasib yang menimpanya turut dirasai oleh seluruh pasukan dan peminat Selangor.

``Pemain Selangor juga mempunyai polisi insurans tetapi dia kini di bawah pengurusan FAM dan bagi saya FAM lebih bertanggungjawab mengenai apa sahaja yang berlaku ke atas pemain dalam skuad kebangsaan,'' katanya.

Mokhtar menambah, keputusan siasatan polis mengenai kemalangan itu juga memainkan peranan sama ada dia perlu dibayar pampasan atau sebaliknya.

``Hasil siasatan polis akan menentukan sama ada kesalahan itu berpunca daripada Amri sendiri atau kecuaian pemandu lori,'' katanya.

Dalam pada itu Mokhtar berkata, jika kecederaan yang dialami Amri kekal, FAM perlu bertanggungjawab berhubung pampasan ke atas pemain itu.

Amri dijangka tidak dapat beraksi untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan selepas pembedahan itu.

Ini bermakna dia tidak akan mendapat tempat dalam skuad kebangsaan ke Piala Tiger dan terlepas beberapa perlawanan penting membabitkan Selangor dalam Liga Malaysia termasuk perlawanan Sumbangsih, Februari depan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cOvTK9xh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Amri patah kaki



ARKIB : 15/11/2002
Oleh Johari Shawal
BINTANG Selangor, Mohd. Amri Yahyah yang menjaringkan gol emas pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Sabah awal bulan ini, ditimpa malang apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya di Shah Alam, semalam.

Kejadian itu mengakibatkan kaki kiri pemain tengah Selangor itu patah dan dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) untuk dibedah.

Pemain berusia 21 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke Wisma FAM, Kelana Jaya selepas membeli juadah berbuka puasa apabila motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori di Glenmarie, Shah Alam.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin ketika dihubungi berkata, Amri terpaksa dibedah untuk memasukkan besi dalam kakinya.

``Dia dikatakan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan. Lori itu dikatakan terbabas ke arah laluan Amri sebelum merempuh pemain itu.

``Amri kini sedang dibedah di SJMC (10 malam semalam). Pembedahan dikatakan mengambil masa dua jam,'' katanya yang turut berada di pusat perubatan berkenaan.

Sebaik mendengar khabar malang itu, beberapa pegawai FAS dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hadir menziarahi Amri sebelum pemain itu dibedah.

Antaranya Naib Presiden FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad, fisioterapi FAM, Roney Yeoh dan keluarga serta sahabat Amri.

Amri adalah antara pemain yang dipanggil oleh jurulatih kebangsaan, Allan Harris untuk latihan pasukan negara yang bakal menghadapi Piala Tiger di Singapura, Disember ini.

Kejadian malang itu sekali gus memusnahkan impian Amri untuk menyarung jersi kebangsaan buat pertama kali.

Dalam Piala Tiger Disember ini, pasukan negara diletakkan satu kumpulan dengan Thailand, Laos dan tuan rumah, Singapura.

Anak kelahiran Tanjung Karang itu menjaringkan gol emas pada minit ke-100 untuk membantu Selangor menjulang Piala Malaysia buat kali ke-29, menewaskan Sabah 1-0, 2 November lalu.

Sebelum itu kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa penuh permainan sebenar.

Hamidin berkata, Amri bukan sahaja terlepas peluang untuk berkhidmat untuk negara tetapi tidak akan beraksi untuk Selangor apabila musim baru Liga Malaysia 2003 Februari depan.

``Doktor di SJMC berkata, Amri perlu berehat selama kira-kira enam bulan selepas pembedahan itu,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cOsD7Hoa
© Utusan Melayu (M) Bhd