Sabtu, 6 Mei 2017

Bicskei pening cari calon pengganti Amri

ARKIB : 12/01/2005
JURULATIH bola sepak kebangsaan, Bertalan Bicskei kini berada dalam dilema untuk menentukan siapa calon paling layak mengisi tempat Amri Yahyah bergandingan dengan Muhammad Khalid Jamlus di bahagian serangan.
Amri digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning kedua dan secara automatik tidak dapat diturunkan dalam aksi penting skuad kebangsaan bertemu Myanmar dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Tiger di Stadium Jalan Besar Singapura, Sabtu ini.
Buat Bicskei tempoh lima hari mengendali sesi latihan di padang Wisma FAM jelas belum cukup untuk menamakan calon paling sesuai mengisi tempat Amri.
Di benak fikiran Bicskei tiga calon yang menjadi pilihan iaitu Mohd. Nor Ismail, Liew Kit Kong dan Mohd. Fadzli Saari.
``Ketiga-tiga pemain ini mempunyai kelebihan tersendiri dan mempunyai reputasi jika diturunkan bergandingan dengan Khalid.
``Apa pun saya masih memerlukan masa sekurang-kurangnya dua hari sebelum perlawanan menentang Myanmar untuk menentukan pengganti tempat Amri,'' ujarnya ketika ditemui sejurus tamat sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Memburu
Bicskei menegaskan beliau perlu memilih calon terbaik memandangkan skuad kebangsaan bertekad untuk memburu tempat ketiga.
Ujarnya, kelibat Mohd. Nor dan Fadzli sering diturunkan sebagai pemain gantian sejak daripada perlawanan peringkat kumpulan lagi.
Begitu pun jurulatih dari Hungary itu jelas terpikat dengan prestasi semasa, Mohd. Nor yang disifatkan calon paling layak mengisi tempat tersebut.
``Sewaktu latihan Mohd. Nor menunjukkan kesungguhan dan sewaktu diturunkan dia juga memberikan persembahan terbaik,'' katanya.
Mengenai Kit Kong pula kata jurulatih itu, hanya jika keadaan memaksa dia membuat rombakan untuk meletakkan pemain itu di bahagian serangan daripada posisi awal di sayap.
Kebolehan Kit Kong katanya, tidak dinafikan kerana pemain yang akan mewakili Kedah musim ini berkebolehan bermain di bahagian serangan.
``Dia juga mampu mewujudkan persefahaman yang baik dengan Khalid kerana mereka sebelum ini bermain dengan pasukan Perak,'' ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan