Isnin, 29 Mei 2017

Selangor ubah formasi untuk Amri dan Andik



Khamis, 25 Mei 2017 @ 6:44 PM
Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my
 
JURULATIH Selangor, P. Maniam. - Foto Luqman Hakim zubir KUALA LUMPUR: Selangor sedia 'mengorbankan' formasi 3-4-3 yang menjadi kegemaran mereka musim ini bagi menyerlahkan potensi dua pemain menyerang mereka, Amri Yahyah dan juga Andik Vermansyah.

      Pengendali The Red Giants, P Maniam mengakui dua pemain terbabit yang diturunkan pada aksi bertemu Pahang dilihat tidak begitu efektif dalam formasi itu sekali gus menyebabkan dia perlu merombak formasi yang sesuai bagi menghasilkan keputusan yang lebih positif selepas ini.

      "Saya berpuas hati dengan sumbangan dua pemain itu namun jelas mereka bergelut dengan formasi yang sudah kita terapkan daripada awal musim ini. Untuk itu, mereka perlu bekerja keras untuk segera menyesuaikan diri dengan formasi utama ini. "Bagaimanapun, kehadiran mereka memberikan saya lebih pilihan untuk menggunakan formasi yang berbeza.

      Mereka berdua memiliki kelebihan beraksi di bahagian sayap jadi mungkin saya boleh menerapkan sistem 4-2-3-1 atau 4-4-2 bergantung kepada kesesuaian dan perlawanan yang dihadapi. "Dengan tempoh rehat sebulan ini, saya yakin mereka dapat menyesuaikan diri dan sedikit perubahan akan dilakukan untuk kita kembali meraih keputusan positif selepas rehat nanti," katanya pada sidang media di sini.

Pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, juara Piala Malaysia 2015 itu menerima kekalahan keempat dalam liga musim ini oleh skuad Tok Gajah apabila tumbang 2-0 hasil jaringan lewat permainan oleh penyerang import Brazil, Matheus Alves. Mengulas lanjut kad merah yang dilayangkan kepada pemain tengahnya, Abdul Halim Zainal sehingga merencatkan semangat Selangor untuk bangkit, Maniam dilihat tidak bersetuju dengan keputusan itu namun menerima keputusan yang sudah dibuat oleh pengadil perlawanan.

"Saya lihat kesalahan itu sepatutnya dihukum dengan layangan kad kuning. Ia bukanlah satu terjahan yang keras dan kad kuning sudah memadai. "Tetapi pengadil sudah membuat keputusan dan kita perlu menerima keputusan itu. Namun ia bukanlah alasan untuk kita kerana kita juga gagal memperagakan aksi yang terbaik," katanya.

SUMBERSelanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/286464

Tiada ulasan:

Catat Ulasan