Selasa, 4 April 2017 @ 8:40 PM
Oleh Nazri Abu Bakar bhsukan@bh.com.my
Amri Yahya. - Foto Muhammad
Zuhairi Zuber MELAKA: Melaka United (MU) mengambil keputusan luar jangkaan
apabila bakal melepaskan penyerang kebangsaan Amri Yahyah kembali ke pasukan
asalnya Selangor, menjelang jendela perpindahan pemain musim ini.
Pengurus pasukan MU, Datuk Wira Mohd Yusoff
Mahadi berkata, walaupun berat membuat keputusan itu, dia bersedia memberi
laluan kepada Amri untuk kembali berbakti bersama The Red Giants.
Menurutnya, penghijrahan pemain yang
mesra digelar Wak Am itu adalah perencanaan tersendiri skuad Hang Tuah bagi
mengharungi baki saingan Liga Super, walaupun mengakui bakal kehilangan
penyerang termahal skuad terbabit.
Katanya, perbincangan lanjut sedang
diatur bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Subahan
Kamal berkaitan perpindahan berkenaan. "Peratusan Amri kembali ke Selangor
amat tinggi, walaupun dia banyak menyumbang kepada kekuatan MU termasuk
membantu kemenangan ke atas Sarawak dan Kelantan di pentas liga dan
mengecewakan PKNS dalam saingan kedua Piala FA.
"Apapun kami juga memiliki
strategi selepas ketiadaannya terutama dalam memastikan penggantinya nanti
lebih berwibawa, jika tidak pasti kami tidak melepaskan Amri," katanya di
Melaka, hari ini.
Sebelum ini, MU membuktikan keazaman
mereka mengharungi musim baharu Liga Super 2017 dengan mendapatkan khidmat
kapten skuad kebangsaan itu yang diikat selama semusim. Amri yang tamat kontrak
bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini, pernah mengakui tawaran diberikan
Melaka United sukar ditolak meskipun pilihan utamanya selepas JDT adalah negeri
kelahirannya, Selangor.
Penyerang itu tetap memberikan yang
terbaik setiap kali diturunkan, walaupun Melaka United kini berada di zon
penyingkiran ke Liga Perdana 2018. Amri pernah menjulang Piala AFC, tiga
kejuaraan Liga Super berturut-turut dan Piala FA bersama JDT, serta dua trofi
Piala Malaysia, dua kejuaraan Liga Super serta tiga Piala FA sepanjang 12 tahun
bersama Selangor
Sumber-Selanjutnya di :
http://www.bharian.com.my/node/267996
Tiada ulasan:
Catat Ulasan