Isnin, 13 Mei 2019

Aib di gelanggang sendiri

ARKIB : 04/01/2005
PENYERANG Malaysia, Mohd. Khalid Jamlus cuba mengelak daripada dibentes oleh pemain Indonesia, Firmansyah dalam saingan separuh akhir kedua Piala Tiger di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia tewas dengan agregat 5-3. - Gambar ASWAD YAHYA.


MALAYSIA 1
Khalid Jamlus (29)
INDONESIA 4
Kurniawan Dwi Yulianto (59) Charis Yulianto (74) Ilham Jaya Kesuma (78) Boas Salossa (85) (Indonesia menang agregat 5-3)
BERMAIN di hadapan penonton sendiri dengan kemenangan sudah di ambang pintu rupanya tidak memberi kelebihan kepada Malaysia apabila tumpas 4-1 kepada Indonesia dalam separuh akhir kedua bola sepak Piala Tiger di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Kehebatan Malaysia dalam pertemuan pertama dileburkan oleh sentuhan cemerlang pasukan pelawat dalam tempoh 30 minit terakhir permainan.
Seperti ketika bertemu di Jakarta Selasa lepas, para penyokong setia skuad negara turut hadir hanya untuk menyaksikan kekalahan mengejut setelah jaringan awal Khalid Jamlus seolah-olah meletakkan skuad bimbingan Bertalan Bicskei ke perlawanan akhir buat kali kedua selepas 1996.
Namun, ramalan itu meleset apabila pasukan negara tunduk dengan keaiban apabila tewas menerusi agregat 5-3.
Skuad negara, yang menang 2-1 di Jakarta menguasai awal permainan tetapi hanya sepakan lemah penyerang, Amri Yahyah pada minit kelima mencemaskan sedikit penyokong Indonesia.
Pasukan pelawat, yang kembali kepada barisan terkuatnya dengan tamatnya hukuman gantung satu permainan terhadap penyerang, Ilham Jaya Kesuma dan Boas Salossa bagaimanapun menyerbu kawasan gol Malaysia tidak lama kemudian.
Selepas berusaha keras mengekang pergerakan skuad negara, Indonesia mula mengambil alih permainan ketika aksi berusia 15 minit dengan giliran skuad Bicskei pula mengerah tenaga di dalam kawasan sendiri.
Indonesia dilihat tidak mempunyai masalah untuk meraih semangat dengan kira-kira 20 peratus daripada 60,000 penonton malam tadi berpakaian merah putih.
Keghairahan Indonesia mencari gol awal untuk me-nyamakan kedudukan agregat, dikejutkan oleh gol cantik Khalid Jamlus pada minit ke-29.
Penyerang utama yang bakal menyarung jersi Selangor itu mengejar umpanan jauh Wan Rohaimi Ismail, selepas dia memintas umpanan ke dalam kawasan gol Malaysia dan menewaskan dua pertahanan sebelum menyepak ke sudut kiri gol Indonesia manakala penjaga gol terbaik Asia, Hendro Kartiko mengagak ke arah lain.
Pakar bola tinggi, Liew Kit Kong nyaris menambah gol pada minit ke-32 apabila menanduk kencang bola sepakan bebas ketua pasukan, Rosdi Talib dari jarak 25 meter yang ditolak ke belakang gol oleh Hendro.
Pergaduhan kecil hampir tercetus apabila penyokong kedua-dua pasukan di belakang gol sebelah kanan tempat duduk utama berbalas membaling botol plastik berisi air ketika rehat dan kehadiran anggota keselamatan juga tidak mereka endahkan manakala letupan mercun terus kedengaran di sana-sini sudut stadium.
Keadaan hanya tenang selepas permainan disambung. Sepakan bebas Rosdi dari jarak 25 meter nyaris menambah tekanan kepada Indonesia tetapi dua pemain tengah, Shukor Adan dan Fadzli Saari gagal menyambar peluang di depan gawang pada minit ke-52.
Tertekan untuk mencari gol, jurulatih Indonesia, Peter Withe memasukkan penjaring gol di Jakarta, Kurniawan Dwi Yulianto menggantikan pemain pertahanan, Ismed Sofyan dengan harapan penyerang supersub itu menambah sengat di barisan depan.
Pada minit ke-57, Boas nyaris mencemaskan para penyokong tempatan apabila sepakannya dari hujung kawasan gol hanya sipi beberapa sentimeter dari tiang kiri.
Kehangatan perlawanan meningkat apabila umpanan Khalid darisebelah kiri gagal disempurnakan oleh Amri pada minit ke-58 dan ia membawa padah seminit kemudian dengan Indonesia jelas begitu bertenaga.
Ibarat pepatah dijangka panas panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, bibit-bibit kekalahan skuad negara jelas kelihatan apabila gagal menyempurnakan begitu banyak peluang yang terhidang.
Kehadiran Kurniawan, yang pernah beraksi dengan Sampdoria dalam Serie A Itali dan FC Lucerne di Switzerland, di dalam padang jelas bermakna apabila dia menyambar bola dari kaki pertahanan, Kaironissam Sahabuddin sebelum menghalakan rembatannya ke penjuru kanan atas gawang, menewaskan Mohamad Syamsuri Mustafa menjadikan agregat Indonesia 2 - Malaysia 3.
Pemain-pemain negara segera bangkit untuk melebarkan semula jurang agregat tetapi rembatan pemain tengah, K. Nantha Kumar dari jarak 25 meter diselamatkan oleh Hendro. Kurniawan menyangka dia sudah menyamakan agregat pada minit ke-71 apabila menolak bola masuk dari jarak dekat tetapi penjaga garisan telah mengangkat bendera tanda ofsaid.
Namun Indonesia tidak patah semangat dan dalam masa tujuh minit kemudian, mereka menjaringkan dua gol setelah pemain pertahanan tinggi lampai, Charis Yulianto menanduk kencang sepakan sudut Boas pada minit ke-74 dan Ilham menyepak masuk dari jarak dekat pada minit ke-78 sekali gus mengalihkan tekanan kepada Malaysia.
Permainan kucar-kacir Malaysia digunakan dengan sebaiknya oleh Indonesia untuk menambah gol keempatnya apabila Boas melepasi benteng pertahanan, mudah melepasi pemain gantian Nor Fazly Alias, yang mengisi tempat Liew Kit Kong dan menewaskan Syamsuri yang meluru keluar lima minit sebelum permainan tamat.
Ia sekali gus memastikan Indonesia mara ke perlawanan akhir untuk bertemu Singapura, yang menewaskan Myanmar dengan agregat 8-5.
MALAYSIA - Mohamad Syamsuri Mustafa, Norhafiz Zamani Misbah, Wan Rohaimi Wan Ismail, Muhammad Kaironisam Shahabuddin, Mohd. Fadzli Saari, Liew Kit Kong (Nor Fazly Alias), Shukor Adan, K. Nantha Kumar, Rosdi Talib, Amri Yahyah, Khalid Jamlus.
INDONESIA - Hendro Kartiko, Ismed Sofyan (Kurniawan Dwi Yulianto), Ortizan Salossa, Charis Yulianto, Muhammad Mauli Lessy, Boas Salossa, Eli Aiboy (Aris Indarto), Ilham Jaya Kesuma (Firman Utina), Ponaryo Astaman, Syamsul Bachri, Firmansyah.
Pengadil - Kunsuta Chaiwat (Thailand)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan