ARKIB : 09/12/2004
Oleh AMRAN MULUP dan JOHARI
SHAWAL
KETUA pasukan kebangsaan, Rosdi
Talib (kiri) dicabar pemain Timor Leste, Antonio Ximes dalam saingan Piala
Tiger di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. Malaysia
menang 5-0. - Gambar AFP.
SEPERTI yang diramalkan skuad
bola sepak kebangsaan tidak menghadapi masalah untuk mengukir kemenangan
pertama apabila membelasah pendatang baru, Timor Leste 5-0 dalam perlawanan
pembukaan Kumpulan B Kejohanan Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil,
malam tadi.
Kemenangan berpesta gol
sememangnya sudah diduga dengan penguasaan penuh barisan pemain kebangsaan
menguasai pentas saingan sejak dari babak awal bermula.
Kemenangan yang dicari ini
bakal menjadi penyuntik semangat buat anak didik jurulatih dari Hungary,
Bertalan Bicskei dalam usaha untuk memburu salah satu tempat ke separuh akhir
apabila lagi berdepan dengan kekentalan Myanmar dan Thailand selepas ini.
Begitupun pujian seharusnya
diberikan kepada Timor Leste yang membuat penampilan pertama mereka di
peringkat antarabangsa dengan aksi menarik.
Bagaimanapun, Timor Leste
pincang apabila terpaksa bermain dengan sepuluh orang selepas pemainnya,
Claudino Mesquita dilayangkan kad merah oleh pengadil, Lazar Subash Anthony
dari Singapura kerana mengkasari Amri pada minit ke-73.
Dua gol peribadi menerusi
penyerang Selangor, Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-47 dan minit ke-83 sebelum
disusuli oleh jaringan Liew Kit Kong (m-28), Mohd. Fadzli Saari (m-66) dan
Muhammad Shukor Adan (m-85) sudah cukup buat skuad Malaysia mengutip tiga mata
berharga.
Seawal minit ketiga Malaysia
menguji benteng pertahanan Timor Leste yang dikemudi pemain kelab Divisyen Dua
Portugal, Alfredo Manuel namun sepakan kencang penyerang Perak, Muhammad Khalid
Jamlus meliar keluar.
Dua minit selepas itu Khalid
hampa lagi untuk memecah kebuntuan jaringan gol hantaran jauh ketua pasukan
Rosdi Talib di dadanya namun dia gagal melakukan sepakan setelah diselamatkan
benteng pertahanan Timor Leste.
Serangan bertali arus
berterusan ketika pergerakan lawan tidak teratur dengan asakan pemain Malaysia
giliran Amri Yahyah pula hampa sepakannya dari jarak 25 meter melewati palang
gol pada minit ke-11.
Begitupun Timor Leste
hampir-hampir meledakkan jaringan awal menerusi serangan mengejut dengan
perancang utama, Emilio Ribeiro Da Silva yang bijak melorongkan bola namun
penyerangnya, Antonio Ximenes melepaskan rembatan liar tidak menepati sasaran
sekalipun berdepan dengan penjaga gol Malaysia, Mohamad Syamsuri Mustafa pada
minit ke-14.
Gol yang dicari akhirnya
menyusul pada minit ke-28 hasil sepakan jauh pemain tengah, Chan Wing Hoong
tepat ke arah Liew Kit Kong yang melonjakkan diri untuk menanduk kencang
menggegar jaring menewaskan Leong.
Dua minit babak kedua
berlangsung gol kedua skuad kebangsaan menyusul menerusi gerakan solo Muhammad
Shukor Adan melintangkan bola mudah ditolak masuk oleh Amri.
Pada minit ke-66 pula, giliran
Mohd. Fadzli Saari memahatkan nama sebagai penjaring gol ketiga skuad
kebangsaan apabila dia mudah menolak masuk hantaran Norhafiz Misbah.
Pada minit ke-76, Timor Leste
sepatutnya merapatkan jurang peluang terbaik milik Ximenes yang mengelecek
Mohamad Syamsuri tetapi menyepak mengenai tiang gol ketika pintu gol Malaysia
sudah terbuka.
Skuad kebangsaan menambah gol
keempat pada minit ke-83 menerusi jaringan Amri yang merupakan gol peribadi
kedua pemain Selangor itu
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4g6VJxOep
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan