Ahad, 30 April 2017

Malaysia benam Singapura

ARKIB : 02/11/2004
DUA jaringan menerusi Mohd. Khalid Jamlus dan Mohd. Amri Yahya pada babak kedua memastikan kemenangan bergaya Malaysia menewaskan Singapura 2-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam.
Kemenangan ini sudah tentunya amat bermakna buat jurulatih Bertalan Bicskei dalam usahanya membentuk skuad terbaik bagi menggalas cabaran di Piala Tiger Disember ini.
Malah lebih penting kemenangan ini adalah bekalan terbaik skuad kebangsaan dalam usaha untuk memburu kemenangan pertama apabila bertemu dengan Kuwait dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia Kumpulan 4 Zon Asia, 17 November ini di tempat lawan.
Ketika Malaysia lebih awal sudah tersingkir, pertemuan dengan Kuwait nanti lebih untuk menebus maruah yang sudah tercalar sejak dari pusingan awal lagi.
Mengulas mengenai kemenangan tersebut Bicskei berkata, Khalid mempamerkan aksi terbaik buat pertama kali dalam skuad kebangsaan manakala Amri pula diakui pemain yang bijak menyempurnakan peluang untuk mencipta jaringan.
``Apa yang penting pemain begitu bersemangat kental apabila mereka bangkit semula walaupun pada satu ketika ketinggalan dan inilah kualiti pemain yang saya kehendaki,'' ujar Bicskei.
Skuad kebangsaan ketinggalan 0-1 apabila Singapura tangkas menyambar peluang pada minit ke-21 dengan pemain Ghana, Itimi Dickson meledakkan jaringan dari jarak 20 meter yang mendapat sorakan kira-kira 4,000 penyokong tuan rumah.
Mengulas lanjut jurulatih dari Hungary berkata, jika pemain dapat mengekalkan dengan corak permainan dan semangat juang yang tinggi seperti ini, peluang skuad kebangsaan untuk melakukan kejutan di Piala Tiger adalah cerah.
Selepas Malaysia dikejutkan dengan gol awal tuan rumah, Bicskei membuat beberapa pertukaran pada babak kedua dengan memasukkan Khalid, K. Nanthakumar dan Eddy Helmi Manan untuk memperkukuhkan jentera serangan.
Kemasukan pemain tersebut menghidupkan corak serangan yang nampak lebih bertenaga dan gol penyamaan dihasilkan pada minit ke-68 apabila bola hantaran Indra Putra Mahayuddin tepat ke arah Khalid.
Penyerang Perak itu mendada bola tersebut sebelum melakukan sepakan volley menewaskan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny.
Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri 1-1, Amri tampil mencuri peluang untuk menolak masuk gol kemenangan Malaysia pada masa kecederaan.
MALAYSIA
Mohd Syamsuri Mustafa, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Wan Rohaimi Ismail, (Ahmad Tharmini Saiban), Mohd Ivan Yussof (Eddy Helmi Manan), Liew Kit Kong (K. Nanthakumar), Mohd Shukor Adan (Mohd Amri Yahyah), Chow Chee Weng (Mohd Khalid Jamlus), V. Saravanan (Chan Wing Hoong), Indra Putra Mahayuddin.
Singapura
Hassan Sunny, Noh Rahman (Jaslee Hatta), Aide Iskandar (Faizal Hamid), Baihakki Khaizan, Daniel Bennett, Muhamad Ridhuan (Khairul Amri), Goh Tat Chuan, Shahril Ishak, Itimi Dickson, Masrezwan Masturi, Noh Alam Shah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan