Ahad, 25 Disember 2016

Aksi sulung Amri bersama MU

SABTU, 24 DISEMBER 2016 @ 11:07 AM
Oleh Nazri Abu Bakar bhsukan@bh.com.my
 
PENYERANG sensasi Melaka United (MU) Amri Yahyah. - Foto Osman Adnan MELAKA: Penyerang sensasi Melaka United (MU) Amri Yahyah bakal beraksi buat pertama kali untuk skuad terbabit berdepan PKNP FC pada aksi persahabatan pra musim di Stadium Hang Tuah petang ini. Jurulatih MU, Eric Willams berkata, pemain itu akan diberi peluang untuk penampilan pertamanya bersama pasukan berkenaan selepas menyertai skuad Hijau Putih Selasa lalu.

Menurut Williams, dia mungkin menurunkan Amri pada babak untuk bergandingan dengan Sergio Aguero dan Ilja Spasojevic bagi memantapkan persembahan pasukan, namun kesemuanya terletak kepada situasi terakhir menjelang perlawanan.

Kehadiran Amri dengan aksi terbaiknya amat penting dalam menyemarakkan sokongan peminat kepada pasukan berkenaan selain pastinya penyokong amat teruja untuk melihat dia beraksi. Williams juga bercadang menguji semua pemainnya bagi menilai prestasi dan kemampuan masing-masing berikutan terdapat pemain tidak diturunkan ketika aksi persahabatan pertama bertemu FELCRA FC di gelanggang sama sebelum ini.

 "Saya juga akan menggabungkan pemain dari kedua-dua babak perlawanan ketika berdepan FELCRA FC pada aksi persahabatan sebelum ini, di mana pada aksi terbabit saya menurunkan kesebelasan berbeza pada setiap 45 minit," kata Williams.

"Apa yang saya harapkan adalah pemain-pemain mampu menterjemahkan apa yang sudah direncana pada setiap sesi latihan. Malah saya berkeyakinan mereka mampu melakukan yang terbaik." Perlawanan berkenaan dilihat sebagai kesempatan terbaik buat Williams mengenalpasti kesebelasan utama menjelang saingan Liga Malaysia 2017.

Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/226817

Sabtu, 24 Disember 2016

Bisa Amri ditagih

 
SKUAD Harimau Malaysia giat menjalani latihan menjelang perlawanan persahabatan menentang Indonesia.

Petaling Jaya: Jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee percaya penyerang berpengalaman Amri Yahyah masih mampu bertahan untuk beraksi di peringkat antarabangsa selepas melantik pemain berusia 35 tahun itu sebagai kapten.

Selepas Safiq Rahim mengumumkan persaraan daripada mewakili skuad kebangsaan Julai lalu, kini tugas memakai lilitan di lengan diserahkan kepada rakan sepasukannya di Johor Darul Ta’zim (Johor DT) iaitu Amri.

Bagaimanapun, dengan usianya yang semakin meningkat, timbul kebimbangan kemungkinan pemain kelahiran Tanjong Karang, Selangor itu akan turut mengikut jejak langkah Safiq serta Aidil Zafuan Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal yang juga dari kelab sama.


Bagaimanapun, Kim Swee yang mengesahkan mengadakan perbincangan dengan pengurus pasukan Datuk Hamidin Mohd Amin dalam membuat keputusan pelantikan itu percaya Amri mampu untuk terus kekal konsisten bersama skuad kebangsaan.

“Kita tahu Amri pemain senior yang cukup konsisten dengan pasukan kebangsaan dan sebagai pemain senior dia juga menunjukkan ciri sebagai ketua. Ini penting kerana ramai pemain muda dalam skuad kebangsaan kali ini.

“Sebelum ini juga Amri pernah menjadi ketua pasukan apabila Safiq tak bermain ketika bertemu Timor Leste (perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019) jadi saya tak nampak masalah besar kerana Amri adalah idola kepada sesetengah pemain,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Kim Swee turut mengumumkan pemain tengah dari Kedah Baddrol Bakhtiar dan penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat dilantik sebagai penolong ketua pasukan.

Dengan pelantikan itu, Amri akan memimpin pasukan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September ini.

“Walaupun kita nampak Hazwan (Bakri) selalu menjaringkan gol kebelakangan ini tapi Amri juga penyerang konsisten yang menjaringkan gol walaupun bermain untuk 20 minit atau 15 minit.

“Saya pasti, jika prestasi dia (Amri) konsisten, dia akan terus dipanggil mewakili skuad kebangsaan,” jelas Kim Swee yang kini giat mengendalikan latihan pusat skuad kebangsaan sejak Isnin lalu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:22 AM

Amri kapten Harimau Malaysia

 
AMRI (kiri) ketika sesi latihan di padang Wisma FAM Kelana Jaya, kelmarin. FOTO Osman Adnan
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Penyerang berpengalaman, Mohd Amri Yahyah dilantik sebagai kapten Harimau Malaysia bagi menggantikan Safiq Rahim yang mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa pada Julai lalu.

Pelantikan itu diumumkan oleh pengendali kebangsaan Datuk Ong Kim Swee, hari ini selepas mengadakan perbincangan bersama pengurus pasukan, Datuk Hamidin Mohd Amin.


"Kami bersetuju untuk melantik Amri sebagai kapten kerana dia pemain senior yang konsisten bersama skuad kebangsaan.

"Dia seorang pemain yang memiliki ciri kepimpinan dan boleh membimbing ramai pemain muda dalam skuad kali ini," katanya.

Amri, 35, dari kelab Johor Darul Ta'zim (Johor DT) sebelum ini pernah menjadi kapten ketika ketiadaan Safiq yang mengalami kecederaan.

Kim Swee turut mengesahkan pemain tengah, Baddrol Bakhtiar dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat akan menjadi penolong kapten pasukan.

Skuad kebangsaan kini menjalani latihan pusat bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2016 @ 3:31 PM


Khamis, 22 Disember 2016

Amri tinggalkan JDT, sertai Melaka United

SABTU, 10 DISEMBER 2016 @ 1:09 PM
Amri tinggalkan JDT, sertai Melaka United
Oleh Nazri Abu Bakar bhsukan@bh.com.my GAMBAR fail, Amri Yahyah selaku kapten pasukan negara ditembual petugas media selepas gagal melepasi peringkat kumpulan B Piala AFF 2016 untuk peringkat separuh akhir pada 27 November lalu. - Foto Osman Adnan

MELAKA: Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan kapten Harimau Malaysia, Amri Yahyah bakal menyarung jersi Melaka United bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan perkembangan itu di sini, sebentar tadi.

"Ya, dia akan menyertai Melaka United. Dan keputusan muktamad mengenainya akan diselesaikan Isnin ini," katanya kepada BH Online. "Memang kami tiada perancangan awal untuk membawanya masuk, namun terdapat penaja yang ingin menawarkan dana mendapatkannya. Sebab itu kami segera mengusahakannya,". Melaka United adalah juara Liga Perdana musim ini dan turut merangkul gelaran Piala FAM musim lalu.


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/222292

Amri Yahyah bukan `kuda tua'

 
KAPTEN pasukan, Amri Yahyah. - Foto Osman Adnan MELAKA: Melaka United tidak melihat Mohd Amri Yahyah sebagai 'kuda tua' sebaliknya ibarat 'kuda gagah berani' kerana mampu mengekalkan prestasi mantap di sebalik usianya semakin meningkat. Pengurus pasukan Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata di sebalik usia 35 tahun, kapten Harimau Malaysia itu mempunyai prestasi yang lebih baik daripada ramai pemain muda lain.

Katanya, dia akan memberi sengat kepada jentera serangan pasukan itu untuk bersaing dalam Liga Super musim depan. "Selain itu, kehadiran Amri juga akan memanfaatkan usaha Melaka United membangunkan pemain muda, yang mana pemain muda kami akan dapat menimba ilmu daripada pengalaman luas beliau.

"Melaka United mengalu-alukan kedatangan beliau kerana kami baru naik ke Liga Super. Oleh itu kedatangan beliau akan banyak membantu Melaka United," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. Semalam sebuah akhbar tabloid melaporkan Melaka United bakal menjadi destinasi untuk 'kuda tua', yang merujuk kepada Mohd Amri, bagi saingan musim depan.

Dilaporkan sebelum ini kedua-dua pihak, iaitu Melaka United dan Mohd Amri, telah mencapai kata sepakat untuk bekas penyerang Johor Darul Ta'zim itu menyertai skuad Sang Kancil dan difahamkan sumber-Mohd Amri akan menandatangani kontrak esok. - BERNAMA


Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/224144

Selasa, 20 Disember 2016

Melaka United bentuk kombinasi trio serangan berbisa

18 Disember 2016 12:54 PM
Bentuk trio serangan berbisa
Bentuk trio serangan berbisa
TIMBALAN PRESIDEN Melaka United, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi; Presiden Melaka United dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ir. Idris Haron; Mohd. Amri Yahyah dan penaja utama, Ketua Pegawai Eksekutif Mamee Double Decker, Tan Sri Pang Tee Chew bergambar selepas sidang akhbar majlis menandatangani kontrak Amri Yahyah bersama Melaka United di Hotel Sama Sama, KLIA kelmarin. - UTUSAN ONLINE/AMIR KHALID
MELAKA 18 Dis. - Melaka United sedang membentuk tiga penyerang iaitu Ilija Spasojevic, Mohd. Amri Yahyah dan Sergio Aguero sebagai jentera serangan berbisa mereka dalam kempen Liga Super musim depan.
Ketua jurulatih Melaka United, Eric Williams berkata, beliau telah pun menggariskan perancangan untuk trio itu, berkisar mengenai serangan serta kedudukan nombor 10, dan akan melaksanakannya selepas mereka menjalani latihan bersama-sama.
"Apa yang saya harapkan ialah untuk membina kombinasi yang sempurna antara ketiga-tiga mereka dan saya juga amat berharap mereka boleh bermain dalam kedudukan yang berbeza. Saya juga sedang mencari pemain nombor 10 sebagai penyerang kedua.
"Tetapi pada masa ini, saya hanya mempunyai rancangan, mereka masih lagi belum bermain bersama-sama. Kita akan lihat bagaimana keadaannya," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan persahabatan yang menyaksikan Melaka United menewaskan Felcra FC, 2-0, semalam.
Kapten Melaka United, Spasojevic atau lebih dikenali sebagai 'Spaso' dari Montenegro adalah penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 24 gol, membolehkan skuad Hang Tuah merangkul gelaran juara Liga Perdana 2016.
Mohd. Amri yang juga Kapten Harimau Malaysia, yang sebelum ini mewakili Johor Darul Ta'zim merupakan pemain baharu skuad Sang Kancil begitu juga Aguero dari Argentina, yang sebelum ini bermain untuk Kelab FC Tatabanya, Hungary.
Spasojevic telah menjalani latihan dengan pasukan Hang Tuah, Mohd. Amri akan melaporkan diri untuk sesi latihan pada Selasa ini manakala Aguero masih dalam kecederaan.
Ditanya tentang strateginya untuk pasukan itu, Williams berkata, beliau akan menggunakan kaedah hantaran bola pendek dan 'through pass', berbanding hantaran bola tinggi yang sering dipraktikkan pemain negara dan kelab di Malaysia.
"Saya mahu mengubah gaya permainan mereka tetapi malangnya jika pemain gagal mengawal bola dan menempatkan diri mereka di kedudukan yang betul, strategi itu adalah sia-sia, kita perlu membina kekuatan pemain.
"Kami telah jalani latihan hantaran bola, gaya lolos dan menempatkan kedudukan (pemain)... Saya mahu melihatnya di atas padang tetapi malam ini tidak banyak yang dapat saya lihat, mungkin tiga atau empat hantaran yang cantik dan kami kehilangan bola," katanya.
Warga Inggeris yang juga pemegang pasport Australia itu berkata, kecergasan satu lagi aspek penting dan beliau sedang berusaha untuk memperbaikinya dan ia sangat-sangat diperlukan untuk sesuaikan dengan gaya permainan yang dirangkanya.
"Pemain tidak akan bermain melainkan jika mereka cergas, saya faham masih terlalu awal tetapi pemain tidak cukup cergas untuk bermain selama 30 minit apatah lagi 45 minit. Jika mereka tidak cukup cergas bagaimana mereka mahu mendapatkan bola. Jadi saya sedikit kecewa tetapi ia adalah sesuatu yang perlu kami atasi," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, seperti kelab bola sepak lain di dunia, penyokong adalah aspek paling penting bagi sesebuah kelab bola sepak yang hebat dan beliau berharap penyokong Melaka United akan terus bersama-sama skuad itu semasa susah dan senang. - BERNAMA

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/melaka-united-bentuk-kombinasi-trio-serangan-berbisa-1.421270#sthash.dTU5agSU.dpuf

Sabtu, 10 Disember 2016

‘Wak Am’ hampiri MU

R. Gopinathan juga dalam perjalanan ke Melaka United
NURSURAYA ZULKIFLI  |  11 Disember 2016 12:12 AM
MELAKA 10 Dis. - Kapten Harimau Malaysia, Amri Yahyah semakin hampir untuk menyarung jersi Melaka United (MU) musim depan, namun keputusan muk­tamad hanya diketahui Isnin ini apabila rundingan akhir di antara kedua-dua pihak dijalankan.
Penyerang berusia 35 tahun itu yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Wak Am’ dikaitkan de­ngan perpindahan ke Melaka sejak beberapa minggu lalu.
Malah, skuad Sang Kancil tidak pernah menyembunyikan minat untuk menggunakan ­khidmat penyerang berpengalaman tersebut, apatah lagi mereka bakal bersaing dalam Liga Super musim depan dan perlu me­nguatkan pasukan.
Namun, apa yang menjadi halangan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) untuk membawa Amri atau mana-mana pemain berstatus bintang selama ini adalah kurangnya dana untuk berbelanja besar.
Bagaimanapun pengurus pa­sukan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, terdapat beberapa penaja yang menyatakan ke­sediaan untuk membantu MUSA membayar separuh daripada gaji Amri se­andainya bekas bintang Selangor itu menyertai Melaka United.
"Ada pihak yang mewakili Amri telah bertemu saya untuk berbincang mengenai perkara ini dan saya telah bersetuju untuk berjumpa beliau bagi berbincang dengan lebih lanjut.
"Sudah tentu jika ada pemain berpengalaman dan berstatus bintang menyatakan hasrat untuk menyertai pasukan, kita berasa gembira.
“Namun perkara ini juga perlu diteliti sedalamnya kerana ia me­libatkan beberapa aspek. Melaka United mempunyai kekangan dari segi kewangan.
"Kita akan bincang dengan Amri dan keputusan mengenainya akan diketahui nanti selepas kata sepakat dicapai seterusnya barulah kita bincang lebih lanjut me­ngenai gaji," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas melawat projek Mural @ Learning Zone di Stadium Hang Jebat, di sini hari ini.
Sebelum ini, desas-desus turut mengaitkan Amri akan pulang ke pangkuan Selangor dalam Liga Malaysia musim depan, namun Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) difahamkan keberatan untuk memenuhi gajinya yang agak tinggi.
Mohd. Yusoff tidak mendedahkan berapa gaji yang ditawarkan kepada Amri untuk membolehkannya beraksi bersama skuad Sang Kancil, namun Mingguan Malaysia difahamkan gaji pemain kebangsaan itu mencecah RM100,000 sebulan di Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dalam pada itu, Mohd. Yusoff yang juga Timbalan Presiden MUSA berkata, seorang lagi pemain berstatus bintang turut berada dalam radar Melaka United iaitu pemain sayap Selangor, R. Gopinathan.
Beliau berkata, Melaka United tidak mahu terlalu ghairah ber­belanja besar untuk mendapatkan pemain-pemain ternama, namun seperti Amri kesediaan pihak penaja yang mahu membantu pasukan mendorong mereka menawarkan tempat kepada pemain-pemain tersebut.
"Walau apa pun kita akan lihat keputusan muktamad mereka nanti dan kita percaya kehadiran pemain-pemain ini jika dapat direalisasikan akan membantu Me­laka United muncul antara pasukan terbaik terbaik.
“Kami mahu bersaing dalam kelompok atas," katanya lagi.
Tarikh lahir: 21 Januari, 1981
Tempat lahir: Tanjong Karang, Selangor
Posisi: Penyerang, tengah
Tinggi: 1.74 meter
Gaji bersama JDT: RM100,000 sebulan
Pasukan
2001-2013: Selangor
2014-2016: Johor Darul Ta’zim
MOHD. AMRI YAHYAH

SUMBER-- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-wak-am-8217-hampiri-mu-1.418576#sthash.rMFMtPm2.dpuf

Amri Yahyah dalam radar MU

NURSURAYA ZULKIFLI  |  10 Disember 2016 3:56 PM
 Amri Yahyah
Amri Yahyah
Pemain Kebangsaan, Mohd Amri Yahyah (depan) menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaysia. - UTUSAN ONLINE/Abdul Razak Latif
MELAKA 11 Dis. - Kapten pasukan kebangsaan, Amri Yahyah hampir pasti menyertai Melaka United bagi memperkukuhkan pasukan itu dalam mengharungi saingan Liga Super musim depan.
Perkara itu disahkan oleh Pengurus pasukan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi yang berkata, penyerang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) itu dijangka bersama skuad Sang Kancil selepas wujud perbincangan antara kedua-dua pihak baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum ini Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat pemain berstatus bintang itu berikutan kekangan dana oleh persatuan terbabit.
"Namun melalui perbincangan dengan beberapa penaja, mereka telah menyatakan persetujuan untuk menampung separuh daripada pembayaran gaji Amri sekiranya beliau bermain dengan Melaka United.
"Perkara ini masih dalam perbincangan dan keputusan mengenainya akan diketahui minggu depan apabila kita memuktamadkannya nanti," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/terkini/amri-yahyah-dalam-radar-mu-1.418503#sthash.mCvW89IH.dpuf

Khamis, 1 Disember 2016

Banyak pertukaran punca aksi Harimau Malaysia terjejas

AHAD, 27 NOVEMBER 2016 @ 7:30 PM
Oleh Mohd Khairie Khalid khairie@bh.com.my SEPANG: 
 
Kapten skuad kebangsaan, Amri Yahyah mengakui banyak pertukaran yang berlaku sebelum sepak mula sebagai antara punca menjejaskan persembahan Harimau Malaysia pada saingan Piala AFF Suzuki 2016 di Yangon. 

Tegasnya, walaupun terdapat 'gangguan' dan percaturan yang serba tidak menjadi, semua pemain beraksi dengan baik serta memberikan komitmen tinggi. "Dari awal lagi kita banyak tukar pemain namun saya tidak mahu salahkan sesiapa. 

Kami sudah berikan komitmen terbaik di sana (Yangon). "Untuk edisi kali ini bagi saya, semua pemain sudah buat yang terbaik untuk pasukan walaupun banyak rintangan sewaktu AFF. "Pertukaran pemain dari awal banyak jejaskan percaturan pasukan. Apa pun saya rasa bangga dengan komitmen tinggi ditunjukkan rakan sepasukan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Yangon, hari ini. 

Ketika disoal adakah AFF kali ini yang terakhir buatnya, Amri berkata, hatinya masih lagi ingin bersama skuad kebangsaan namun ia terpulang kepada sesiapa yang akan memegang jawatan selaku jurulatih. "Hasrat (untuk teruskan bermain dengan pasukan kebangsaan) memang ada tapi terpulang kepada sesiapa yang akan pegang jawatan jurulatih. 

"Selagi diperlukan saya akan bagi yang terbaik. Apa yang membezakan ketika AFF 2010 (anjuran bersama Indonesia dan Vietnam), kita mempunyai pemain yang sudah lama bermain dan beraksi bersama. 

"Tapi edisi kali ini, pemain baru juga bagus, dapat bermain perlawanan besar dan peluang harus terus diberikan kepada mereka," katanya. Semalam, Malaysia gagal ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2016 apabila tewas 0-1 kepada Myanmar di Stadium Thuwunna, sekali gus hanya menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan B selepas hanya meraih satu kemenangan daripada tiga perlawanan. 

KAPTEN pasukan, Amri Yahyah ditembual petugas media sebelum meninggalkan hotel penginapan untuk ke lapangan terbang seterusnya pulang ke tanah air selepas gagal melepasi peringkat kumpulan B Piala AFF 2016 untuk peringkat separuh akhir. - Foto Osman Adnan


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/217474

Ahad, 27 November 2016

Amri minta maaf 
kepada peminat

FADHILUL IZMEL ISHAK MELAPORKAN DARI YANGON  |  28 November 2016 12:04
 Amri YAHYAH bercakap kepada wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa
AMRI YAHYAH bercakap kepada wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sekembalinya dari Yangon semalam.
YANGON 27 Nov. – Ketua pasukan Mohd. Amri Yahyah meminta maaf kepada peminat Harimau Malaysia dan meluahkan rasa kecewanya dengan kegagalan mereka mara ke separuh akhir kejohanan Piala AFF tetapi me­negaskan kegagalan itu tidak akan memaksanya untuk bersara.
Ini kali pertama Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan dalam kejohanan dwitahunan tersebut selepas kalah kepada Myan­mar 1-0 dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B yang berlangsung di sini.
Prestasi Harimau Malaysia dalam kejohanan kali ini nampak goyah sejak perlawanan pertama menentang Kemboja yang menyaksikan Malaysia ketinggalan sebelum akhirnya menang tipis 3-2. Malaysia kemudian tewas 1-0 kepada Vietnam dalam perlawanan kedua.
“Saya mewakili semua pemain mengucapkan terima kasih ba­nyak-banyak kepada peminat yang sudi hadir untuk menyaksikan perlawanan kami sepanjang kejohanan ini berlangsung.
“Jujurnya kami terharu dengan sokongan yang diberikan kerana jarang melihat penyokong hadir ke tempat seperti ini dengan jumlah yang ramai semata-mata mahu menyaksikan persembahan Harimau Malaysia.
“Saya juga mewakili semua pemain ingin memohon maaf kepada penyokong dengan apa yang berlaku sepanjang kejohanan ini berlangsung. Saya berharap peminat dapat mengharunginya dengan hati yang tabah. Kami akan perbaiki lagi corak permainan pada masa depan,” katanya kepada pemberita di hotel penginapan skuad negara.
Amri berkata walaupun kecewa dengan kegagalan mereka tetapi menegaskan keseluruhan anggota pasukan telah berusaha bersungguh-sungguh dan memberikan yang terbaik dalam semua perlawanan yang mereka harungi di sini.
“Saya terharu dengan komitmen semua rakan sepasukan. Mereka tetap tabah dan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi,” katanya.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), yang diuar-uarkan akan kembali menyarung jersi pasukan negerinya Selangor dalam kempen Liga Malaysia tahun depan, merupakan pemain paling tua dalam pasukan pada usia 35 tahun namun kegagalan di Yangon tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyarung jersi negara selagi khidmatnya diperlukan. – UTUSAN
SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/amri-minta-maaf-8232-kepada-peminat-1.413124#sthash.wrp7n9SL.dpuf



Selasa, 22 November 2016

Malaysia lebih kental berbanding Vietnam

23 November 2016 12:13 AM
ONG KIM SWEE (dua dari kiri) bersalaman dengan Nguyeen Huu Thangdalam
ONG KIM SWEE (dua dari kiri) bersalaman dengan Nguyeen Huu Thangdalam sidang akhbar Piala AFF di Yangon, semalam. Turut hadir Amri Yahyah (kiri) dan Le Cong Vinh.
YANGON 22 Nov. – Jurulatih Vietnam, Nguyen Huu Thang tidak menganggap ketiadaan empat tonggak Harimau Malaysia yang bersara pada pertengahan tahun ini memberi kelebihan kepada pasukannya apabila berdepan skuad Datuk Ong Kim Swee itu di Stadium Thuwunna esok.
Huu Thang, bekas pemain Vietnam dari 1996 hingga 2002 sebaliknya percaya, Malaysia, yang turun selaku juara 2010 dan naib juara dua tahun lalu memiliki semangat juang yang tinggi dan itu terbukti apabila mereka bangkit dua kali ketika menumpaskan Kemboja 3-2 dalam aksi pembukaan, Ahad lalu.
“Walaupun empat tonggak Malaysia sudah bersara dari pentas antarabangsa namun mereka tetap pasukan yang sukar.
“Mereka ada pemain yang bagus, malah melihat bagaimana Malaysia bangkit daripada ke­tinggalan dua kali ketika bertemu Kemboja, saya fikir semangat juang mereka lebih bagus berbanding kami,” kata Huu Tang.
Harimau Malaysia sebelum ini menerima tamparan apabila hilang empat tonggak diketuai kapten, Safiq Rahim, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak, S. Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal yang membuat keputusan bersara pada Julai lalu.
Dalam pada itu, Huu Thang berkata, dia turut sependapat dengan Kim Swee bahawa ber­aksi pada pukul 3 petang bukan perkara mudah, namun terpaksa akur kerana jadual perlawanan sudah dibuat.
“Saya setuju dengan Kim Swee bahawa bermain pada pukul 3 petang memang sukar. Jadual sudah pun dibuat jadi kami perlu bersedia secara mental dan fizikal.
“Saya teruja untuk bertemu Malaysia dan mengharapkan keputusan positif menyebelahi kami,” katanya lagi.
Sementara itu kapten Viet­nam, Le Cong Vinh percaya, pasukannya perlu bekerja keras untuk menempatkan diri ke separuh akhir.
“Bertemu Malaysia tidak mudah. Pasukan kami sudah dipersiapkan sebaik yang mungkin dan apa yang boleh kami lakukan esok adalah beraksi dengan strategi sendiri bagi mencari keputusan terbaik,” katanya

SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-lebih-kental-berbanding-vietnam-1.410910#sthash.LyKEcltx.dpuf

Isnin, 21 November 2016

Tak boleh ulangi kesilapan – Amri

21 November 2016 12:26 AM
 MOHD. AMRI YAHYAH (dua dari kiri) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol kemenangan Malaysia d
MOHD. AMRI YAHYAH (dua dari kiri) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol kemenangan Malaysia dalam aksi Piala AFF di Yangon, semalam.
YANGON 20 Nov. – Wira kemena­ngan Harimau Malaysia, Mohd. Amri Yahyah percaya, insiden gol pelik yang dialami dalam pertemuan menentang Kemboja hari ini menjadi ­iktibar buat dia dan rakan-rakan sepasukan.
Kapten Harimau Malaysia itu, yang meledak dua gol untuk membantu pasukan negara menang 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF berkata, dia lega kerana perlawanan berakhir dengan kemenangan milik skuad negara biarpun ia sebenarnya boleh menjadi sebaliknya.
“Syukur kerana kami berjaya mencatat kemenangan hari ini, namun saya fikir kami perlu memperbaiki permainan dan tidak mengulangi kesilapan se­perti itu lagi pada aksi seterusnya.
“Kekeliruan pengadil dan penjaga garisan menyebabkan kami berhenti bermain seketika kerana penjaga garisan sudah mengangkat bendera.
“Kami cuba untuk membantah jaringan tersebut namun pengadil perlawanan memberitahu kedudukan pemain Kemboja tidak ofsaid kerana bola terkena pemain sendiri (Shahrul Saad).
“Kita tidak boleh melakukan kesilapan seperti itu lagi dan apabila kami memperoleh gol kami juga dibolosi,” katanya kepada pemberita di sini selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Amri turut mendedikasi kemenangan tersebut kepada semua peminat bola sepak tempatan.
“Kejayaan ini merupakan hasil doa keluarga, rakan-rakan dan pasukan yang banyak membantu serta semua peminat bola sepak Malaysia. Saya harap kita dapat melangkah ke peringkat separuh akhir,” katanya lagi.
Kata Amri, Chan Vathanka bijak mengambil peluang dalam ­situasi yang menggelirukan ketika meletakkan pasukannya di depan seawal minit ketujuh permainan.
Malaysia dijadual menentang pasukan pilihan dan juara 2008, Vietnam dalam aksi kedua, Rabu ini sebelum bertemu tuan rumah, Myanmar pada Sabtu.
Kata Amri lagi, walaupun tidak memulakan permainan de­ngan aksi yang diharapkan, namun kejayaan mengutip tiga mata penuh cukup melegakan kerana menganggap dua perlawanan berikutnya jauh lebih sukar. – utusan

SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tak-boleh-ulangi-kesilapan-8211-amri-1.410025#sthash.VhIxTQHw.dpuf

Dua gol Amri benam Kemboja

Gol pertama Malaysia menerusi Syazwan Zainon menentang Kemboja. FOTO HM/OSMAN ADNAN
Daripada Aziman Rosdi di Yangon (Myanmar)
aziman@hmetro.com.my

Yangon: Skuad Harimau Malaysia terpaksa mencipta kebangkitan sebelum menundukkan Kemboja 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2016 di Stadium Thuwunna, hari ini.

Kapten Mohd Amri Yahyah muncul wira dengan meledak dua gol pada separuh masa kedua.

Kejayaan meraih tiga mata penuh itu memberi kelegaan buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang bakal berdepan lawan lebih handal Vietnam dan Myanmar selepas ini.

Kim Swee hanya melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding ketika mengalahkan Papua New Guinea 2-1 dalam aksi persahabatan Isnin lalu apabila memasukkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dengan Khairul Azhan Khalid manakala Syazwan Zainon mengambil tempat Zaquan Adha Abd Radzak di posisi sayap kiri.

Malaysia menguasai permainan di awal permainan namun mereka dikejutkan dengan gol kontroversi Kemboja pada minit ke-8 oleh Chan Vathanaka.

Pemain Malaysia membantah gol berkenaan apabila penjaga garisan sudah mengangkat bendera sebagai tanda ofsaid namun pengadil dari Oman Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah mengesahkan jaringan kerana Vathanaka menerima bola sepakan Shahrul Saad.

Bagaimanapun gol itu tidak mematahkan semangat juang Harimau Malaysia yang bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi percubaan menarik Syazwan untuk gol pertamanya di pentas antarabangsa.

Malaysia juara 2010 dan naib juara edisi terakhir 2014 sekali lagi terperangkap dengan perangkap ofsaid sendiri apabila Vathanaka berjaya meloloskan diri sebelum melepaskan rembatan kencang untuk gol kedua pada minit ke-58.

Ketika Harimau Malaysia diambang kekalahan Amri, 35, menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol pada m-68 dan 80 untuk kedudukan 3-2.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 6:36 PM

Amri gesa rakan berjuang habis-habisan

AMRI (tengah) berkata sesuatu kepada Syazwan Zainon.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Yangon: “Saya harap semua pemain akan bermain mati-matian dalam perlawanan esok (hari ini),” kata kapten Harimau Malaysia Mohd Amri Yahya menjelang pertembungan dengan Kemboja.

Menurut pemain berusia 35 tahun itu, kesemua pemain sudah bersedia memulakan misi getir dengan kemenangan pada perlawanan pembukaan cukup penting bagi mencari tiket ke separuh akhir.

“Kita tidak boleh terlalu yakin tapi memerlukan keyakinan untuk mengalahkan Kemboja. Saya berharap semua pemain memberikan komitmen tinggi bagi memastikan kita mendapat keputusan baik dalam perlawanan pertama,” kata Amri ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Di atas kertas sememangnya Kemboja yang layak selaku juara pusingan kelayakan bukan pasukan pilihan dalam saingan Kumpulan B yang turut membabitkan Vietnam dan Myanmar.

Malah kali terakhir Kemboja mengalahkan Malaysia adalah pada 1973 dengan kemenangan 2-0 dalam perlawanan Piala Presiden Korea Selatan di Seoul.

“Kita tak boleh memandang rendah keupayaan Kemboja, mereka sudah meningkat jadi kita kena memberikan aksi terbaik,” kata Amri.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:18 AM

Amri hanya fokus Piala AFF

Enggan ulas kemungkinan kembali ke pangkuan Selangor
FADHILUL IZMEL ISHAK MELAPORKAN DARI YANGON  |  18 November 2016 12:21 AM
Amri Yahyah
Amri Yahyah
Yangon 17 Nov. - Ketua pasukan Harimau Ma­­laysia, Mohd. Amri Yah­yah hanya mahu memberi fokus terhadap misi di Myanmar ketika ini dan bukan hal lain termasuk kariernya di pe­ringkat kelab.
Desas-desus mengatakan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu akan kembali ke pangkuan Selangor, pasukan yang menggilapnya menjadi pemain yang di­sanjung, pada musim depan tetapi Amri ber­­kata ketika ini mentalnya dipersiapkan untuk mengetuai barisan skuad negara menghadapi kem­pen Piala AFF di Yangon.
Amri berkata dia tidak mahu memikirkan masa depannya buat sementara waktu apabila dia sedang bersama skuad kebangsaan yang akan memulakan kempen dalam Piala AFF dengan menentang Kemboja di Stadium Thwunna pada Ahad ini.
Semalam Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata dalam laman Facebook Johor Southern Tigers (JST) bahawa pemain berusia 35 tahun itu bakal kembali ke pangkuan Red Giants yang menawarkan harga RM150,000 untuk mendapatkan Amri.
Pemilik JDT itu juga berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk mendapatkan khidmat Ahmad Hazwan Bakri.
“Saya minta maaf saya tidak boleh membuat sebarang kenya­taan. Saya mahu memberi tumpuan kepada Piala AFF terlebih dahulu. Selepas itu barulah saya akan memikirkan mengenai masa depan saya pada musim hadapan,” katanya kepada Utusan Ma­laysia di Stadium Aung San di mana Harimau Malaysia menjalani latihan hari ini.
Amri turut enggan mendedahkan tempoh tamat kontraknya bersama JDT kerana menyifatkan isu kontrak bersama majikan sesuatu per­­kara yang tidak boleh dikongsi kepada umum.
Mengulas lanjut me­n­genai persiapan skuad kebangsaan menjelang pertemuan dengan Kemboja dalam perlawanan pertama Kumpulan B, Amri berkata dia tidak pernah menentang pasukan tersebut namun mengetahui lawan yang bakal dihadapi menggunakan corak permainan pantas.
“Semua pemain berada dalam keadaan sihat dan kami sedang menyesuaikan diri (dengan cuaca) sebelum menghadapi perlawanan pertama. Bagi saya Kemboja seperti pasukan lain iaitu Myanmar dan Vietnam.
“Apa yang saya tahu mereka bermain laju dengan kami perlu menghalang mereka menerapkan corak taktikal yang mereka kehendaki. Saya tidak pernah ber­aksi menentang Kemboja namun sebelum menghadapi mereka ka­­mi akan menonton rakaman vi­deo terlebih dahulu,” katanya lagi.
Sementara itu, penyerang Se­langor, Hazwan juga enggan me­ngulas mengenai masa depannya bersama Selangor selepas turut dikaitkan bakal berhijrah ke JDT pada musim depan.
“Saya tidak mahu memberi kenyataan sebab saya nak fokus kepada Piala AFF, lagipun saya masih mempunyai kontrak selama setahun bersama Selangor iaitu tamat pada 2017. Saya kena hormati majikan,” katanya. – UTUSAN

SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/amri-hanya-fokus-piala-aff-1.408911#sthash.N0ptgSmD.dpuf

Selasa, 8 November 2016

Amri, Safee kembali ke Selangor?

Amri, Safee ke Selangor?
ROZAIDI ZULKIFLI  |  09 November 2016 12:08 AM
 
KUALA LUMPUR 8 Nov. - Kehangatan urusan mencari pemain untuk memperkuatkan pasukan masing-masing bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) 2017 semakin hangat ketika ini dengan Selangor terus menjadi lubuk utama Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapatkan pemain berkualiti.
Tidak kira pasukan dalam saingan bola sepak Liga Super dan Perdana mahupun Piala FAM, setiap pasukan dikatakan telah menyediakan bajet untuk mendapatkan pemain terbaik bagi memburu kejuaraan musim depan.
Sementara itu, desas-desus kedengaran bahawa Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Safee Mohd. Sali mahu meninggalkan JDT dan kembali menyarung jersi Selangor yang suatu ketika dahulu menaikkan nama mereka sehingga berjaya menggapai kejayaan dimiliki sekarang.
Bagaimanapun, Harimau Selatan yang kali ini menumpukan fokus mereka kepada pemain muda dengan dua pemain Selangor iaitu Ahmad Hazwan Bakri dan Nazmi Faiz Mansor pula akan berhijrah ke kelab juara Liga Super tiga kali berturut-turut itu.
Pahang contohnya dikhabarkan ba­kal berwajah baharu apabila lima pemain yang pernah menyarung jersi kebangsaan bakal menyertai skuad Tok Gajah.
Mereka yang dikaitkan dengan pasukan yang pernah digelar Real Madrid Malaysia itu adalah Ashari Samsudin, Joseph Kalang Tie, Zubir Mohd. Azmi, Muslim Ahmad dan Ahmad Syamim Yahya. Bekas pemain Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Ali Ashfaq dari Maldives juga bakal menguatkan skuad Tok Gajah musim depan.
Dalam pada itu, Melaka United yang pertama kali akan bersaing dalam liga elit negara itu turut mendapatkan beberapa pemain berpengalaman untuk memberi persaingan sengit.
Membantu Kedah menjulang Piala Malaysia dan menabur bakti selama dua musim bersama pasukan Lang Merah, difahamkan Liridon Krasniqi bakal berubah angin dengan menyertai Felda United yang diperkuatkan lagi dengan Mohd. Fakrul Aiman Sidid dan Norshahrul Idlan Talaha.

-SUMBER See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/amri-safee-kembali-ke-selangor-1.405234#sthash.mBUkdohE.dpuf

Selasa, 6 September 2016

Malaysia harap penyokong Indonesia tak agresif

Malaysia harap penyokong Indonesia tak agresif
5 SEPTEMBER 2016
Mohd Amri Yahyah
Mohd Amri Yahyah Mohd Amri Yahyah
SKUAD Harimau Malaysia berharap penyokong Indonesia tidak bertindak agresif ketika menyokong pasukan mereka dalam perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Stadium Manahan di sini esok.

Ketua pasukan Malaysia Mohd Amri Yahyah berkata, walaupun pemain negara bersedia menghadapi tekanan penyokong tuan rumah, mereka tetap mengharapkan tiada tindakan agresif yang boleh mengganggu permainan.

"Kita faham keadaan yang akan dihadapi apabila bermain di gelanggang lawan tetapi janganlah sampai berlaku sesuatu yang tidak diingini sehingga mengganggu permainan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Amri berkata kedua-dua pasukan yang beraksi esok berjanji akan bermain secara persahabatan dan harmonis walaupun mengharapkan kemenangan, berikutan perlawanan itu lebih kepada persiapan menghadapi kempen Piala AFF pada November depan.

"Kita tahu penyokong Indonesia telah lama menunggu perlawanan antarabangsa dan apa yang diharapkan ialah permainan akan berlangsung dengan baik dan aman," katanya lagi.

Beliau berkata skuad Indonesia adalah pasukan yang kuat dan walaupun mereka tidak beraksi di peringkat antarabangsa selama setahun akibat penggantungan, pemain republik itu masih beraksi di liga tempatan negara berkenaan.

Stadium Manahan mampu menampung 25,000 orang dan peminat bola sepak negara itu dijangka membanjiri stadium berkenaan setelah kehausan aksi perlawanan antarabangsa selama setahun.

Sementara itu, ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata walaupun pasukannya mengharapkan kemenangan, apa yang lebih penting baginya ialah mencari keserasian antara pemain.

"Kita baru sahaja menubuhkan skuad ini dan ia adalah ujian untuk melihat keserasian pemain terutamanya apabila bermain di luar negara," katanya.

Kim Swee berkata perlawanan persahabatan itu juga akan membuka ruang kepada beliau untuk memilih pemain yang layak beraksi pada Piala AFF nanti

Ini adalah perlawanan antarabangsa pertama bagi pasukan Indonesia setelah Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) digantung setahun oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana campur tangan kerajaan dalam urusan persatuan itu. – Bernama

SUMBER-SINAR  HARIAN 5 SEPTEMBER 2016

Harap berlangsung aman

 
Amri bersama pasukan berlepas ke Solo untuk menentang Indonesia esok (Selasa). FOTO NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN.

BERNAMA
Solo: Skuad Harimau Malaysia berharap penyokong Indonesia tidak bertindak agresif ketika menyokong pasukan mereka dalam perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Stadium Manahan di sini esok.

Ketua pasukan Malaysia Mohd Amri Yahyah berkata, walaupun pemain negara bersedia menghadapi tekanan penyokong tuan rumah, mereka tetap mengharapkan tiada tindakan agresif yang boleh mengganggu permainan.

"Kita faham keadaan yang akan dihadapi apabila bermain di gelanggang lawan tetapi janganlah sampai berlaku sesuatu yang tidak diingini sehingga mengganggu permainan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Amri berkata kedua-dua pasukan yang beraksi esok berjanji akan bermain secara persahabatan dan harmonis walaupun mengharapkan kemenangan, berikutan perlawanan itu lebih kepada persiapan menghadapi kempen Piala AFF pada November depan.

"Kita tahu penyokong Indonesia telah lama menunggu perlawanan antarabangsa dan apa yang diharapkan ialah permainan akan berlangsung dengan baik dan aman," katanya lagi.

Beliau berkata skuad Indonesia adalah pasukan yang kuat dan walaupun mereka tidak beraksi di peringkat antarabangsa selama setahun akibat penggantungan, pemain republik itu masih beraksi di liga tempatan negara berkenaan.

Stadium Manahan mampu menampung 25,000 orang dan peminat bola sepak negara itu dijangka membanjiri stadium berkenaan setelah kehausan aksi perlawanan antarabangsa selama setahun.

Sementara itu, ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata walaupun pasukannya mengharapkan kemenangan, apa yang lebih penting baginya ialah mencari keserasian antara pemain.

"Kita baru sahaja menubuhkan skuad ini dan ia adalah ujian untuk melihat keserasian pemain terutamanya apabila bermain di luar negara," katanya.

Kim Swee berkata perlawanan persahabatan itu juga akan membuka ruang kepada beliau untuk memilih pemain yang layak beraksi pada Piala AFF nanti.

Ini adalah perlawanan antarabangsa pertama bagi pasukan Indonesia setelah Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) digantung setahun oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana campur tangan kerajaan dalam urusan persatuan itu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 8:51 PM